LIMBARUH HIJAU 6 JANUARI 2009 - PARTI PEMBANGUNAN BANGSA (NDP) bercadang mengadakan perhimpunan aman Jumaat akan datang ini untuk tunjuk rasa kecewa dan sedih keatas tindakan ganas dan tidak adil Israel terhadap rakyat Palestine di Gaza.
Perhimpunan aman yang juga bertujuan untuk menujuk rasa semangat soladariti dengan rakyat Palestine di Gaza akan diadakan pada jam 2 Jumaat ini.
Tempat perhimpunan belum dapat di tentukan sama ada di dataran Yayasan Haji Hassanal Bolkiah di Bandar Seri Begawan ataupun di perkarangan Limabruh Hijau, markas pusat parti di Jerudong.
Keputusan untuk mengadakan perhimpunan tersebut di salah satu kawasan yang di cadangkan akan tertakluk kepada kelulusan yang akan di berikan oleh pihak yang berwajib.
NDP melalui Biro Hubungan Antarabangsa dan Keamanan kelmarin petang telah menghantar surat untuk memaklumkan kepada Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) mengenai rancangan tersebut dan sekarang sedang menunggu jawapan.
Menurut ROS permohonan NDP itu akan di panjangkan kepada Pesuruhjaya Polis yang akan membuat keputusan mengenai perkara tersebut.
NDP berharap ianya akan diluluskan dan jika berjaya NDP akan menjemput semua ahli-ahli parti untuk ikut serta di perkumpulan aman tersebut.
Sejak serangan dan pencerobohan ganas Israel di Gaza, lebih 500 jiwa yang mana sebilangan besar terdiri dari kanak-kanak dan rakyat awam Palestine yang tidak berdosa telah terkorban.
Tindakan ganas Israel itu sangat memilukan. Bukan sahaja ianya mencabar semangat persaudaraan Islam malahan mencemari nilai kemanusiaan sejagat.
Justeru NDP merasakan adalah menjadi kewajipan kita sebagai umat Islam demi semangat ukuhwah Islamiah dan juga Non Muslim atas semangat kemanusiaan untuk berbuat sesuatu (selagi tidak menyalahi undang-undang negara) untuk menterjemahkan kekecewaan rakyat Brunei dan kerajaan terhadap tindakan ganas dan tidak adil Israel itu.
Dalam konteks ini, NDP melihat perlunya parti menganjurkan satu perhimpunan aman bagi memberikan ruang kepada seluruh ahli-ahli NDP melaksanakan kewajipan ini.
Di perhimpunan itu nanti NDP dan semua peserta akan tunjuk rasa membantah dan mengutuk tindakan Israel untuk 'menghukum' rakyat Palestin sebagai tindak balas terhadap Hamas yang di dakwanya telah mencabuli perjanjian gencatan senjata.
NDP berpandangan tindakan ganas dan berlebihan Israel di Gaza sama sekali bercanggah dengan undang-undang antarabangsa dan menyalahi Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
NDP juga melihat ianya sebagai satu perbuatan jenayah perang terhadap kemanusiaan dan di perhimpunan itu nanti NDP akan sekali lagi menyeru komuniti antarabangsa dan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk melakukan segala yang termampu secepat mungkin bagi menghentikan kegansan itu. |