Info Harian
Cuaca
Waktu Solat
Berita Kerajaan
Info Niagaan
Direktori Niagaan
Brunei SMEs
Info Brunei
Kenali Brunei
Kerajaan Brunei
Daily Diary
Pelita Brunei
Brunei Tourism
Telefon Kerajaan
Brunei Darussalam and the IMF
The EU's relations with Brunei
CIA on Brunei
WATCH NDP VIDEOS
 
 
EMAIL
UCAPAN PERASMIAN HIMPUNAN TAHUNAN PEMUDA, WANITA DAN NON-MUSLIM OLEH TIMBALAN PRESIDEN PARTI PEMBANGUNAN BANGSA

UCAPAN ALU-ALUAN PENGERUSI PANITIA KONGRES PERTAMA PARTI PEMBANGUNAN BANGSA

LAGU PATRIOTIK NDP - DEMI BRUNEI TERCINTA

ALBUM KONGRES AGONG NDP KE 2

ALBUM NDP JUNJUNG ZIARAH KEHADAPAN MAJLIS KDYMM DI KUALA BELAIT

KEYNOTE ADDRESS OF THE PRESIDENT OF NDP

PRESS STATEMENT IN CONJUNCTION WITH THE VISIT OF GERMAN'S MPS TO NDP
 
Artikel pilihan

Kearah Perpaduan Nasional: Harapan Dan Cabaran

TUNTUTAN PEMBELAJARAN BERTERUSAN

TUNTUTAN ORGANISASI: AMANAH DALAM PENGURUSAN PENTADBIRAN

MENCONTOHI MODEL KEPIMPINAN PARA  NABI

DIRGAHAYU KDYMM PADUKA SERI BAGINDA SULTAN- Berazam kearah BRUNEI tanpa penerima zakat

Kianggeh Mengusik Jiwa

Bandar Seri Begawan: Jumaat 16 Januari 2009 jam 8.00 pagi.  Aku bersama bebarapa ahli NDP melangkah tenang,  lalu  dicelah-celah  pengunjung Tamu Pagi atau Pasar Tamu di kuala Sungai Kianggeh, Bandar Seri Begawan untuk memulakan misi menyusuri Sungai Kianggeh.

Tamu Kianggeh

Dari kesibukan itulah kami memulai perjalanan menyusur Sungai Kianggeh menuju ke hulu, ke Tasek Limbaruh Buntar, sebuah tasek  yang satu ketika dulu menakung air dari bukit bukau dan  wasai-wasai kecil sekeliling,  dan mengalirkan limpahannya  sehingga membentuk sungai Kianggeh.

Limbaruh Buntar dan Sungai Kianggeh yang hanya tinggal nama kini sesungguhnya banyak menyimpan rahasia kesah suka duka perjuangan bangsa.

Sungai (Longkang) Kianggeh

Ketika hayatnya, Tasek  Limbaruh Buntar, Sungai Kianggeh dan anak-anak sungainya seperti Sungai Tekuyong dan Sungai Barangan   sentiasa ceria menerima kedatangan pengunjung sama ada dari istana atau dari  ujung jungkar, pedagang, pengalu  dan nelayan.

Limbaruh Buntar dan Sungai Kianggeh tetap sudi menerima sesiapa saja untuk menikmati keindahannya yang dicipta oleh Allah Maha Pencipta sama ada untuk menikmati suasana nyaman dan segar, merambat (menjala), mengail, menyangkap ikan dan udang galah atau menjerat pelandok,  atau  untuk  bermandi manda, bergalau dan “bertarak” (mandi dibawah air terjun dengan membaca wirid-wirid tertentu untuk memohon kekuatan tenaga dari Allah yang Qahar).

Bukit bukaunya banyak mengalirkan air bersih dari celah-celah batu kelikir untuk diminum. Dimusim kemarau, Tasek Limbaruh Buntar tetap setia mengalirkan airnya untuk ditadah buat minuman orang-oang Kampung Kianggeh hatta mereka dari kampong Saba dan Lurung Dalam di Kampung Air  pun turut menyusuri Sungai Kianggeh untuk mendaptkan bekalan air minum dari celah-celah batu yang membentuk Tasek Limbaruh Buntar itu. 

Banjaran bukit bukit  Kianggeh dan Subuk memangnya kaya air. Dirumah-rumah orang Kianggeh terutama penduduk disebelah ulu, kebanyakkannya menggunakan air bukit yang dialirkan melalui pancur buluh.

Pernah diceritakan oleh orang tua-tua, Almarhum Sultan Hashim, Almarhum Sultan Ahmad Tajuddin dan Almarhum Sultan Omar Ali Saiffudein ketika muda mereka pernah mandi dan bertarak di wasai-wasai sekeliling  Tasek Limbaruh Buntar, Wallahu a’alam.

Limbaruh Buntar terletak ditengah perjalanan antara kampong Kianggeh dan kampong Subuk. Dulu, disitulah tempat perhentian dan berteduh penduduk Subuk dari suku Melayu Kedayan, (salah satu suku ethnic Melayu Brunei yang mempunyai sejarahnya tersendiri), yang akan meneruskan perjalanan ke Kampong Kianggeh membawa hasil mahsul mereka untuk dijual atau dtukar dengan makanan dan pakaian dengan orang-orang Kampong Kianggeh.

Demikian juga, orang-orang Kianggeh atau dari tempat-tempat lain yang melalui denai dari Kampong Kianggeh menuju ke kampong Subuk akan berehenti rehat dan berteduh di pinggir Tasek Limbaruh Buntar sebelum meneruskan perjalanan ke kampong Subuk.

Perjalanan dari Kampong Kianggeh menuju ke kampong Subuk ketika itu terasa amat jauh. Betapa tidaknya, denai yang dilalui akan merentasi bukit-bukau, lurah dan baruh yang curam sebelum sampai ke kampong Subuk.

Demikian pula, Sungai Kianggeh tidak pernah ketandusan ikan, lokan dan udang galah. Ketika pemberontakan 1962 sungai ini turut  berbakti menjdi sumber rezeki penduduk ditebingnya. Sebaik perintah berkurung dilonggarkan, maka kelihatanlah orang-orang  kampong turun ke sungai menjala atau mengandang ikan yang tentunya cukup buat makan petang.

Padian-padian (peniaga menggunakan perahu kecil “floating market”) dari kampong air hilir mudik dengan jumpung (perahu kecil) dan siraung besarnya (topi besar) membawa ikan aur-aur, tamban, kupang dan lokan untuk dijual atau ditukar dengan beras dan kain kepada penduduk sepanjang tebing Sungai Kianggeh.

12 Julai 1973, Sungai Kianggeh turut pula menjadi saksi kepada perjuangan fasa kedua Parti Rakyat Brunei (PRB).

Sebuah perahu nelayan dinamai “Bujang Senang”, turut berlabuh  dihujung dapur rumahku, rumah tempat ku diasuh mama dan dibesarkan.

Berlabuhlah untuk beberapa minggu si-Bujang Senang yang ditambat pada sepohon pidada (pokok berembang) yang pernah menjadi tempat permandian dan terjun-terjunan pamanku  Azahari danmkawan-kawannya   sewaktu-waktu beliau menziarahi mamaku.

Nama Bujang Senang  diambil dari nama seekor buaya besar yang gagah perkasa dan digeruni penduduk sepanjang Sungai Rejang. Makhluk ini menjadi lambang kehebatan ciptaan Ilahi yang dianggap “raja ” di Sungai Rejang, Sarawak itu.

Kesudian Sungai Kianggeh menjadi lelabuh Bujang Senang teramat besar maknannya dalam kehidupanku. Airnya yang jernih dan tenang itu seperti turut mendoakan keselamatanku dan “operation Liberty” yang kurancang.

Dari Sungai Kianggehlah bermulanya  “Operation Liberty”, iaitu operasi  pembebasan lapan orang tahanan politik Brunei pada malam 12 Julai 1973,  yang telah dipenjarakan oleh penjajah British di Kem Tahanan Berakas berikutan pemberontakan 1962 bertujuan menghalau penjajah dari bumi tercinta.

Mereka yang memecah tahanan dan lari ke Limbang Sarawak pada tarikh itu ialah  Yasin Affandy, Zaini Haji Ahmad, Omar Tamin, Osman Latif, Sh Salleh Mahmud, Samad Jamaluddin, Yusof Ibrahim dan Ghani Metussin.

Di tahun 1973 itu aku sekadar seorang bekas pelajar yang bersimpati kepada nasib orang-orang tahanan yang kebanyakannya terdiri dari suku sakatku dan kawan teman paman-pamanku. Aku bertanggung jawab sepenuhnya melarikan mereka itu dan sekali gus aku dan adek sepupuku Awangku Hamzah namanya yang membantu operasi pembebasan itu turut lari sama dan akhirnya mendapat suaka politik di Malaysia.

Kerana kenakalanku itu, aku terpaksa berkelana selama 22 tahun dirantau orang dan disumbatkan kedalam tahanan lebih sembilan bulan pada tahun 1995 –1996 sebelum diizinkan untuk menghirup udara bebas dinegara tumpah darahku yang sudah merdeka dan kemerdekaan yang turut ku perjuangkan sama.

Kerana kenakalan ku itu juga, hingga kehari ini aku seperti orang tidak bernegeri pula lakunya. Apa boleh  buat, begitulah aku ditakdirkan, justeru aku menilai diriku sebagai tidak berkelayakan untuk menjadi warga NDP yang baik apatah lagi untuk memimpinnya…

Pada hemat anak-anak remaja yang panas baran ini, orang-orang tahanan tersebut perlu dibebaskan kerana mereka telah dizalimi, ditahan tanpa dibawa kemuka pengadilan oleh penjajah.

Keselamatan Dalam negeri ketika itu sepenuhnya dibawah perintah dan pengaruh penjajah British. Ketua Cawangan Khas G.E Coaster namanya, bagaikan menggila ketika itu. Bak kata orang, piring jatuh pun disangkanya bunyi tembakan.

Mujurlah DYMM Sultan Haji Omar Ali Saiffuddein ketika itu dengan segala ihsan Baginda telah mengurniakan bantuan kebajikan kepada anak isteri orang-orang tahanan tersebut. Baginda diristakan sebagai begitu prihatin terhadap kebajikan mereka itu dan mempastikan tidak seorang pun dari mereka yang berkenaan tercicir namanya atau terlewat menerima bantuan kebajikan pada setiap bulan.

Insyaallah, ihsan Almarhum dan kenangan baik mangsa kezaliman penjajah kepada Baginda itu akan menjadi rahmat kebajikan yang tidak berkeputusan hingga qiamat buat Baginda. Amin Ya Rabbal ‘alamin.    

Setelah 23 tahun kemudian sejak aku meninggalkan Kampong Kianggeh 12 Julai 1973 dan setelah melalui proses “pemulihan”  di Kem Tahanan Jerudong 1995-1996 , aku melihat Sungai Kianggeh dengan rasa sayu.

Aku sudah tidak boleh bercanda bergalau lagi di Sungai Kianggeh. Airnya sudah kotor tercemar, sampah sarap memenuhi tebingnya, airnya menjadi cetek kerana  pembangunan ditepiannya yang tidak terkawal. Pohon-pohon pidada, nipah dan piaiai (paku sungai) sudah tidak kelihatan lagi. Rumah-rumah “setinggan” mendereti tebing hingga kehulu.

Setelah 23 tahun berlalu, segalanya berubah. Suatu perubahan yang amat menyakitkan mata dan hati. Selalunya apabila kita mengaitkan Negara merdeka yang muda dan cakap, tentulah perubahan itu dari yang baik kepada yang lebih baik dan dari yang indah kepada lebih cantik.

Kini 13 tahun telah berlalu jika diambil kira tahun 1996 ketika aku menyusuri Sungai Kianggeh buat kali pertama setelah 23 tahun meninggalkan kampong halaman.

Pada 16 Januari 2009, sekali lagi aku menyusuri Sungai Kianggeh hingga ke hulunya dimana dahulunya terletak tasek Limbaruh Buntar. Perjalanan ini mengimbau nostalgik kampong halamanku yang kini hanya tinggal pada nama.

Aku tidak tahu dari mana asal usulnya nama Kianggeh itu. Ada juga cerita orang tua-tua, kemungkinan ianya dari nama seorang pedagang Cina bernama Kiang Geh yang memiliki tongkang besar sering berlabuh di kuala sungai tersebut. Akhirnya lekatlah sebutan kuala sungai tersebut sebagai Sungai Kianggeh. Wallahu a’alam.

Ketika melangkahkan kaki meninggalkan ujung jungkar tempat penumpanganku di Limbaruh Hijau, (Markas Pusat Parti Pembangunan Bangsa (NDP)) untuk menyusuri Sungai Kianggeh tersebut, ku banyangkan bahawa Sungai Kianggeh kini sudah berwajah lebih baik dan indah dari 13 tahun lalu.

Betapa tidaknya, kedudukan Sungai Kianggeh di pinggir Bandar Seri Begawan adalah pada kedudukan tarikan pelancongan yang sangat strategik dan menarik.

Ku banyangkan kalau-kalau kerja-kerja membaik pulih landskap perkuburan Kianggeh sedang rancak dilakukan – ku banyangkan bahawa perkuburan Kianggeh kini bukan lagi tanah perkuburan yang menggerunkan, tetapi sebuah taman perkuburan atau pusara yang menarik pengunjung-pengunjung yang masih hidup.

Ku bayangkan pasar Tamu Kianggeh sedang bersiap-siap untuk dipindahkan ke lokasi yang lebih selesa dengan landskap yang cantik, menarik dan bersih. Ku banyangkan Pasar Tamu sekarang akan dijadikan sebahagian taman perkuburan yang cantek dan kuala Sungai Kianggeh menjadi lelabuh pasar terapong para padian yang polular seperti Kota Venice di Italy.

Aku kecewa. Amat mengecewakan. Tarikh 16 Januari 2009 amat memedihkan sekunyong-kunyong  akau menunduki kuala Sungai Kianggeh yang dulunya lebar dan dalam sehingga perahu pengalu dan tongkang boleh berlabuh dan berpaling bila-bila masa sama ada air surut apatah lagi ketika air pasang.

Kini ketika air surut nampak benar tuhurnya (cetek) kuala Sungai Kianggeh tersebut, kerana pasir berkumpul menjadikannya “silted”. Diburukkan lagi, ia semakin sempit kerana tembok konkrit yang dibina ditepian tebingnya dengan sampah sarap tersadai terlekat pada tebingnya. Ketika air tuhur, dengan pasir terkumpul dipermukaannya, jumpung dan perau pun tidak dapat dikayuhkan lagi.

Kepalaku lantas merentasi benua Asia menselusuri Negara Belanda yang mempunyai sistem pengairan dan pengurusan perparitan, terusan, sungai dan pantai yang terbaik didunia.

Tiga suku bumi Belanda berada dibawah paras laut, namun tidak pernah kedengaran Negeri Belanda  diserang banjir kilat, tanah jerlus dan mendap yang serius.

Kenapa kita tidak mau  membeli teknologi pengurusan tersebut sedangkan pada jangka panjang, Sungai Kianggeh, sungai dipasar Gadong dan lembah-lembah yang ditenggelami air seperti Lembah Ukong dan Rambai di Daerah Tutong umpamanya,  pada adatnya  boleh ditransformasi menjadi tempat-tempat tarikan pelancong, lembah dan jelapang pertanian yang berhasil tinggi?

Terlintas juga dibenak kepalaku, tidakkah kita risau, betapa ketika air pasang besar, kawasan Lorong Tujuh di Seria, kawasan padang minyak itu dilimpahi air laut? Apakah perancangan jangka panjang untuk mengawalnya?. Hari ini rumah-rumah setingkat dikawasan tersebut sudah tidak boleh didiami lagi kerana sering dinaiki air pasang.

Dulu tiada Pasar Tamu ditebing Sungai Kianggeh seperti sekarang ini. Dulu tebing itu dipenuhi oleh pepohon pidada dan menjadi sebahagian kawasan perkuburan penduduk dan purih Kianggeh. Entah macam mana pasar tamu dengan sempitnya, dengan segala macam bau dan kotoran boleh ditempatkan disana dan dibariskan dengan tanah perkuburan pula.

Aku seperti tidak percaya bahawa tepi longkang besar yang ku selusuri itu ialah dulunya Sungai Kianggeh.

Aku pelik betapa sebuah kabel telekominikasi boleh merentangi “longkang Kianggeh” itu dari paras tanah dengan di gimbari oleh kebel dawai bagi tujuan menyelematkannya dari diputuskan oleh air atau benda keras ketika air deras. Kenapa tidak dilalukan saja dari atas “overhead”.  Wallahu a’alam. 

Kemudian kami mendaki tanah tinggi disebelah kiriku. Disana adalah dataran yang sudah dibersihkan. Dataran itulah tapak rumah ayahku, tapak rumah ku dilahirkan dan rumah tempat ku dibesarkan.

Dirumah itulah aku belajar mengenai erti kehidupan dan apa ertinya perjuangan yang dipelopori oleh pamanku  A. M. Azahari.

Aku masih ingat diawal-awal pemberontakan 1962 begitu ramai sekali tentera Gurkha British berkawal di kawasan rumahku kerana mereka bimbang akan ada “pemberontak” yang akan naik kerumah  kami untuk berlindung atau meminta makanan. Begitu juga, setiap hari akan ada saja Special Branch dari kalangan  orang tempatan yang akan naik kerumah memeriksa setiap bilik, angkap dan almari.   

Kami sekeluarga sememangnya rimas dan benci melihat muka-muka sombong yang naik kerumah kami dengan hentakan kasut kulit buatan England. Kami meluat melihat tentera Gurkha yang lengkap bersenjata menegelilingi rumah kami dengan pandangan bengis dan angkuh itu.

Ketika peberontakan 1962 itu tercetus. Aku baru berumur 12 tahun. Ayahku meninggal dunia ketika aku berusia 14 tahun. Abangku yang sulung berada dalam Kem Tahanan Berakas ketika itu kerana penglibatannya dalam pemberontakan tersebut. Namanya  Mahmud Besiuni atau panggilan disukainya Bung Asnan.

Abang ku No 2, Mahmud Shahrani, masih menunut di Kolej Omar Ali Saifuddein, Abang ku No 3 Mahmud Saedon belajar di Kolej Islam Malaya. Adikku yang  bungsu baru berumur  6 tahun Saadiah namanya.

Kehidupan kami ketika ditinggalkan ayah yang waktu hidupnya berkhidmat sebagai guru besar sekolah rendah begitu perit.  Tiada pencen bulanan diterima ibuku.  Abangku  Asnan yang berada dalam tahanan mempunyai seorang isteri dan tiga orang anak ketika itu. Kami tinggal serumah.

Aku terpaksa membantu ibuku mencari rezeki untuk menampung kehidupan keluarga kami yang agak besar. Kami mula menternak ayam. Bertahun-tahun lamannya pada setiap pagi sebelum masuk waktu subuh lagi dan setiap petang hingga kesenja, reban ayam lah tempat ku “bermain”.

Anak-anak ayam dan berteduh dibawah rumpun bambulah penghibur hatiku, hati yang sering menangisi nasib malang keluarga ku. Aku memandang gelap akan masa depan ku dan keluarga.

Tiap hujung minggu aku menjualkan kueh dan mee siam kakak iparku untuk menampong perbelanjaan menyara tiga orang anak kecilnya.        

Aku masih ingat, mereka yang paling banyak membeli kueh dan mee yang ku jual ialah dari keluarga Pengiran Datu Penghulu Pengiran Hj Apong. Mereka senang dengan makanan yang ku jaja. Sungguh mulia hati keluarga ini. Semoga Allah mencucuri rahmat keatas roh ahli keluarga Pengiran Datu Penghulu yang telah pergi…

Pagi 16 Januri 2009 ketika misi menyusur Sungai Kianggeh itu, ku lihat, tiada lagi  rumpun bambu dihujung reban tempat ku selalu berteduh ketika panas terik dan ketika aku dilanda kerungsingan. Tiada lagi pohon membangan dan durian kuning udang galah yang ketika musim berbuah sering jadi rebutan anak-anak  dimusim pagi.

Tiada lagi pokok angsana sebesar tiga pemeluk, yang ketika musim gugur, bunganya yang ranik kuning keemasan akan memenuhi Sungai Kianggeh dan beranyut perlahan kekuala dibawa arus air nan surut seperti aliran air bunga mandian puteri kayangan.

Dan tiada lagi sebarang kesan tunggul rumah ayahku yang boleh menjadi saksi bahawa, itulah teratak tempat ku dilahirkan dan aku adalah anak watan Kampong Sungai Kianggeh yang  kembali kini mengunjunginya.

Kini aku sekadar mampu menangisi nasib malang menimpa kampung ku dengan keluhan “oh.. apa sudah jadi pada kampungku Kianggeh?” dan berkhayal “oh …betapa senangnya hatiku kalau aku dikurniakan sebuah lampu Aladin”.

Namun begitu,  walaupun saksi kesetiaan ku pada kampung ku terpadam, namun tanah yang ku pijak itu adalah pesaka ayahku yang telah kami lepaskan kepada seorang ahli kerabat demi memodali kehidupan baru abang-abang ku. Bertukarnya tangan tanah pusaka itu ku harap akan menjadi saksi nilai sebuah  hubungan akrab dan sebuah kesetiaan...

Aku menyusur lagi terus kehulu. Tersentak lagi saraf ku ketika melihat apartmen tinggi nan megah yang tersergam diatas tapak tanah yang pernah ku miliki. Aku tersentak bukan kerana dirundung sesalan kerana melepaskan tanah pusaka tersebut, tetapi akau menginsafi betapa bangunan tersergam indah itu sebenarnya melambangkan keindahan budi hati seorang kerabat yang sudi membelinya pada kadar yang lumayan ditahun 1986 semata-mata bagi membolehkan aku melunaskan hutang-piuatang sebuah perjuangan yang kudukong ketika aku berada dalam buangan dulu.

Beberapa langkah dihadapan, aku melihat Jalan  Kianggeh menuju ke Subuk terputus. Hancur! Tembok sungai tiada kelihatan lagi. Entah berapa puloh ribu diperlukan lagi untuk membaik pulih jalan dan saliran air yang rosak terok akibat banjir itu. Wallahu a’alam.

Ku titi juga bibir-bibir  jalan yang rosak itu untuk menuju kekawasan bekas letaknya  Tasek Limbaruh Buntar yang hanya beberpa ratus meter lagi jaraknya.

Akhirnya sampai lah aku dan teman-teman dibaruh bukit bekas kawasan Limbaruh Buntar yang kini dibelah longkang Kianggeh. Disitu pula di tempatkan pam air yang mengepam air dari tasek lama ketangki sebuh bukit di Subuk untuk keperluan air penduduk dikawasan tersebut.

Yang anehnya, kini terdapat rumah pam air yang baru berdekatan dengan bekas rumah pam air yang lama yang sudah rosak sama sekali kerana sering ditenggelami air hingga keparas bumbung.

Anehnya itu ialah  kerana, sudah diketahui bahawa kawasan itu ialah lembah yang sentisa dilimpahi air banjir hingga melimpasi ketinggian tujuh meter, tetapi masih juga dibina rumah pam baru ditempat yang sama. Apa rasionalnya, kita pun tidak tahu, Wallahu a’alam. Yang tahu hanya mereka yang ahli! Insinyur!. Engineer! Elit yang membuat keputusan!.

Kami berpatah balik menuju pusat Bandar melalui jalan lama, Jalan Kianggeh namanya. Beberapa ratus meter dari apartmen mewah itu, ku tilik-tilik bekas tapak rumah Allahyarham H.B Hidup, bekas Penolong Seiausaha Agung Parti Rakyat Brunei (PRB) yang pernah mengabadikan kumpulan antologi sjak dijuduli “Tasik Limbaruh Buntar”.

Dirumah papan beliau itu sering dikunjungi oleh para pemimpin dan ahli PRB. Tidak kurang rumah beliau itu juga didatangi oleh anak-anak muda dari Kolej Islam Malaya dan Univesiti Al Azahar ketika sebelum pemberontakan 1962 itu. Anak-anak muda Brunei yang terpelajar itu bercakap berapi-api mengenai keburukan penjajahan dan kebikan sebuah kemerdekaan!.

Anak-anak muda terpelajar itu sanggup duduk diatas lantai beralas tikar rumpun padi dan minum secangkir teh kosong dari air pancuran banjanran bukit Kianggeh sambil mengunyah kepingan biskut keras.

Ketika pemberontakan 1962, H.B. Hidup kembali kerahmatullah tertembek ketika bertempur dengan tentera penjajah. Semoga Allah sentiasa mencucuri rahmat ketas roh Almarhum.

Alhamdulillah, anak-anak muda yang bersemangat anti penjajahan itu dapat juga menikmati tuah kemerdekaan. Menjadi orang besar. Adakah mereka teringat untuk bersedekah Al Fatihah kepada Almarhum H.B. Hidup? Wallahu a’alam.

Kaki ini melangkah lagi, beberapa ratus meter dari tapak rumah H. B Hidup yang juga sudah terlepas ketangan orang lain itu,  kami melintasi tapak rumah  H.M. Salleh, seorang tokoh awal PRB bergelar “Banteng Nasional” . Pada tahun 1955, mesyuarat penubuhan PRB yang dihadiri lebih 200 orang diadakan dirumah beliau itu. PRB lahir dirumah dan tapak rumah itu.

Bertentangan dengan tapak rumah H.M Salleh, iaitu berdepan Hotel Jubilee, terdapat sebuah bangunan dua tingkat yang sudah uzur. Bangunan itu ialah bekas “Kedai Roti”.  Kedai roti ku maksudkan ialah kedai  membuat roti pertama orang Melayu milik pamanku sebelah ayah bernama Haji Abu Bakar Hashim.


Beliau menyewa tapak tersebut dari ayahku untuk membuat bangunan kedai rotinya. 

Tapak bangunan itu juga ialah bekas tanah pesaka ayahku yang sudah terjual ketika awal-awal enam puluhan dulu gara-gara kesempitan hidup. Tanah tersebut pernah dicagarkan oleh ayahku untuk membantu  membayarkan hutang “Light Press”, syarikat percetakan  milik pamanku A.M Azahari.

Pak Azahari ketika meninggalkan Brunei menjelang pemberontakan Brunei 1962 dulu meninggalkan sejumlah hutang dengan sebuah Bank tempatan. Ayahkulah yang menyambung membayar hutang beliau itu hingga keakhir hayatnya malah hutang tersebut sambung dibayar pula oleh abangku Mahmud Shahrani hingga selesai. Malangnya, dalam propaganda musuh politik Azahari, Azahari digambarkan seperti menanggung hutang “Light Press” tersebut seperti tidak pernah selesai!.

Kami terus kekuala jalan berdepan dengan Banguna Lapau. Disebelah kiri, kelihatan sebuah bangunan gah yang terbengkalai. Struktur tersebut membuatkan pemandangan kawasan tersebut “bida” (hodoh) ! Tidak diketahui mengapa bangunan yang sudah bertahun-tahun terbengkalai itu terbiar dan seperti dipandang sebelah mata sahaja oleh pihak berkenaan.

Yang jelek lagi ialah struktur bangunan tersebut menebingi anak sungai Kianggeh yang dulunya juga lebar dan dalam dipanggil Sungai Tekuyong. Seperti Sungai Kianggeh, Sungai Tekuyong dan Sungai Berangan yang sehubung dengan Sungai Tekuyong itu kini sudah menjadi longkang besar  atau “monsoon drain”.  

Begitulah kira-kiranya kampong ku yang hanya tinggal pada nama. Segalanya sudah berubah. Berubah! Berubah! Sungai Kianggeh sudah menjadi Longkang Kianggeh, Sungai Tekuyong dan Sungai Berangan sudah menjadi Longkang Tekuyong dan Longkang Barangan, Tasek Limbaruh Buntar sudah tiada lagi kerana dibelah longkang Kianggeh. Musim kemarau lembah Limbaru Buntar menjadi kering kuntang dan dimusim hujan akan bertukar menjadi lembah banjir.

Yang  kekal hanyalah pada nama Jalan Kianggeh dan Panggung Hassanal Bolkiah yang terletak di tebing kuala Sungai Kianggeh. Aku heran, kenapalah begitu susah sangat untuk mengubah nama panggung itu kepada nama yang lebih sesuai? Wallahu a’alam – (mmo).                

 
 
Presiden NDP


Hj. Muhammad Yasin bin Abdul Rahman @ Yasin Affandy

Timbalan Presiden

Sdra. Mahmud Morshidi Othman

Setiausaha Agung

Hj. Aminorashid Hj. Ghazali






 
 
 
 
 
 
 
 
 
Hakcipta terpelihara © 2006 oleh Aspirasi-NDP.com
Laman web direkabentuk dan dihos oleh Gawi Company.