28 JANUARI 2010 - PARTI PEMBANGUNAN BANGSA (NDP) sangat tersentuh dan terharu atas keikhlasan dan kesungguhan Kebawah Duli yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaullah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam memperjuangkan martabat pendidikan Islam dalam sistem pendidikan negara yang sepanjang 50 tahun kebelakangan ini lebih memberikan tumpuan perhatian kepada kejayaan dunia dari kejayaan akhirat.

Gambar ehsan Pelita Brunei
|
Sistem pendidikan sekular yang merendahkan martabat pendidikan agama setaraf dengan mata pelajaran lukisan, drama, muzik dan sebagainya yang diperkenalkan gologan fahaman sekluarisme sejak zaman kolonial lagi malangnya masih diamalkan di Brunei walaupun sudah merdeka dari genggaman pentadbiran British dan sekarang bangga sebagai sebuah Negara Islam.
Natijahnya, seperti yang dititahkan Baginda Sultan ketika membuat tinjauan keatas kemajuan pendidikan ugama di negara ini pada hari Selasa kelmarin, negara menyaksikan pertumbuhan penyakit sosial dikalangan masyarakat Brunei terutama dikalangan generasi muda.
Dalam masa sama sistem pendidikan negara berjaya menghasilkan banyak cerdik pandai dan rakyat yang berpendidikan dan celik IT, ianya pula gagal melahirkan cerdik pandai dan rakyat perpendidikan yang celik ugama. Sistem pendidikan kini telah berjaya membina akal dan fikiran rakyat dengan ilmu dan kemahiran tetapi leka mengisikan dan memantapkan jiwa mereka dengan ilmu dan pengetahuan ugama hingga kerohanian mereka kosong.
Akhirnya masalah dadah, seks bebas, sumbang mahram, curi dan rogol sudah menjadi berita biasa didada-dada akhbar di negara ini. Allah SWT telah membuka pekung negara yang mengabaikan pendidikan ugama, titah Baginda Sultan dengan harapan agar pihak-pihak berkenaan mengambil langkah segera membetulkan keadaan ini.

Gambar ehsan Pelita Brunei
|
Sehubungan dengan itu NDP rasa terpanggil untuk mengimbas kembali beberapa saranan manifesto politik parti 2006 - 2016 berhubung sistem pendidikan negara.
Dalam manifesto tersebut NDP telah mencadangkan pembentukkan dasar pendidikan negara perlu diasaskan kepada konsep ‘Bismi Rabbik’ iaitu mengenal Allah SWT bukannya berasaskan kefahaman sekularimse.
NDP yakin dengan pendekatan ini akan lahir tenaga kerja yang terlatih dan bersahsiah tinggi, penduduk Brunei yang bukan sahaja berilmu dan berkemahiran, tetapi dalam masa sama seratus peratus celik Al-Quran dan komputer, berilmu dan menjadi generasi baru rakyat Kebawah DYMM yang mahir berbahasa Arab, Inggeris, Mandarin dan lain-lain di samping Bahasa Melayu.
Sehaluan dengan hasrat Baginda Sultan, NDP dalam manifesto politiknya juga telah menyarankan agar kerajaan mewajibkan setiap murid dan penuntut beragama Islam menghadiri sekolah agama selama enam tahun di samping sekolah biasa untuk memastikan mereka tahu dasar, asas dan rukun Islam.
Dalam masa sama di samping mata-mata pelajaran asas seperti ilmu Tauhid, Ibadah, Mu’amalat, Sejarah, Munakahat, Al-Quran, Tajwid, Fara-id, dan lain-lain, mata-mata pelajaran seperti Falsafah Islam, Sastera Islam, Sejarah Islam, dan lain-lain yang boleh dikategorikan sebagai sukatan pelajaran Tamadun Islam (Politik Islam, Ekonomi Islam, Sosial Sains Islam dan Kesenian Islam) hendaklah dimasukkan ke dalam sukatan pembelajaran, sama ada dengan sendirinya atau melalui manhaj perbandingan dengan yang bukan bersumberkan Islam.
NDP juga menyarankan agar sistem pendidikan negara dapat memastikan teori, konsep dan amalan seperti Teori Evolusi Darwinisme, pengklonan manusia, pendermaan telur dan sperma, ibu tumpang (surrogate motherhood) dan yang seumpamanya, diberi penerangan yang jelas dan terang dari perspektif Islam melalui sistem pendidikan negara bagi menyelamatkan ummat daripada perkara-perkara yang bercanggah dengan Syariat Islam dan yang menimbulkan keraguan dan kekeliruan ke atas kebesaran dan ciptaan Allah SWT.
NDP berharap agar saranan ini dapat diberikan perhatian sekali lagi oleh pihak-pihak tertentu selaras dengan harapan Baginda Sultan.
Berikut laporan lawatan dan titah Baginda Sultan ketika berangkat melawat Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPUSB) di Jalan Tutong di sini di petik dari Pelita Brunei.
BUAT KAJIAN DAN STATISTIK
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji omar 'Ali Saifuddien Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menyeru pihak-pihak yang bekenaan agar membuat kajian dan statistik kenapa sistem persekolahan ugama yang telah dilaksanakan selama 50 tahun tidak diwajibkan.
Pengajian dan statistik ini penting, kerana daripadanya kita baru mengetahui apa-apa permasalahan yang timbul dan kenapa persekolahan ugama tidak wajib dilaksanakan. Dan di sinilah minda mungkin tersuntik untuk kita dapat memperbaiki mana-mana yang perlu diperbaiki, titah baginda.
Titah baginda, kajian dan statistik ini juga penting kerana kita akan dapat mengetahui berapa ramai keluarga yang menyekolahkan ugama anak-anak mereka dan berapa ramai pula tidak, serta secara keseluruhanyan berapa ramaikan kanak-kanak Islam di negara ini bersekolah dan tidak bersekolah ugama.
Dalam pada itu, kajian dan statistik juga perlu dibuat yang bukan hanya terhad setakat setahun dua, malahan sekurang-kurangnya dari 10 atau 20 tahun kebelakangan,
Tegas baginda:
"Kalau penyakit-penyakit biasa kita buat kajian dan statistik, berapa penghidap penyakit barah, HIV, jantung dan lain-lain, kenapa penyakit tidak celik ugama tidak dibuat statistik? Kita belum pernah mendengar atau membaca statistik kanak-kanak sekolah di Brunei yang pandai sembahyang dan yang tidak pandai, yang pandai mengaji Al-Qur'an dan yang tidak pandai dan begitu juga para belia. Sebab itu kenapa kita guna statistik, jika statistik mengenai penyakit akan menghasilkan tunjuk angka kadar penyakit, maka begitu juga statistik mengenai sekolah dan tidak sekolah ugama akan menghasilkan tunjuk angka kadar mereka yang bersekolah dan tidak bersekolah ugama," titah baginda.
Baginda seterusnya bertitah bahawa di negara ini masih ramai rakyat yang tidak atau kurang celik ugama.
Penyakit ini, jelas baginda, bukan sahaja dimiliki oleh kanak-kanak yang ada masa ini sahaja, tetapi juga sejak dulu lagi, iaitu akibat dari 50 tahun sistem yang tidak mewajibkan bersekolah ugama.
Perkara ini terbukti di mana di padang-padang permainan, para belia dan remaja masih bermain dan berkeliaran walaupun hampir waktu masuk Sembahyang Maghrib. Dan berlakunya perkara-perkara yang membelakangi ugama seperti meniru budaya orang lain dalam berpakaian atau tingkah laku, yang mana perkara ini sangat membimbangkan ibu bapa, jelas baginda.
Memandangkan kepada gejala cetik ugama, iaitu akibat dari sekolah ugama yang tidak pernah jadi wajib selama 50 tahun, baginda menekankan perlunya kajian dan statistik dilaksanakan dengan segera agar generasi yang ada ketika ini khususnya dan umat Islam umumnya tidak akan terpesong dari akidah.
SUBJEK UGAMA MESTI 'COMPULSORY' DALAM SPN21
Baginda Sultan juga bertitah menekankan supaya subjek Ugama yang telah menjadi sistem pendidikan sejak 50 tahun yang lalu perlu dan mesti 'compulsory' atau diwajibkan dalam Sistem Pendidikan Negara Abad Ke-21 (SPN21) serta dibuat perubahan dari sistem yang liberal ketika ini.
Mewajibkan subjek Ugama perlu dilaksanakan segera, tegas baginda, kerana ditakuti adanya jurang antara rakyat yang cerdik ugama di satu pihak dan yang buta ugama pula di satu pihak lain.
Dalam pada itu baginda bertitah melahirkan rasa kesal kerana sejak 50 tahun subjek Ugama tidak diwajibkan, tidak ada usaha-usaha untuk meneliti semula kesan baik dan buruknya melainkan pihak-pihak yang berkenaan terus saja membisu sehingga 50 tahun.
"Tidak nampakkah oleh kita akan sebarang musibah dari kebisuan ini? Selama 50 tahun rakyat dibiarkan 'terkatung-katung' bebas memilih, sama ada mahu bersekolah ugama atau tidak.
Bersekolah boleh dan tidak bersekolah pun juga boleh. Yang bersekolah kami ajar dan yang tidak bersekolah pandai-pandailah sendiri membawa diri. Faktor inikah pendirian yang betul?," titah baginda dengan nada kesal.
Baginda seterusnya menegur cara-cara pihak-pihak yang berkenaan dalam menyeru orang ramai atau ibu bapa supaya menyekolahkan anak-anak mereka ke sekolah ugama, di mana baginda menganggap tidak matang, hanya seolah-olah melepaskan batuk di tangga sahaja, di mana mereka yang mendengar seruan tersebut akan mengetahui dan yang tidak mendengar adalah lebih ramai.
Cara seperti ini, tegas baginda adalah tidak betul dan perlu dikaji semula, khususnya untung dan ruginya subjek ugama tidak diwajibkan.
"Kalau lebih menguntungkan tidak mengapa, kekalkan. Tetapi kalau rugi jangan diam-diam mesti buat sesuatu," tegas baginda.
Dalam pada itu baginda juga menyeru pihak yang berkenaan agar membuat perubahan dalam sistem pendidikan ugama, memandangkan kepada situasi ketika ini, di mana gejala sosial terus meningkat dan berleluasa sama ada di kalangan orang dewasa, generasi muda bahkan kanak-kanak yang berlaku di dalam rumah, sekolah, pusat pengajian tinggi dan di tempat-tempat lain yang memang wajar berlaku.
Baginda juga melahirkan rasa kesal, gejala sosial seperti penyalahgunaan dan pengedaran dadah, jenayah, samseng dan seks bebas yang tidak berselindung-lindung memenuhi dada-dada akhbar, majalah dan interet yang seakan-akan tidak dapat dikawal, seolah-olah masyarakat terutamanya ibu bapa sudah kalah dan tidak mampu berperanan.
Dalam situasi ini, baginda yakin pendidikan agama mampu merawat penyakit masyarakat yang menular pada hari ini dan ianya adalah ubat yang masih tinggal.