Info Harian
Cuaca
Waktu Solat
Berita Kerajaan
Info Niagaan
Direktori Niagaan
Brunei SMEs
Info Brunei
Kenali Brunei
Kerajaan Brunei
Daily Diary
Pelita Brunei
Brunei Tourism
Telefon Kerajaan
Brunei Darussalam and the IMF
The EU's relations with Brunei
CIA on Brunei
WATCH NDP VIDEOS
 
 
EMAIL
UCAPAN PERASMIAN HIMPUNAN TAHUNAN PEMUDA, WANITA DAN NON-MUSLIM OLEH TIMBALAN PRESIDEN PARTI PEMBANGUNAN BANGSA

UCAPAN ALU-ALUAN PENGERUSI PANITIA KONGRES PERTAMA PARTI PEMBANGUNAN BANGSA

LAGU PATRIOTIK NDP - DEMI BRUNEI TERCINTA

ALBUM KONGRES AGONG NDP KE 2

ALBUM NDP JUNJUNG ZIARAH KEHADAPAN MAJLIS KDYMM DI KUALA BELAIT

KEYNOTE ADDRESS OF THE PRESIDENT OF NDP

PRESS STATEMENT IN CONJUNCTION WITH THE VISIT OF GERMAN'S MPS TO NDP
 
Artikel pilihan

Kearah Perpaduan Nasional: Harapan Dan Cabaran

TUNTUTAN PEMBELAJARAN BERTERUSAN

TUNTUTAN ORGANISASI: AMANAH DALAM PENGURUSAN PENTADBIRAN

MENCONTOHI MODEL KEPIMPINAN PARA  NABI

DIRGAHAYU KDYMM PADUKA SERI BAGINDA SULTAN- Berazam kearah BRUNEI tanpa penerima zakat

Amanah Dan Kepimpinan

LIMBARUH HIJAU 18 JANUARI 2009 - PERSIDANGAN Majlis Permesyuaratan Perhubungan Daerah (MPPD) Parti Pembangunan Bangsa (NDP) bagi penggal pertama tahun 2009 berakhir dengan jayanya kelmarin di Hotel Holiday Lodge Jerudong.

Apa yang sangat menarik perhatian, persidangan pertama MPPD bagi tahun baru 2009 kelmarin mengambil tempat ketika NDP berada di persimpangan jalan setelah lebih 3 tahun meneroka liku-liku politik negara yang selama hampir 40 tahun ini di selubungi suasana kurang mesra politik.

Tahun ini ahli-ahli NDP yang sudah berjumlah hampir 2000 orang akan membuat keputusan melalui Pemilihan Umum Kepimpinan Parti bagi memilih barisan kepimpinan yang bakal mengemudi bahtera NDP di 3 tahun mendatang ini iaitu dari 2009 hingga ke 2012.

Dalam lain perkataan nasib masa depan dan maju mundur nya NDP di 3 tahun mendatang akan di tentukan oleh kebijaksanaan semua ahli-ahli memilih dan mengundi barisan kempimpinan yang bakal menerajui parti kelak.

Dalam konteks itu, sdr Mahmud Morshidi Othman, Timbalan Presiden NDP selaku tetamu kehormat kelmarin mengambil kesempatan berucap dan memberikan kata-kata nasihat kepada ahli-ahli untuk di jadikan panduan dalam masa mereka melaksanakan tanggunjawab berorganisasi dan dalam masa mereka melaksanakan kewajipan memilih barisan kepimpinan yang mereka yakin layak menerajui NDP di saat-saat negara sedang berhadapan dengan cabaran-cabaran yang lebih hebat dalam perjalanannya menuju ke arah kecemerlangan di tahun 2035.

Berikut ialah ucapan penuh dan kata-kata nasihat sdr Morshidi yang di maksudkan:

"Suka saya mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan selamat tahun baru Hijrah 1430 dan tahun baru masehi 2009 yang  baru kita sambut.

Bagi kebanyakan orang, kedatangan tahun baru lazimnya disertakan dengan keazaman yang baru, tekad yang baru, perancangan dan wawasan dinilai baru dan bergerak kehadapan dengan lebih laju yang dipacu oleh semangat yang baru.

Selain itu, bagi kita, kedatangan tahun baru adalah peluang untuk membolehkan kita menoleh kebelakang dan menilai pencapaian dan kemajuan yang telah di capai sejak setahun yang lalu.

Dalam konteks berorganisasi, kita dituntut supaya menilai pencapaian kita dan bersikap jujur dengan penilaian tersebut sama ada kita telah mencapai sasaran yang telah ditetapkan atau sebaliknya.

Sekiranya segala sasaran telah kita capai, pastinya kita tidak boleh berpuas hati dan leka dengan pencapaian tersebut. Sebaliknya kita harus menggandakan usaha dengan meletakkan sasaran baru yang lebih tinggi dan bergerak dengan pantas supaya kita mencapai  kemajuan yang  lebih baik lagi.

Akan tetapi kiranya sejak setahun yang lalu segala sasaran yang diletakkan tidak tercapai, kita harus bermuhasabah dan melihat segala kelemahan yang ada pada diri kita dan pada organisasi kita.

Sebelum kita menyalahkan orang lain diatas kelemahan dan kegagalan kita, kita mestilah terlebih dahulu mengamnbil tanggungjawab mengakui dan mengenalpasti semua kelemahan yang ada dan seterusnya mengambil langkah-langkah penambahbaikan yang perlu.

Tidak wajar jika kita asyik berazam dan bertekad dengan wawasan dan semangat yang baru setiap kali tibanya tahun baru tetapi kita tetap saja alpa dan lalai dengan kelemahan kita sendiri.

Saudara saudari sekalian,

Ketibaan tahun baru 2009 membawa bersamanya satu lagi titik penting dalam kronologi politik dan perjuangan NDP.

Pada tahun ini buat pertama kalinya kita akan memilih kepimpinan parti di setiap peringkat di seluruh negara menerusi pemilihan umum yang lebih berstruktur.

Pemilihan kali ini akan mempastikan penglibatan seluruh ahli parti di setiap pelusuk negara yang digerakkan oleh pimpinan akar umbi sendiri diperingkat ranting dan zon.

Justeru itu, pemilihan umum kepimpinan parti 2009 ini bolehlah ditafsir sebagai satu landmark event dalam proses politik kepartian di negara Brunei Darussalam setelah lebih empat dekad proses tersebut tidak disaksikan oleh sejarah politik negara.

Justeru proses pemilihan yang sedang kita ungkayahkan dalam tempoh enam bulan ini akan menjadi satu penanda aras yang akan menggambarkan tahap kematangan, kebijaksanaan, kesediaan dan kesedaran hak-hak politik di kalangan rakyat jelata.

Oleh yang demikian setiap dari kita yang berada dalam saf kepimpinan NDP dan ahli-ahli seluruhnya harus menyedari betapa kritikalnya proses pemilihan yang sedang berjalan sekarang ini.

Pemilihan ini amat penting kerana ianya bukan hanya sekadar untuk mengisi kekosongan hampir 300 kerusi dalam kepimpinan parti disemua peringkat, tetapi hendaklah dilihat dalam perspektif yang lebih luas.

Dalam hubungan ini ingin saya menjuruskan pandangan kita kepada apa yang saya maksudkan dengan persepektif yang lebih luas itu atau apa yang sering disebut sebagai looking at the big picture. Kita boleh melihatnya melalui dua senario berikut.

Pertama, kita harus sedar betapa segala tumpuan dari dalam dan dari luar Negara sedang dihalakan kepada NDP pada ketika ini.

Andainya kita gagal, dalam erti kata pemilihan ini tidak berjalan dengan lancar, dicemari dengan insiden yang tidak diingini, dan kadar keluar mengundi yang rendah di kalangan ahli, maka akibatnya akan terciptalah “krisis keyakinan” pablik terhadap NDP.

Kegagalan yang saya sebutkan itu akan menyebabkan tumbangnya satu demi satu pasak atau penanda yang telah kita tegakkan selama ini.

Maka ianya akan menjustifikasikan segala tohmahan dan kesangsian yang selama ini cuba dipalitkan kepada perjuangan NDP. Dengan sendirinya NDP akan hilang segala kredibiliti dan kewibawaannya sebagai wadah perjuangan rakyat seluruhnya.

Senario kedua pula, ialah apa pula kesan berganda yang akan kita kecapi andainya kita berjaya?

Kejayaan ini adalah dalam erti kata pemilihan yang berjalan dengan lancar dan teratur, tiada insiden yang tidak diingini berlaku, tiada meninggalkan sebarang kesan perpecahan dikalangan ahli dan paling utama ialah kadar keluar mengundi yang tinggi di kalangan ahli.

Kalaulah ini senarionya, ia bermakna kita telah berjaya menghantar satu mesej yang jelas betapa NDP dan rakyat secara umumnya sudah memiliki kesedaran politik yang tinggi.

Ianya juga mencerminkan tahap kematangan, kebijaksanaan dan paling utama ialah petanda kesediaan rakyat untuk bergiat dan melibatkan diri secara langsung dalam proses demokrasi atau penglibatan didalam proses pembuatan keputusan pada tahap yang lebih tinggi.

Tidak mustahil, perjalanan demokrasi didalam parti kita ini bakal dijadikan pengukur oleh pihak berkenaan dalam menterjemahkan titah Kebawah DYMM  sempena hari keputeraan Baginda yang ke-58 pada 27 Jamadilawal 1425 bersamaan 15 Julai 2004, menggariskan langkah-langkah untuk meningkatkan peluang dan penglibatan rakyat yang lebih formal ke arah memberi sumbangan membina kepada kemajuan negara.

Antara lain perkataan, kejayaan proses demokrasi yang dipraktiskan didalam NDP yang saya sebutkan tadi, tidak syak lagi boleh mengirim isyarat bahawa rakyat sesungguhnya telah menunjukkan keupayaan dan kesediaan mereka untuk terlibat secara formal didalam proses pembuatan keputusan dan  pembangunan negara.

Kesungguhan dan kejayaan kita merialisasikan terciptanya politik yang matang itu akan menjadi bukti bahawa kita berada di landasan yang betul ke arah menggerakkan perubahan dan pembaharuan politik yang lebih menyeluruh di peringkat negara.

Saudara saudari sekalian,

Pilihan adalah di tangan kita. Sama ada kita ingin melihat senario pertama iaitu kegagalan atau pun senario kedua yang melihat impak dan implikasi posotif yang meluas ke atas perkembangan pembaharuan politik negara.

Sebagai ahli yang mendukung sebuah pergerakan yang berwawasan, tentulah kita memilih scenario kedua itu.

Dalam hubungan ini kita sebagai pemimpin mempunyai tugasan yang besar untuk menggerakkan seluruh ahli bagi sama-sama merialisasikan wawasan yang kita dokongi ini.

Kita bertanggungjawab untuk memberi kesedaran kepada seluruh ahli supaya melibatkan diri secara aktif dalam proses pemilihan kepimpinan parti yang  sedang berlaangsung ini.

Ahli perlu diberi penjelasan bahawa dengan penglibatan yang aktif itu mereka sesungguhnya mempunyai kuasa, peranan dan tanggungjawab untuk menghasilkan impak yang berganda dan menghantar mesej yang jelas kepada semua pihak.

Saudara saudari sekalian,

Dalam usaha untuk menjelmakan kejayaan idealisme yang kita harapkan itu, prinsip penting yang harus menjadi pegangan kita ialah amanah.

Prinsip ini harus ada pada setiap orang tanpa mengira kedudukannya sama ada sebagai pemimpin atau ahli biasa sahaja.

Melalui Sural An-Nisa’ ayat 58, Allah berfirman maksudnya, “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya).”

Ini bermakna amanah itu adalah sesuatu yang wajib dipelihara dengan sebaik-baiknya dan diserahkan kepada yang berhak. Orang yang tidak menjaga amanah dan tidak menyampaikannya adalah dikategorikan sebagai orang yang khianat.

Amanah yang mesti ada di kalangan ahli bermaksud bahawa seseorang ahli itu hanya mencalonkan orang yang berhak sahaja untuk menjadi pemimpin. Maknanya mereka mestilah mencalonkan orang yang layak untuk memegang kepimpinan dalam parti.

Kita telah banyak bercakap mengenai kualiti kepimpinan yang diperlukan oleh parti di forum-forum MPPD sebelum ini.

Sesorang ahli tidak boleh sama sekali mencalonkan seseorang ahli yang lain atas alasan orang itu ahli kerabatnya atau kawannya atau pertimbangan-pertimbangan yang lain sehingga mengenepikan orang yang lebih layak dan lebih berhak untuk dicalonkan dan disokong.

Demikian juga seseorang ahli itu tidak boleh mengenepikan ahli kerabatnya atau kawannya jika sememangnya seseorang itu berhak kerana mempunyai kelayakan.

Apakah kesan dan akibatnya kalau kita tidak beramanah dalam soal ini?.

Rasulullah SAW telah memberi amaran, maksudnya: Jika disia-siakan amanah maka tunggulah kiamat (kehancuran); di antara sahabat bertanya bagaimanakah (yang dikatakan) mensia-siakan amanah itu? Jawab Rasulullah: “Apabila urusan (pekerjaan) itu diberikan kepada orang yang bukan ahlinya.” (Riwayat Buhkari)

Jadi adalah amat penting supaya setiap ahli memahami dan beramal dengan prinsip amanah ini kerana keputusan ahli akan menentukan corak kepimpinan dan halatuju parti setidak-tidaknya untuk tiga tahun yang akan datang.

Amanah juga harus menjadi pegangan setiap individu yang dicalonkan menjadi pemimpin atau yang bercita-cita menjadi pemimpin. Dalam hubungan ini suka saya memetik ayat 26 Surah Al-Qasas yang bermaksud, “Sebaik-baik orang yang engkau upah (dalam mengerjakan sesuatu) ialah orang yang kuat dan amanah.”

Ayat ini dengan jelas menggariskan dua ukuran kelayakan yang harus ada pada setiap pemimpin iaitu kekuatan dan amanah.

Kuat di sini bermaksud kemampuan mental, kecekapan dan kebijaksanaan dalam melaksanakan tugas.

Amanah pula bermaksud amanah dalam mentadbirkan urusan tugas menurut lunas-lunas hukum, di samping sentiasa bermuraqabah terhadap Allah dan berani dalam membela kebenaran.

Saudara saudari sekalian,

Apabila kita menyebut soal kepimpinan dan pemilihan, perkara pertama yang terlintas di dalam pemikiran kita ialah pencalonan. Apakah pandangan Islam terhadap soal pencalonan ini? Hadis Rasulullah yang diriwayatkan oleh Abdul Rahman bin Samrah, yang bermaksud, “Wahai Abdul Rahman, jangan kamu meminta kepimpinan. Ini kerana jika kamu diberikan berasaskan permintaan, kamu menerimanya tanpa pertolongan(Allah). Sebaliknya jika ia diberikan tanpa permemintaan, kamu akan diberi pertolongan (dalam menunaikannya oleh Allah)”. (Riwayat Bukhari & Muslim).

Hadis ini dijadikan sandaran bahawa mencalonkan diri sendiri atau menawarkan diri untuk dicalonkan tidaklah dibolehkan kerana ianya sama sahaja dengan meminta-minta kekuasaan atau jawatan. Tetapi sekiranya jika seseorang itu dicalonkan oleh orang lain maka ianya dibenarkan.

Begitu juga kita mengajak seluruh ahli menyokong seseorang calon yang layak dan terbaik maka ianya juga dibenarkan.

Meskipun mencalonkan diri atau menawarkan diri tidak dibolehkan mengikut kaedah umum syariat, tetapi jika keadaan memaksa dan demi kepentingan syariat itu sendiri maka hukumnya adalah harus. Pandangan ini adalh berdasarkan maksud ayat 54-55, Surah Yusuf,

“Dan raja berkata, bawalah Yusuf kepadaku agar aku memilih dia sebagai orang yang rapat kepadaku. Maka tatkala raja bercakap-cakap dengannya dia berkata, sesungguhnya kamu mulai hari ini menjadi seorang yang berkedudukan tinggi lagi dipercayai di sisi kami. Berkata Yusuf, jadikanlah aku bendahari negara. Sesungguhnya aku ialah orang yang pandai menjaga lagi berpengetahuan.”

Perkataan Nabi Yusuf a.s. seperti ini tentunya tidak dapat diertikan sebagai ketamakan terhadap pangkat, tetapi tawaran tersebut adalah kerana keyakinan Baginda terhadap kebolehannya untuk menjaga khazanah Negara dan dorongan untuk menjadikan tugas tersebut sebagai amal soleh demi menuju keredaan Allah SWT.

Ini bermakna kepimpinan itu bukannya soal yang ringan, atau boleh setakat dicuba-cuba bagaikan trial and error. Bahkan ia merupakan satu soal yang berat yang mesti ditanggapi dengan serius dan komitmen yang mantap. Ini bersandarkan maksud hadis……..

“Ia (kepimpinan) merupakan amanah. Pada hari kiamat, ia merupakan kehinaan dan penyesalan kecuali bagi orang yang mengambilnya dengan hak dan menunaikan kewajipan ke atas dirinya dalam tugas tersebut.” (Riwayat Muslim).

Dalam hubungan ini saya mengambil kesempatan untuk mengingatkan diri saya dan sesiapa jua yang berhasrat untuk menjadi pemimpin parti supaya sentiasa mengambil iktibar dan berpegang dengan akhlak dan etika yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dan Al-Quran.

Oleh kerana kepimpinan itu merupakan amanah, maka kita dinasihatkan oleh Rasulullah SAW supaya tidak begitu ghairah untuk merebut jawatan atau kedudukan. Dalam konteks ini, Rasulullah pernah menolak permohonan seseorang dengan bersabda, “Demi Allah, kami tidak akan melantik bagi urusan ini seseorang yang memohonnya atau sesiapa yang terlalu mengkehendakinya.” (Riwayat Buikhari & Muslim).

Walau bagaimanapun, peringatan Rasulullah itu bukan bermakna kita mesti menjauhkan diri daripada kuasa dan kepimpinan. Selain dari kisah Nabi Yusuf a.s. sebelum ini, Allah juga pernah memerintahkan Rasulullah supaya memohon kepadaNya dengan berdoa, seperti mana yang dikisahkan melalui ayat 80, Surah Al-Isra’ yang bermaksud,

“Dan katakanlah, Wahai Tuhanku, masukkanlah aku dengan cara yang benar dan keluarkanlah (pula) aku dengan cara yang benar dan berikanlah kepadaku dari sisi Engkau kekuasaan yang menolong.”

Saudara saudari sekalian,

Kepimpinan adalah sesuatu yang penting dalam mana-mana organisasi tidak kira di peringkat mana sekalipun. Pemimpin bukan hanya bertanggung jawab terhadap apa yang dipimpinnya, tetapi juga bertanggungjawab terhadap Allah SWT.

Dalam hadis yang lain pula Rasulullah menegaskan, “Setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap kamu itu akan diminta pertanggungjawaban dari apa yang dipimpinnya.” (Riwayat Bukhari).

Saudara Saudari sekalian,

Saya melihat kepimpinan parti bagi tempoh tiga tahun akan datang bakal memikul tanggungjawab yang lebih besar dan mencabar, terutamanya dalam soal pemantauan dasar-dasar dan perlaksanaan Wawasan 2035 dan projek-projek pembangunan yang menyentuh kepentingan rakyat.

Dalam kesempatan-kesempatan yang lepas, sama ada semasa Kongres atau pertemuan-pertemuan yang lain, kita banyak menyentuh soal perlaksanaan projek-projek pembangunan, kemiskinan, perumahan, pengurusan kewangan, keselamatan makanan dan pendidikan.

Seperti yang kita kutip, dari pengamatan orang-orang dibawah mereka ternampak masih terdapat banyak kelemahan, kecacatan dan ketirisan dari segi penggubalan dasar, perancangan pembangunan dan penyampaiannya yang memerlukan kepada pemantauan yang jitu dan berterusan.

Tanggungjawab ini hanya mampu ditunaikan oleh barisan pimpinan yang mempunyai pemikiran yang jauh, berilmu dan bermaklumat, dan memilki keberanian untuk menyatakan kebenaran.

Berani dalam kontkes parti tidak sekadar sondol-sondolan atau berani membabi buta. Kita tidak berhajat kepada pimpinan sedemikian kerana berani tanpa perhitungan boleh membuat kita tumbang dan kecundang justeru tidak akan memberi manfaat kepada parti atau kepada negara.

Saudara saudari sekalian,

Perencanaan Kemajuan Jangka Panjang Negara Brunei Darussalam telah digubal dan sedang dilaksanakan dengan tujuan untuk membawa negara ke arah pencapaian Wawasan Brunei 2035.

Perencanaan ini bermula pada tahun 2007. Ini bermakna perencanaan ini masih berada dalam peringkat formative yang pada pandangan kita adalah kritikal.

Pada pandangan kita, impak ke atas setiap dasar pembangunan yang dirangka tidak dapat diiukur secara total dalam jangka masa pendek kerana ia lebih bersifat jangka masa panjnag (long term effect). Yang dibimbangi ialah, sebarang kelemahan atau kecacatan dalam penggubalan dasar atau ketirisan dan kegelinciran dalam perlaksanaan dasar pembangunan Negara akan memberi kesan yang besar kepada pencapaian matlamat Wawasan 2035.

Antara lain perkataan, sebarang kelemahan dalam sesuatu penggubalan dasar tidak akan dirasai dalam tempoh terdekat. Lazimnya kesan ini akan di deritai dalam tempoh 20 atau 30 tahun yang akan datang.

Maknanya, kita tidak mau terdapat sebarang kelemahan didalam formulasi dasar dan perlaksanaannya  berlaku pada hari ini kerana, kesannya akan dirasai oleh generasi anak dan cucu kita.

Tentulah kita tidak mau meninggalkan legasi atau mewariskan segala macam kepayahan dan kesusahan kepada anak cucu kita kelak. Dan kita tentunya tidak mahu di persaslahkan oleh geneasi akan datang bahawa NDP habyalah sebuah parti yang jumud.

Jika kita menginginkan sesuatu yang terbaik untuk mereka, maka kita mesti memainkan peranan yang terbaik hari ini iaitu memantau seluruh proses penggubalan dasar dan perlaksanaan program pembangunan negara pada hari ini.

Ini semua menuntut kepada barisan kepimpinan yang berkualit, berkeupayaan dan berkemampuan. Kita tidak mahu siri-siri kelemahan yang dialami sejak 25 tahun yang lalu berulang lagi menjelang pencapaian Wawasan 2035.

Adakah kita sanggup melupakan tragedi Amedeo yang menyebabkan negara kerugian yang dianggarkan sehingga 16 bilion USD itu? Atau adakah kita mahu kelemahan perancangan pertanian negara berterusan sehingga kita hanya mampu menghasilkan sekadar 3.12 peratus sahaja keperluan beras negara?

Sanggupkah kita membayangkan kemiskinan, papa kedana yang bakal menimpa zuriat kita kerana pengurusan dana hari ini yang lemah?

Apakah kita berangan untuk menduduki 10 yang teratas dunia sedangkan peratus rakyat yang mencapai pendidikan tinggi cuma sekadar 4.3 peratus?

Sanggupkah kita menerima norma bahawa rakyat terpaksa menunggu sehingga 15-20 tahun untuk memiliki rumah sendiri di bawah perancangan perumahan negara?

Saudara saudari sekalian,

Kita mesti belajar dari sejarah kerana sejarah itu adalah satu-satunya guru yang tidak berbohong. Ahli falsafah ada menyatakan “mereka yang tidak belajar dari sejarah, nescaya akan mengulangi kesilapan yang lalu.”

25 tahun merupakan satu tempoh yang cukup panjang untuk kita melihat dan menginsafi akan segala kelemahan yang berlaku dalam dasar-dasar dan perancangan pembangunan negara. Saya pasti bahawa kita tidak rela untuk melihat kelemahan ini berterusan tanpa sebarang proses penambahbaikan yang bermakna.

Oleh itu barisan pimpinan parti yang akan menerajui NDP bagi tempoh 3 tahun akan datang mestilah mempunyai keberanian, kemampuan, kebijaksanaan dan iltizam untuk memahami proses-proses pengubalan dan perlaksanaan pembangunan negara.

Hanya melalui kefahaman ini barulah seseorang pemimpin itu mampu untuk membuat pemantauan yang berkesan dan seterusnya mengutarakan pandangan dan teguran yang membina dan bernas sesuai dengan komitmen kita untuk menjadi rakan strategic Kehadapan klebawah Duli YMM dan Kerajaan Baginda.

Saudara saudari sekalian,

Selain yang saya sebutkan sebentar tadi, suka juga saya tekankan di sini bahawa untuk menjadi pemimpin kita mesti memiliki sifat istiqamah. Istiqimah itu mestilah merangkumi istiqamah dengan ucapan, istiqamah dengan hati dan istiqamah dengan seluruh perbuatan. Khalifah Ar-Rasyideen yang empat bila ditanya mengenai penegrtian istiqamah itu mengemukakan jawapan-jawapan yang berikut,

Abu Bakar r.a. menjelaskan, istiqamah itu hendaklah kamu tidak menyekutukan Allah dengan sesuatu apa pun. Umar r.a. pula berkata, istiqamah itu adalah kamu hendaklah selalu lurus dalam mengerjakan perintah dan menjauhi larangan serta jangan menyeleweng. Uthman bin Affan r.a. memberi pengertian yang ringkas iaitu istiqamah adalah ikhlas. Akhir sekali Ali r.a. menyimpulkan istiqamah sebagai menunaikan semua kewajipan.

Hikmah yang boleh kita petik dari pengertian istiqamah yang diberikan oleh empat khalifah agung tersebut adalah setiap pemimpin mestilah sentiasa ikhlas, lurus, bertanggungjawab dan berpegang kepada akidah yang hakiki.

Saya yakin dan sangat berharap bahawa petikan ayat Al-Quran, hadis dan pendapat para sahabat yang saya ajukan itu akan memberikan kita panduan dan bimbingan bagi menunaikan tanggungjawab kita kepada agama, masyarakat, bangsa dan negara melalui wadah organisasi kita iaitu NDP.

Saudara Saudari sekelian,

Kita baru sahaja merayakan sambutan tahun hijrah 1430 baru-baru ini. Hijrah dalam konteks yang umum boleh dimaksudkan sebagai perpindahan dari satu tempat ke satu tempat yang lain atau dari satu keadaan ke satu keadaan yang lain. Walau apa pun pengertiannya, intipati hijrah itu ialah kita berubah atau berpindah dari keburukan kepada kebaikan dan dari kebaikan kepada yang lebih baik.

Kebetulan pula sempena tahun hijrah 1430 ini juga akan berlaku perubahan dalam pimpinan parti. Saya menyeru kepada semua ahli dan siapa saja yang dipilih untuk memimpin parti di semua peringkat bagi tempoh tiga tahun yang akan datang supaya benar-benar menghayati semangat hijrah demi kebaikan kita, parti dan negara.

Saya bangkitkan semua ini kerana saya percaya saudara saudari yang kini menduduki saf kepimpinan parti mempunyai tanggungjawab yang besar untuk merealisasikan perjuangan parti. Kita tentunya sedar bahawa semakin tinggi jawatan yang kita sandang maka makin besarlah tanggungjawab yang kita pikul.

Saya berkeyakinan bahawa saudara saudari sekalian tidak akan leka dan berlengah-lengah untuk menggerakkan seluruh jentera parti dan ahli supaya kita sama-sama membuat penghijrahan melalui pemilihan kepimpinan dengan harapan penghijrahan itu akan mecetuskan pembaharuan dan kesedaran politik yang lebih besar di kalangan rakyat.

Kita pastinya tidak boleh berpuas hati dengan bilangan keahlian dan pencapaian yang kita perolehi setakat ini. Usaha yang lebih besar amatlah ditagih supaya apa yang kita perjuangkan ini benar-benar relevan dan akan memikat hati dan sanubari rakyat. Ini perlu kepada satu pendekatan dan startegi yang baru. Harapan saya ialah barisan kepimpinan yang akan menerajui parti nanti benar-benar berkeupayaan untuk membawa pendekatan dan strategi yang lebih dinamk dan berkesan.

Untuk makluman saudara saudari sekalian, seperti mana yang telah diumumkan oleh ayahanda Presiden parti, kita telah menubuhkan suruhanjaya pemilihan umum dan mengeluarkan tatacara pemilihan parti. Pembaharuan ini kita perkenalkan untuk mempastikan proses pemilihan yang akan dilaksanakan di seluruh negara berjalan dengan lancar, bebas dan berintegriti.

Peraturan yang kita perkenalkan ini cuma akan bermakna sekiranya kita sebagai pemimpin semasa mampu memberikan kefahaman kepada ahli seluruhnya untuk menggunakan hak mereka bagi memilih pemimpin yang benar-benar layak berteraskan prinsip amanah.

Saya juga berharap SPU yang baru ditubuhkan itu dan kita yang berada dalam saf pimpinan sekarang akan mengambil daya usaha untuk menerangkan semua aspek pencalonan dan pemilihan parti kepada setiap ahli di setiap peringkat di seluruh negara.

Saudara saudari sekalian,

Sebelum saya akhiri ucapan ini, sekali lagi saya ucapkan terima kasih kepada saudara saudari sekalian kerana sudi hadir dan menunjukkan komitmen dan kesungguhan terhadap isu-isu dan cabaran yang begitu besar di hadapan kita. Harapan saya ialah segala yang saya tampilkan pada pagi ini akan mampu menjana pemilihan parti yang benar-benar memperlihatkan aspirasi parti dan rakyat.

Saya juga berdoa semoga barisan kepimpinan baru yang akan menerajui parti bagi tempoh tiga tahun yang akan datang akan membawa parti dan perjuangan ke tahap yang lebih tinggi.

Kita seharusnya sedar bahawa NDP adalah satu-satunya saluran bagi rakyat untuk menyatakan hasrat dan aspirasi mereka. Oleh itu kita dengan penuh rasa tanggungjawab dan berintegriti hendaklah sentiasa bersedia untuk memikul amanah dan aspirasi tersebut".

 
Presiden NDP


Hj. Muhammad Yasin bin Abdul Rahman @ Yasin Affandy

Timbalan Presiden

Sdra. Mahmud Morshidi Othman

Setiausaha Agung

Hj. Aminorashid Hj. Ghazali






 
 
 
 
 
 
 
 
 
Hakcipta terpelihara © 2006 oleh Aspirasi-NDP.com
Laman web direkabentuk dan dihos oleh Gawi Company.