LIMBARUH HIJAU 5 JANUARI 2010 : BARISAN kepimpinan Parti Pembangunan Bangsa (NDP) disemua peringkat diseru agar terus menumpukan perhatian dan usaha kearah mencapai matlamat perjuangan NDP. Dalam pada itu, barisan kepimpinan NDP harus sentiasa berwaspada terhadap usaha-usaha mengalihkan pandangan mereka kepada perkara-perkara yang remeh temeh yang boleh menyebabkan mereka hilang punca.
Perkara ini ditekankan oleh Timbalan Presiden NDP, Malai Hassan Othman ketika merasmikan, selaku tetamu kehormat, Majlis Permesyuaratan Perhubungan Daerah (MPPD) ke-3 di Limbaruh Hijau, markas pusat NDP di Jerudong.
MPPD kali ke-3 bagi sesi 2009 telah dilangsungkan pada 31 Disember 2009. MPPD kali ke-3 telah dihadiri oleh Ahli-Ahli Majlis yang terdiri dari Ahli-Ahli Jawatankuasa Badan-Badan Perhubungan NDP Daerah Brunei-Muara, Belait, Tutong dan Temburong.
Di majlis perasmian tersebut, Timbalan Presiden mengingatkan Ahli-Ahli Majlis akan saranan Presiden NDP di Kongres Agung ke-4 akan perlunya NDP mempunyai pemimpin dan kepimpinan yang berwibawa, berilmu, bertakwa sentiasa berhemah dan adil selain perlu mempunyai sikap bertanggungjawab dan kebertanggungjawaban (akauntabiliti), bukan hanya kepada yang dipimpin tetapi terhadap Allah Azawajalla.
Presiden NDP juga telah mengingatkan kita akan perlunya barisan kepimpinan baru NDP sentiasa insaf akan realiti dan status perkembangan politik di dalam negara yang menghendaki pemimpin parti di semua peringkat bersedia melakukan mind transplant untuk berubah in toto.
"Perubahan dan transformasi minda yang dimaksudkan Presiden tersebut itu bukan satu pilihan tetapi satu kemestian untuk kita laksanakan jika kita tidak ingin melihat NDP berkubur tanpa nisan", tegas Timbalan Presiden.
Persoalannya sekarang, tambah beliau, apakah saranan Presiden ini sudah dilaksanakan atau kita sejak Kongres Agung ke-4 hanya sibuk mememrhati dan menilai tongkat Presiden bukan mesej ucapan dasar yang cuba disampaikan?.
"Di kongres ke-4 kita telah memilih dan melantik barisan kepimpinan baru untuk diberikan kepercayaan membawa NDP kearah kecemerlangan dalam jangka tiga tahun mendatang ini iaitu dari 2009 ke 2012 nanti".
"NDP juga telah meletakkan harapan yang tinggi agar barisan kepimpinan yang baru melakukan transformasi dengan cara dan gaya kepimpinan agar dapat melonjakkan lagi parti ke mercu kejayaan dan dapat memenuhi harapan dan ekspetasi bangsa dan negara yang semakin meningkat terhadap NDP".
"Dalam masa sama, kita menaruh kebimbangan apa yang akan terjadi jika kita gagal melakukan transformasi ini, jika NDP gagal memenuhi harapan bangsa dan negara. Kita tidak rela melihat NDP menerima nasib yang sama seperti parti-parti politik yang lain yang telah berkubur tanpa nisan".
"Makanya saya mengambil kesempatan disini untuk secara terus terang mengambarkan senario perkembangan dan perjalanan parti dibawah barisan kepimpinan baru walaupun terdapat beberapa perkara yang kurang menyenangkan".
"Namun saya percaya kita harus berani menghadapi kenyataan ini. Kita tidak boleh berpura-pura seolah-olah semua berjalan dengan baik sedangkan hakikatnya tidak sedemikian". 
"Ini saya rasa sangat penting dalam langkah kita untuk membaharui azam dan komitmen kita untuk membawa NDP terus maju kehadapan, terus kukuh dan berwibawa dalam menghadapi cabaran-cabaran yang lebih hebat yang sedang berada dihadapan kita".
"Kita tidak boleh memandang sepi akan kelemahan-kelemahan yang kita ada tanpa berusaha untuk memperbaikinya".
"Kekangan dan hambatan tidak pernah surut disepanjang laluan yang bernama perjuangan. Hanya dengan jiwa yang kental dan semangat yang jitu sahaja yang mampu menghindarinya", ujar Timbalan Presiden.
Sebelum mengakhiri ucapan perasmian ini, beliau mengucapkan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada yang hadir yang telah menunjukkan komitmen dan kesungguhan saudara saudari untuk membawa NDP terus maju kehadapan dengan azam baru.
"Saya juga ingin berseru agar kita semua dapat mengambil kesempatan hari ini dengan memperbaharui azam untuk merapatkan semula saf-saf barisan kepimpinan untuk melaksanakan transformasi yang telah disarankan demi survival parti".
"Masa hadapan parti ditangan kita. Perkembangan politk negara dan perkembangan demokrasi dibahu kita yang akan kita galas bersama-sama".
"Jika NDP gagal maka ianya akan meninggalkan kesan kepada reformasi politik yang dihasratkan oleh Baginda Sultan".
"Justeru marilah kita bersama-sama mengembeling tenaga dan pemikiran kita dalam memacu NDP kehadapan". seru Timbalan Presiden NDP.
|