PERUTUSAN PRESIDEN NDP SEMPENA TAHUN BARU MASIHI 2007

JADIKAN 2007 WADAH UNTUK TERUS MEMPERKASA NDP

 
 

Bismillahirahmanirahim

Alhamdullilahi Rabbil Alamin, salawat serta salam ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad S.A.W serta keluarga dan sahabat-sahabat serta pengikut-pengikut Baginda yang ta’at lagi setia hingga ke akhir zaman.

Syukur ke hadrat Allah SWT diatas limpah rahmatNya mengizinkan kita dan negara kita memasuki tahun baru masihi 2007 dengan suasana aman dan selamat.

Kita juga bersyukur kerana negara sentiasa dirahmati dengan suasana aman dan makmur ditahun 2006.

Suasana aman dan makmur itu, Alhamdullilah, telah membolehkan Parti Pembangunan Bangsa (NDP), sebagai sebuah parti politik yang baru lahir, terus maju dan berkembang sepanjang tahun 2006 dengan baiknya.

Dari hanya dianggotai oleh lebih kurang 30 ahli pada awal penubuhannya pada 31 Ogos 2005, NDP terus berkembang dengan keanggotaan sekarang melebihi 1000 orang ahli.


Dalam waktu yang singkat itu, NDP juga Alhamdullilah telah berjaya mengadakan Kongres Agong pertama dengan dihadiri oleh lebih 700 ahli-ahli, perwakilan-perwakilan dan tetamu-tetamu yang dijemput khas; mengibarkan dengan rasminya bendera ‘Sang Setia’ dan berjaya melancarkan Manifesto parti.

Pencapaian-pencapain juga dapat dibuat dengan penubuhan ranting-ranting dalam usaha mengemaskinikan jentera pentadbiran parti.

Selain itu NDP melalui biro-biro tertentu juga berjaya mengungkayahkan beberapa aktiviti-akitiviti dan program-program kemasyarakatan, keugamaan, kebudayaan, pertanian serta program pembangunan usahawan kecil dan sederhana dibidang permakanan.

Disamping itu, pencapaian juga dapat dilihat dalam usaha memperkasa NDP sebagai sebuah parti politik yang bewibawa dan boleh diiktiraf sebagai mewakili suara rakyat.

Dalam konteks ini beberapa isu yang diketengahkan oleh NDP seperti isu kenaikan gaji kakitangan kerajaan bergaji rendah dan bergaji hari, elaun pensyen tua dan masalah pembayaran kepada pesawah-pesawah diberikan perhatian dan diambil tindakan oleh Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Semua ini kita capai berkat semangat kerjasama, sokongan kuat dan komitmen dari ahli-ahli dan pemimpin-pemimpin dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab semua untuk merealisasikan visi, misi dan objektif parti dengan berpandukan perlembagaan parti dan menurut peraturan-peraturan yang telah digarisakan dalam Akta Pertubuhan.

Di kesempatan ini saya ingin merakamkan ribuan terima kasih dan tahniah kepada Jabatan Perdana Menteri, pihak Pendaftar Pertubuhan-pertubuhan (ROS) serta beberapa agensi-agensi kerajaan yang lain yang telah berjaya melaksanakan dasar-dasar kerajaan berhubung pembentukkan dan pembaharuan politik (political reform) seperti yang dihasratkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan.

Komitmen dan ketelusan pihak-pihak berkenaan melaksanakan dasar-dasar yang dimaksudkan dan langkah-langkah memudah cara yang diamalkan oleh mereka telah banyak membantu dan memudahkan NDP untuk terus berkembang maju dalam usaha membantu Baginda Sultan dan Kerajaan Baginda merealisasikan dasar-dasar dan aspirasi pembaharuan politik negara tersebut.

Harapan kita, tahun 2007 ini akan menjadi wadah bagi peningkatan persefahaman dan usaha sama antara golongan elit pentadbir dan parti-parti politik untuk terus bergerak seiringan melahirkan dan menzahirkan budaya politik dan berpolitik yang sihat serta dapat melahirkan masyarakat sivil yang berperanan aktif dalam pembangunan bangsa dan negara.

Insya Allah NDP akan terus menjadi wadah dan wasilah kepada rakyat bagi menyalurkan khidmat sivik, politik, ekonomi, sosial, budaya dan lain-lain, sesuai dengan aspirasi bersepadu Baginda dan rakyat Baginda dalam membentuk sebuah negara dan bangsa yang bermaruah dan berdaulat.

Saya juga berseru kepada semua pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli NDP agar menjadikan tahun 2007 ini sebagai wadah membaharui tekad kita untuk terus memperkasa dan memantapkan lagi pelantar politik kita ini.

Tidak keterlaluan jika saya katakana harapan rakyat untuk melihat NDP berjaya semakin meningkat dan dari itu kita tidak lagi mampu membuang masa dan mengambil sikap berpuas hati serta lalai dengan pencapaian yang sedikit.

Disamping itu perkembangan dunia hari ini yang tidak menentu dan penuh dengan pergolakkan dimana kedudukan umat dan ugama Islam sentiasa terancam juga membuatkan kita benar-benar terpanggil untuk NDP bangkit kebarisan hadapan bersama-sama mempertahankan kedudukan dan kedaulatan Islam.

Kita perlu menjadikan NDP sebuah pelantar politik yang mantap dan berwibawa dimana umat islam di Brunei walaupun kecil bilangannya, mampu bangkit dan bersuara mempertahankan kedaulatan Islam dari diinjak-injak oleh anasir-anasir jahat.

NDP dalam hubungan ini, berasa sedih dan terkilan dengan langkah yang diambil oleh Kerajaan Iraq menjalankan hukuman gantung sampai mati bekas Presiden Iraq Saddam Hussien.

Saya dan seluruh anggota NDP merakamkan ucapan takziah kepada keluaraga Saddam Hussien.

NDP sangat dukacita dan kecewa dengan langkah yang diambil oleh Kerajaan Iraq untuk menjalankan hukuman tersebut pada hari tasyrik dimana umat Islam diseluruh dunia sedang merayakan Hari Raya Aidil Adha. Kenapa tidak ditunda perlaksanakan hukuman gantung itu kepada hari yang lain? Kenapa mesti juga hukuman gantung itu dijalankan pada hari yang mulia ini?

NDP juga berasa sedih melihat kekacauan, kehancuran dan anarchy yang berterusan di Iraq yang disumbangkan dan diapikan oleh rasa dendam kesumat puak-puak seIslam yang bertikai.

Dalam hubungan ini kita bersyukur negara Brunei negara yang kita cintai ini dibawah pimpinan raja yang kita kasihi dan mendapat hidayah Allah SWT terpelihara dari sikap dendam yang boleh menyebabkan perbelahan dan pertikaian.

Inilah keistemewaan orang Brunei sebagai masyarakat yang mempunyai jati diri yang kental.

Jati diri yang kental ini haruslah kita terus pelihara dan perkukuhkan, dan NDP Insya Allah akan terus berusaha kearah membantu memperkukuhkan jati diri orang Brunei ini.

Diakhir kalam ini marilah kita sama-sama berdoa mudah-mudahan Allah SWT akan terus mecurahkan rahmatNya kepada bangsa dan negara kita, mencurahkan rahmat keamanan dan kemakmuran kepada negara kita dan mengurniakan hidayah dan kekuatan kepada pemimpin-pemimpin kita agar dapat terus memimpin bangsa dan negara kearah kemajuan dan kecemerlangan. Amin

Sekian wabbilahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh.

 

 
 
 
     
Hakcipta terpelihara © 2006 oleh Aspirasi-NDP.com
Laman web direkabentuk dan dihos oleh Gawi Company.