BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 31 Disember. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah kerajaan baginda komited menjalankan sebarang kajian terhadap apa jua dasar demi kesejahteraan rakyat dan penduduk.
"Menyentuh mengenai kesejahteraan ini, mulai esok, 1 Januari 2010, kita akan menguatkuasakan Skim Persaraan Caruman Tambahan atau SCP bagi kedua-dua sektor awam dan swasta, khususnya bagi mereka yang di bawah Skim Tabung Amanah Pekerja atau TAP, yang juga ada kaitannya dengan pertambahan umur persaraan kepada 60 tahun," demikian titah baginda dalam perutusan menjelang tahun baru Masihi 2010 di Istana Nurul Iman yang disiarkan melalui Radio dan Televisyen Brunei.
Dalam hubungan itu, baginda percaya masih ada ruang untuk meneliti dan memperkenalkan skim-skim penabungan alternatif atau tambahan bagi menampung keperluan-keperluan asas seperti keperluan perumahan.
Menyentuh dalam usaha-usaha pembangunan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia bertitah menekankan semua itu juga menjadi perhatian.
Ke arah itu, baginda mengalu-alukan langkah-langkah pembaikan yang telah dan sedang diambil sejauh ini bagi mempercepat dan mempermudahkan lagi semua orang ramai, termasuk yang berkaitan dengan urusan-urusan memulakan perniagaan.
"Dengan adanya pembaikan-pembaikan seperti ini, tidak mustahil kedudukan negara dalam senarai 'Ease of Doing Business' boleh meningkat lagi," titah baginda.
Negara Brunei Darussalam berada dalam kedudukan yang ke-96 dari sejumlah 183 negara yang dinilai menurut dari 'International Financial Corporation, World Bank' bagi tahun 2010.
SEMANGAT RAKYAT
BERPADI DIALU-ALUKAN
Sementara itu Baginda Sultan juga turut melahirkan kegembiraan beberapa pencapaian telah berjaya diraih oleh Negara Brunei Darussalam pada tahun 2009, sekalipun negara mengalami kejutan, berupa kejadian bencana alam.
Menurut baginda, antara pencapaian telah dan sedang mengorak langkah ialah meningkatkan pengeluaran padi tempatan sebagai usaha ke arah jaminan keselamatan makanan atau 'food security' di negara ini.
"Beta gembira, kerana usaha yang digerakkan oleh kerajaan ini, nampak-nampaknya berjaya menyuntik semangat rakyat untuk sama-sama aktif dalam bidang pertanian. Beta ada mendengar, ramai kini yang suka dipanggil petani, mengusahakan tanah-tanah mereka yang dahulunya hanya terbiar. Ini tidak syak lagi, adalah satu perkembangan amat menggalakkan bagi negara," titah baginda sempena menyambut Tahun Baru Masihi 2010 yang disiarkan secara langsung dari Radio Televisyen Brunei hari ini.
Dalam titah tersebut, baginda juga berbangga sudah terdapat dari kalangan anak tempatan yang sedang giat melaksanakan pelbagai usaha dalam industri permakanan, dan malah sudah ada yang mampu tampil menyertai ekspo-ekspo serantau dan antarabangsa untuk mempromosikan keluaran mereka.
Menurut baginda lagi kesemua ini adalah jalan-jalan kepada kemakmuran dan kesejahteraan.
RAKYAT PERLU BERSYUKUR
BERJAYA LALUI LIKU-LIKU 2009
Baginda Sultan dalam titah tersebut juga mengambil kesempatan meningatkan supaya rakyat dan penduduk negara ini tidak lupa untuk bersyukur kerana negara berjaya melalui liku-liku tahun 2009 dengan penuh cekal sekalipun mengalami sedikit kejutan dan memasuki Tahun Baru Masihi 2010 dengan perasaan gembira.
Tegas baginda pada tahun 2009 negara mengalami kejutan, berupa beberapa kejadian yang jarang-jarang berlaku, seperti banjir dan tanah susur dan kemudian menyusuli pula Influenza A (H1N1).
Ini semua titah baginda semuanya mempunyai hikmah, selaku isyarat. Supaya kita sentiasa bijak dan siap siaga menanganinya.
Baginda menyarankan di antara cara yang bijak itu ialah menyiapkan diri dengan perancangan-perancangan besar, dan tidak mengapa kalau perancangan-perancangan itu diasaskan kepada senario kes terburuk (worst-case-scenario), kerana dengan cara itu persediaan kita akan lebih kemas lagi bagi menghadapi cabaran dan keadaan-keadaan mendatang.
TELUS TANPA PILIH KASIH DAN RASUAH
Juga turut disentuh dalam titah tahun baru ialah mengenai pentingnya Perkhidmatan Awam perlu memiliki integriti.
"Jika negara menemui etika perkhidmatannya yang telus tanpa pilih kasih dan rasuah, maka insya Allah, apa jua yang dirancang dan diusahakan akan berjalan dengan lancar dan berkat," titah baginda dalam perutusan sempena menyambut tahun baru Masihi 2010 di Istana Nurul Iman.
Tanpa integriti tegas baginda, sesebuah negara boleh runtuh, atau paling tidak, akan kehilangan daya membangunnya.
Menyentuh perkembangan serantau dan antarabangsa, baginda percaya negara juga tidak boleh lari melainkan mesti sama-sama menghadapi pelbagai cabaran atau dugaan.
"Yang paling penting bagi kita ialah membina sikap untuk terus berbaik-baik dengan semua negara sahabat di dunia. Prinsip ini kita pegang, selaras dengan ajaran ugama kita sendiri, yang menghendaki umatnya supaya saling berkenalan dengan semua bangsa dan kaum di dunia," titah baginda.
Bagaimanapun baginda bertitah, menekankan perkenalan itu hendaklah diikat oleh pra syarat 'hormat-menghormati' dan dalam erti kata, menghormati sahabat dan sahabat juga menghormati kita.
Menurut baginda, ia diterjemahkan melalui pelbagai tindak-tanduk, termasuk perkataan, tulisan dan seumpamanya namun apa-apa jua yang boleh menyinggung perasaan sahabat, semua itu dapat saja dianggap sebagai tidak memenuhi pra syarat tersebut. (Dipetik dari Pelita Brunei)
|