Dengan nama Allah yang Maha Pemurah* Yang mencucurkan rahmatnya banyak tercurah
Kepada hambanya makhluk berjumlah* Yang memohonkan nikmatnya bersusah payah,
Allah pemurah lagi pengasih* Kepada makhluknya tidak berpilih
Kepada hambanya yang dikasih* Diberinya pertunjuk rahmat di lebih,
Segala puji kepada Allah* Yang membela semesta alam yang indah
Yang mengasihi seluruh alam terdedah* Allah Taala yang kami sembah,
Allah yang menguasai negeri akhirat* Hari pembalasan namanya tersemat
Kepada hambanya taat – taat* Akan berhujah di hari kiamat,
Mudahan mendapat ilham pertunjuk* Bekerja berusaha tidak mengantuk
Agar terlaksana perbuatan elok* Kepada saudara hamba dan makhluk,
Jangan menyakitkan hati umpama* Kepada pandangan apalah guna
Bertindak berseloka jadi merana* Itulah leka main tak kena,
Wahai pakulan muda yang pu’ta* Jangan disangka ayahanda mengata
Madah berlari tamsil dinyata* bukannya nyata dipandangan mata,
Dikarangkan syair untuk kenangan* Buat bacaan wajah timangan
Sajak disusun banyak berkurangan* Siapa membaca mencela jangan,
Sekiranya terlanggar kalam berkata* Jangan disyakkan kepada yang lata
Niat dan maksud bukan menista* Hanyalah menyamakan sajak semata,
Syair dikarang penglipur duka* Berpaluh sajak dengan seloka
Untuk Bacaan anakku paduka* Kepada salah jangan sangka,
Apa sekadar penghibur hati* Sajak disusun berpalu ganti
Hajat menyinggung bukan di hati* Syair dikarang untuk Kangusti,
Untuk Kangusti anakku tuan* Sebagai kenangan pada bangsawan
Buat Kandalil mana yang nyaman* Jadikan sempadan yang tak siuman,
Terkaduhong sudah kalam berjalan* Membawa madah kata bualan
Sebagai tuturan bukan afalan* Madah nan bukan nasihat bidalan,
Nasihat bidalan jauh disebut* Madah berbunyi keluar di mulut
Sekira terpakai silalah ikut* Mana tak baik jangan diturut,
Bidalan nasihat bukan namanya* Apa sekadar menemukan sajaknya
Sekira susun janggal bunyinya* Menuntut maaf dagang kerananya,
Kerana susun sajak dikarang* Susunya janggal berapat berjarang
Aqsaranya bida sajaknya kurang* Dagang nan bukan ahli pengarang,
Wahai anakanda muda yang saat* elok bergawai tampan yang sungut
Mengarang syair kalam beringsut* Sembilan puluh sembilan ramuan tersebut
Sembilan puluh sembilan namanya diberi* untuk bacaan muda Jauhari
Bagi kenangan dikemudian hari* Menurutkan tangan kalam berlari,
Kalam berjalan selari tangan* Hajat tujuan untuk kenangan
Penghibur kalbu Rawan Bimbangan* Dagang bermohon dicela jangan
Sekira tak sedap kalam bertutur* Jangan berkesal silalah tegur
Jangan dikeji jangan ditutur* Dagang menunggu teguran yang jujur,
Wahai juwita Ratna Tempawan* Intan terpilih muda bangsawan
Kaum keluarga sahabat kawan* Hendaknya sepakat bersetiawan,
Ratna Pakulan emas sakti* Jiwa utama mahkota gusti
Bertulus ikhlas amalan mesti* Hindarkan takbur ria dihati,
Sombong dan bongkak jangan diturut* Berlagak megah jangan diikut
Ajaran begitu amatlah karut* Harus terlarak simpilan karut,
Simpulan yang kukuh kalau terbuka* Siapa susah adik dan kakak
Jangan diperangaikan wahai paduka* Ikatan muhibah jangan dibuka,
Intan terpilih muda yang sedar* Ke arah kebajikan elok beredar
Menuju kebaikan banyakan sabar* Memohon kepada Allahuakbar,
Tabiat gopoh berkelam kabut* takbur dan riak pula mengikut
Sombong bermegah dijalan tak patut* Harus tak siapa berasa takut,
Jangan dicucuk si Obor – Obor* Miangnya tidak dapat ditutur
Memberi bergaru duduk berunjur* Daging yang singsat menjadi kendur,
Wahai Paduka Ratna Tempawan* Mestikah ayah anakanda ku tuan
Di tempat yang bukan jangan berlawan* Nama yang baik harus tertawan,
Adat dunia memang beredar* Madam seperti gelap berpusar
Ke arah senang disangka sukar* Ke arah kesulitan sahaja terbiar,
Bertiup angin mendayu – dayu * Bunyi seperti burung jentayu
Pokok yang rendang berdaun layu* Sedikit tak berharga madah nan sayu,
Tersangat susah menghadapkan hasrat* Kaki berjalan ke timur ke barat
Sebegitu jauh tujuan melarat* Umpama perahu muatan sarat,
Kehendaknya Allah Tuhan yang Baqa* Kepada hambanya makhluk belaka
Sama ada adik ataupun kakak* Berpujuk rayu hampa belaka,
Kepada dagang tiada apanya* Asalkan kebajikan padanyatnya
Sekalipun hampa tak kenapanya* terpulanglah kepada yang menjadikannya,
Terpulang kepada Tuhan yang Esa* Yang menghendaki maha berkuasa
Perbuatan yang baik hendaknya sentiasa* Jangan berputus memutus asa,
Wahai Tempawan Ratna Mestika* Saudara handai adik dan kakak
Perbuatan baik hanya seketika* Bukannya jujur tetapi leka,
Wahai emasku muda yang bijak* kesudian batin jarang ternampak,
Misal berjalan tidak bertapak* Jasa berbakti jangan dirosak,
Wahai pakulan muda budiman* Cahaya mata mudahan beriman
Mudahan mendapat fikir siuman* Berbaik dengan saudara teman,
Wahai anakanda muda bangsawan* Kemala ayahanda emas tempawan
Muda remaja lagi pahlawan* Hendaklah diunjar fikir dermawan,
Hendaklah tahu emas timangan* Fakir setia yang kebilangan
Terbahagi tiga pada bilangan* Hendaknya dituntut ditinggal jangan,
Pertama iman yang mulia* Kedua Islam yang diperkaya
Ketiga Ihsan yang amal berbahagia* Dengan sebulihnya amati dia
Wahai anakanda intan terpilih* Saudara sahabat jangan berselisih
Perkara yang jahat jangan digalih* Bertulus mesra seberapa boleh,
Kehendak Allah Tuhan yang Robbana* Ke atas hambanya mulia dan hina
Berjenis cara bentuk dan warna* Hina mulia lekas tak bina,
Wahai juwita muda yang sadah* menduga manusia bukannya mudah
Terkadang lekas kebanyakan batah* Hendak mengetahui muda yang petah,
Muda yang petah seumpamanya* Bersungguh takut kepada tuhannya
Taat menyembah pada tuhannya* mengeluarkan zakat harta bendanya,
Menghubungkan kasih kepada saudara* Disertai dengan niat yang mesra
Kejalan kebajikan ia bersegera* Harus terjauh daripada mara,
Jangan diturut adat yang musykil* Kepada kita dipandang ganjil
Dengannya kita tak sama fi’el* Tiada memilih besar dan kecil,
Adat yang musykil biar dipaling* supaya pandangan tiada runsing
Kata telahan tiada bising* Sesama kita tiada bergerling,
Kuntau dan terlak jika sebaya* Cakak cemandi silat bergaya
Hendaknya padan sesama dia* Baharukan termashur nama perwira,
Wahai anakanda muda handalan* Berjaga – jagalah mengorak jalan
Dalam percampuran majlis bualan* Di tempat keramaian majlis pergaulan,
Dalam pergaulan taulan dan handai* Membawa diri hendaknya pandai
Kata dan tutur biarlah permai* Musuh kenalan mudahan damai,
Kehendak Allah Tuhan semesta* Kepada hambanya sekalian rata
Ada yang kaya miskin peminta* Ada kegunung naik bertapa,
Anakanda pakulan Ratna Tempawan* Jangan sekali berhati sawan
Jalan yang salah mesti dilawan* Hendaknya jangan mahu di tawan,
Budi yang baik juga dikenang* Bahasa yang halus berhati tenang
Kelakuan yang tampan menandakan menang* Itulah jalan supaya senang,
Hendaklah berani ditimbang benar* Jangan banyak membuat onar
Sesama kita hendak disinar* Terpeliharalah kita daripada bangar,
Benda perkara yang manfaat* hendaknya di cari sehingga dapat
Walau di laut waima di darat* Mahulah di unjar seberapa cepat,
Jangan pula terlampau gopoh* Menghadapi perkara yang kita tempuh
Pikirkan dahulu bersungguh – sungguh* Barula dapat jalan yang sungguh,
Jika bulunya hitam berkilat* Dari laut datang melarat
Budi perangai tiada pelikat* Di dalam hati dengki dan hasat,
Berlindunglah kita kepada Allah* Dengki dan hasad jangan dijumlah
Ke dalam dada kalau berpindah* Mengubat ia amatlah susah,
Biar – biar naik kemata* Hendaknya dijaga jangan melata
Bukan hanya kepada diri semata* Tetapi untuk saudara berserta,
Ajal yang mujur ajal yang malang* Dipengetahuan Tuhan yang maha terbilang
Tiada siapa dapat menghalang* Perbuatan kebajikan hanya cemerlang,
Mahkota Gusti Emas Tempawan* Jika Maliku hendak berkawan
Atau hendak memilih bangsawan* Carilah orang yang setiawan,
Pemuda yang tidak uru - uruwan* Tiada menurut langkah tebruan
Barang kemana di bawa mengawan* Hatinya tetap bagi pedoman,
Wahai juwita muda yang arif* Yang di kasihi bertambah karib
Tuntutlah ilmu hingga maghrib* Disanakan dapat pelajaran arif,
Ratna pakulan kemala hati* Laksana bunga cempaka melati
Jangan hendaknya berkusut hati* Hendaklah bersuka menyukakan hati,
Setelah tamat pelajaran dipeta* Maliku balik bersama kita
Hajat tujuan dapat dinyata* Ilmu pengetahuan adalah senjata,
Setelah tamat pelajaran usai* Balik berkumpul tiada lalai
Dengan saudara sahabat handai* Hibur menghibur berhati permai,
Menglipurkan hati pergi berkelah* Pembasah otak muda yang pitah
Bersuka ria bukan ditegah* Asalkan tak melanggar perintah Allah,
Jangan dipakai pekerti manuk* Sana kemari mata menengok
Dipandang mata kurang seronok* Tak memilih kurus dengannya gemuk,
Jangan disimpan riak di hati* Bukannya baik tetapi keji
Walaupun harta berjuta kati* Bukannya boleh di bawa mati,
Hukum farait hendaklah diuji* Masalah nya banyak bukan sebiji
Kiranya bersungguh kita mengkaji* Pembahagian betul harus tak rugi,
Disegi syarak farait namanya* Kebajikan masyarakat yang dikiranya
Untuk kesihatan saudara handainya* Hendaknya dibaca dengan sungguhnya,
Metelaahlah ia serta ingatan* Sulus dan salasim ada dinyatakan
Asabah dan Zul Arham yang disebutkan* Membetulkan rajah yang dikirakan,
Wahai anakanda Ratna Juita* Karang tambusaaltin mahkota
Buat melanjutkan madah dikata* Syair disusun penentuan berita,
Sementara mengunjar sajak dipalu* Madah yang lain disebutkan dahulu
Penglipur ingatan kalbu yang pilu* Diselang pantun gurindam berpalu,
Berupuk ertinya berpalu tangan* Sama sendiri bersurung – surungan
Jika terlanjur wahai timangan* Harus mendatangkan rawan bimbangan,
Perkara sukar menjadi mudah* Kalau tidak membanyakkan telingkah
Haruskan tiada mendatangkan susah* Syaratnya bertawakal kepada Allah,
Menjadi benang daripada kapas* Boleh ditenunan di buat kain,
Sesama kita bertulus ikhlas* Saudara handai bukan yang lain,
Sabuk bertabur baju air emas* Kain songket sesandang bersulam,
Kira berbentuk susunan nya kemas* Menjadi alatan luar dan dalam,
Kian sukma Indera Dastar Bersiring* Berselit pancawarna Intan dan Yaakut,
Semangat bersefahaman biar digiring* Dapat mengusai perkara yang kusut,
Benang yang kusut menjadi usai* Harum semerbak taman melati,
Wahai Pakulan saudara handai* Buatkan amalan simpul dihati,
Elok dibenamkan di sanubari* Hendaklah dirajinkan setiap hari,
Wahai juita muda jauhari* menambahkan benderam balai rung seri,
Harus berbenderang surau istana* Lapau penghadapan peranginan kencana,
Jika terbentuk susunnya kena* Dipandang mata adalah bina
Indera giri pasirnya lumat* Kerang bercampur dengannya lokan,
Sesama kita jangan bersengat* Teguran yang halal elok hadapkan
Kerang bercampur dengannya lokan* Hendaklah cermat membuang jala,
Berkasih sayang daling pohonkan* Mudahan bercahaya bagai kumala,
Asalkan hati tetap beriman* Mentaati Tuhan hadis dan firman,
Berniaga menyangkul bertanam – tanaman* Bukannya hina maka bimbangan
Tanjung katung airnya biru* Semakin direnung bertambah rindu,
Jangan lekas hati terharu* Ke arah kebajikan elok berpandu,
Saudara mazhab bangsa sepancir* Dijalan kebajikan bersama fikir,
Bersama bertahan jangan bersingkir* Untuk kebaikan saudara sesifir,
Hantu lautan syaitan rimba* Hajat dan maksud meraba – raba,
Kalau kurang – kurang harus terperhambar* Sebab tiada pandai meniba,
Jangan khuatir menuju bahagia* Walau berapa rintangan gaya,
Mendaki gunung melalui paya* Beranikan hati menempuh dia,
Jangan berdiri di batu marmai* Jangan dilalui padang yang permai,
Jangan berjalan di tempat yang landai* Kalau kejahatan akan tercapai,
Tatkala berunding di perbincangan* Membahaskan perkara cadangan rundingan,
Perbuatan cuai rawan bimbangan* Harus tak putus segala timbangan,
Wahai malikku muda yang tenang* Jangan dicuaikan perkara yang senang,
Difikirkan mudah senang dan lenang* Di sana tak nampak semut berenang,
Jangan pakulan berhati tumpul* Hendaklah berani ditimbang betul,
Jahat dan baik jangan dikumpul* Semua nya itu akan terpikul,
Kata dan tutur yang kebajikan* Jangan hendaknya dipendek – pendekkan,
Mahulah diulang diperbanyakkan* Sebenarnya bukan kata ejekkan,
Pekerjaan baik lagi sempurna* Berbuat ibadat dengannya bina,
Anakanda insun Malai Kencana* Jadikan pedoman Laila mengerna,
Wahai Pakulan Muda yang cakap* Berjaga – jaga mengawasi sikap,
Jalan yang lurus di sana di tegap* Orang tak jemu mendengar cakap,
Hutang emas boleh di bayar* Berhutang budi di bawa mati,
Nyawa dibadan lagi dicerai* Hendaknya diingat aduhai Gusti,
Berbuat jahat berpada – pada* Berbuat baik jangan sekali,
Itulah pepatah dari moyanganda* Pahamkanlah ia berkali – kali,
Jangan dibaca sekali pintas* Hendaknya diamati jangan sepintas,
Baharu dipahami dengannya lakas* Maksud pepatah iaitu di atas,
Wahai pakulan Ratna Juita* Intan dikarang tajuk mahkota,
Sebarang lafaz madah dikata* Jangan dilazimkan sebutan yang lata,
Kalau bercampur kaca delima* Akhir mendatangkan bimbang gulana,
Segala perbuatan harus tak kena* Sesal kemudian tidak berguna,
Tatkala bercampur beras dan atah* Apabila terjarang ke dalam kawah,
Kalau dimakan tentu bersapah* Banyak dimakan menjadi barah,
Memakan atah bukannya senang* Kulitnya timbul senang berenang,
Tidak menghiraukan paluan gelombang* Disitukan timbul rawan dan bimbang,
Nama sebutan lintau dan balat* Asalnya buluh di laut dirapat,
Menjadi bilah kemudian di babat* Setelah terjalin baru terapat,
Asalnya buluh menjadi bilah* Dibuatkan balat pengurung lintah,
Disitukan banyak ikan berjumlah* Hanya di ambil yang dapat di mamah,
Balat terbesar daripada kilung* Bila dipasang ikan nan masuk,
Niat yang baik elok dikurung* Keadaan yang harum tiada busuk,
Satu kali tiga jawabnya tiga* Tiga kali tiga jadi sembilan,
Sanak saudara sama berjaga* Salah benarnya siapa kededalan,
Tuhan berkuasa dan menghendaki* Kepada mahkluknya berjuta kati,
Kepada hambanya hidup dan mati* Hendaklah ingat Laila Gusti,
Upuk – upuk tampil berguling* Menyumbat mata pukat seliring,
Sungguh tak keluar aur – aur banting – banting* Tetapi putus tali penjaring,
Doa itu adalah kunci* Lebih dari itu harus terbuka,
Pekerjaan baik perbuatan keji* Senang dan susah cara meneka,
Wahai anakanda intanku sayang* Jangan berpekerti si layang – layang,
Perasaan menyangka jangan ditayang* Baru kebaikan akan terbayang,
Takbamban ia luka* Ditetak kanan kiri,
Madah bermain jangan dibuka* Si Dewa juga pandai menari,
Ikan penjulung Kembura Bantang* Dapat di rambat apabila datang,
Duai pulut – pulut bilis kitang* Asalkan pandai candik dipegang,
Kalau masih dalam anggapan* Perkara yang sulit masih bersimpan,
Umpama membuka benda kesiapan* Hendak memilihnya elok bersopan,
Di dalam kaban barang di kabat* Jangan diputus simpulan babat,
Jangan diruah kuribat – kuribat* Harus kan kumuh benda berlipat,
Kaban terserah yang di amanahkan* Carilah tempat untuk meletakkan,
Jangan diampaikan di tempat yang bukan* Elok dikemasi diperbetulkan,
Jangan diturut sekehendak hati* Melaksanakan kerja usaha dimesti,
Siasat dan bertanya hendaknya di pasti* Kerana kebaikan itulah gusti,