Info Harian
Cuaca
Waktu Solat
Berita Kerajaan
Info Niagaan
Direktori Niagaan
Brunei SMEs
Info Brunei
Kenali Brunei
Kerajaan Brunei
Daily Diary
Pelita Brunei
Brunei Tourism
Telefon Kerajaan
Brunei Darussalam and the IMF
The EU's relations with Brunei
CIA on Brunei
WATCH NDP VIDEOS
 
 
EMAIL
UCAPAN PERASMIAN HIMPUNAN TAHUNAN PEMUDA, WANITA DAN NON-MUSLIM OLEH TIMBALAN PRESIDEN PARTI PEMBANGUNAN BANGSA

UCAPAN ALU-ALUAN PENGERUSI PANITIA KONGRES PERTAMA PARTI PEMBANGUNAN BANGSA

LAGU PATRIOTIK NDP - DEMI BRUNEI TERCINTA

ALBUM KONGRES AGONG NDP KE 2

ALBUM NDP JUNJUNG ZIARAH KEHADAPAN MAJLIS KDYMM DI KUALA BELAIT

KEYNOTE ADDRESS OF THE PRESIDENT OF NDP

PRESS STATEMENT IN CONJUNCTION WITH THE VISIT OF GERMAN'S MPS TO NDP
 
Artikel pilihan

Kearah Perpaduan Nasional: Harapan Dan Cabaran

TUNTUTAN PEMBELAJARAN BERTERUSAN

TUNTUTAN ORGANISASI: AMANAH DALAM PENGURUSAN PENTADBIRAN

MENCONTOHI MODEL KEPIMPINAN PARA  NABI

DIRGAHAYU KDYMM PADUKA SERI BAGINDA SULTAN- Berazam kearah BRUNEI tanpa penerima zakat

Institusi wakaf penggerak sosioekonomi ummah

Oleh Amran Zakaria

DUA istilah bahasa Arab yang biasanya digunakan dalam kajian wakaf ialah al-waqf dan al-habs. Kedua-duanya memiliki makna yang sama, iaitu menahan.

Imam Nawawi mendefinisikan wakaf dengan, 'menahan harta yang dapat diambil manfaatnya bukan untuk dirinya, sementara benda itu tetap ada dan digunakan manfaatnya untuk kebaikan dan mendekatkan diri kepada Allah SWT'.

Syeikh Syihabuddin Al-Qalyubi pula mendefinisikan, 'menahan harta untuk dimanfaatkan dalam hal yang dibolehkan dengan menjaga keuntungan harta itu', manakala Al-Murghinany mendefinisikan, 'menahan harta di bawah tangan pemiliknya disertai pemberian manfaat sebagai sedekah'.

Al-Kabisi lebih memilih pengertian wakaf seperti yang diberitahu oleh Rasulullah SAW kepada Umar Al-Khattab bahawa wakaf adalah 'menahan asal dan mengalirkan hasilnya'.

Dalam sejarah masyarakat Islam, wakaf memainkan peranan cukup besar. Profesor sejarah Universiti De Paul, Chicago Amerika Syarikat, Gregory C Kozlowski (1998) mengakui bahawa wakaf pada abad 14 atau 15 Masihi menjadi institusi bantuan kemanusiaan atau institusi sosial Islam paling terkenal.

Ini menunjukkan orang bukan Islam bukan saja mengkaji malah mengiktiraf institusi wakaf. Perakuan itu meyakinkan kita bahawa institusi wakaf yang digerakkan orang Islam berupaya menjadi nadi kepada kepelbagaian kegiatan kehidupan termasuk aspek pendidikan, sosial, ekonomi, kesihatan dan kebudayaan dalam masyarakat Islam sejak dulu lagi.

Malah sehingga kini dana wakaf terus menjadi pemangkin kepada pembangunan dan penyediaan infrastruktur pendidikan seperti apa yang dapat kita saksikan di Makkah, Madinah, Mesir, Kuwait, Turki dan lainnya.

Rasulullah SAW adalah orang pertama mewakafkan harta miliknya iaitu berupa harta benda yang diberikan sahabat Baginda bernama Mukhairiq yang berasal daripada rampasan perang. Langkah Rasulullah SAW itu kemudian diikuti sahabat.

Muhammad Abu Zahrah melalui bukunya Wakaf - Menurut Agama dan Undang-Undang menjelaskan, pembangunan Masjidil Haram dan Masjid Al-Aqsa berasal dari wakaf yang pernah ada dalam sejarah manusia.

Demikian juga pembangunan Masjid An-Nabawi di Kota Madinah juga berasal dari wakaf. Lebih jauh dapat dikemukakan bahawa pembangunan masjid di dunia biasanya dikaitkan dengan sumbangan wakaf.

Sebenarnya, kesedaran berhubung amalan berwakaf di negara kita bukanlah sesuatu yang baru. Institusi wakaf sudah banyak menyumbang kepada perkembangan agama dan pembinaan modal insan apabila wujudnya institusi masjid serta institusi pendidikan seperti madrasah.

Kewujudan institusi itu pada umumnya banyak disumbangkan generasi terdahulu melalui amalan mewakafkan harta. Sumbangan yang mereka lakukan itu bertolak daripada kesedaran berasaskan kemantapan dan pengukuhan iman.

Betapa besarnya kebaikan yang diperoleh daripada keikhlasan jiwa mereka. Keikhlasan bukan boleh dipaksa. Melakukan kerja secara ikhlas bermakna tidak mengejar nama, pangkat dan harta. Dalam Islam, ganjaran sebenar untuk mereka yang ikhlas ialah keredaan Allah SWT.

Itulah nikmat yang tiada bandingannya. Ketulusan jiwa dan naluri untuk mengejar nikmat Allah SWT janjikan selari dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Apabila mati seseorang anak Adam, maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak salih yang selalu mendoakan kepadanya" (Hadis riwayat Muslim)

Malah, apa yang lebih istimewa lagi ialah pahala orang yang mewakafkan hartanya akan kekal berpanjangan selagi harta diwakafkan masih wujud dan boleh dimanfaatkan, walaupun pewakafnya sudah meninggal dunia.

Pengetahuan mendalam mengenai pentingnya wakaf dalam nilai kehidupan sosial masyarakat Islam hari ini mestilah dipancarkan melalui pelaksanaan yang menjadi amalan menunggu musim sesuai. Sikap sesetengah umat Islam menoleh ke belakang untuk berbangga dengan sejarah silam semata-mata tidak akan ke mana selagi kita sendiri tidak menyambung bina tamadun itu.

Maknanya, kita perlu melihat wakaf sebagai sumbangan menjayakan visi ummah dan agama. Visi ummah bermaksud kita ingin masyarakat Islam memanfaatkan harta atau benda diwakafkan itu untuk mengembalikan kegemilangan ummah itu sendiri.

Visi agama pula bermakna kita melabur saham untuk dituai di akhirat nanti. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Apabila Allah menghendaki kebaikan ke atas seseorang, maka mengerjakannya orang itu. Sahabat bertanya: Bagaimana Allah mempekerjakannya? Nabi SAW menjawab: Iaitu Dia memberinya taufik untuk melakukan amal salih, kemudian mewafatkannya dalam keadaan beramal soleh itu." (Hadis riwayat At-Tarmizi)

Apa yang penting, umat Islam hari ini mestilah menyedari bahawa wakaf adalah kaedah digariskan syariat sebagai menunaikan tanggungjawab sosial. Kita patut mencontohi umat Islam terdahulu menterjemahkan melalui tindakan bukan sekadar mendengar cerita kehebatan pewakaf zaman silam.

Penubuhan Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji diharap membantu memastikan pengurusan harta zakat, wakaf dan urusan haji dilaksanakan lebih sistematik, cekap dan berkesan. Langkah proaktif menjana kecekapan dan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan untuk mencapai tahap kecemerlangan sepatutnya dipuji.

Formula berkesan dan terkehadapan bagi meningkatkan urus tadbir agama dengan lebih baik mesti menjadi tugas utama. Semestinya sistem urus tadbir agama hendaklah sentiasa dalam keadaan teratur, berkesan dan boleh dicontohi.

Kita tidak mahu urus tadbir agama dan harta awam diurus tadbir pada tahap yang minimum tanpa melihat perubahan persekitaran lebih kondusif serta berdaya saing. Kita ingin membentuk nilai keikhlasan dalam kerja dan amalan wakaf yang dianjurkan Islam.

Urus tadbir harta awam khususnya dalam menjaga kepentingan agama, mesti ditadbir dengan telus dan beradab supaya keyakinan umat kepada institusi agama dapat dipertahankan malah kelangsungan harta disumbangkannya dalam bentuk zakat, wakaf atau sedekah dapat dikendalikan lebih berkesan dan telus.

Apabila umat Islam sudah meyakini institusi agama ditadbir dengan cekap dan berkesan, kecenderungan umat Islam untuk melaksana tanggungjawab agama secara berterusan semakin bersemarak.

Amalan berterusan seperti mewakaf harta berasaskan nilai keikhlasan diyakini akan mendapat pahala berpanjangan di sisi Allah selagi barang atau harta diwakafkan kekal serta dimanfaat oleh orang yang menggunakannya.

Penulis ialah Ketua Pegawai Eksekutif Dewan Amal Islam Hadhari (DAMAI).

 
Presiden NDP


Hj. Muhammad Yasin bin Abdul Rahman @ Yasin Affandy

Timbalan Presiden

Sdra. Mahmud Morshidi Othman

Setiausaha Agung

Hj. Aminorashid Hj. Ghazali






 
 
 
 
 
 
 
 
 
Hakcipta terpelihara © 2006 oleh Aspirasi-NDP.com
Laman web direkabentuk dan dihos oleh Gawi Company.