Kan Halnya...

Isu kanak-kanak peminta sedekah didedahkan melalui mimbar mesjid

 
 

15 APRIL 2007: Isu mengenai sebilangan kanak-kanak Melayu Brunei bawah umur jadi peminta sedekah dan pendedahannya melalui mimbar-mimbar mesjid kemarin (Jumaat) sangat menyedihkan.

Pertama ianya menyedihkan kerana terdapatnya kanak-kanak bawah umur bergiat meminta sedekah sambil berjaja kuih muih di kedai-kedai makan, gedung-gedung membeli belah di negara kita yang terbilang dengan pendapatan per kapita penduduknya yang tinggi berbanding dengan banyak negara-negara lain di rantau ini dan di arena antarabangsa.

Gambaran yang dapat kita lihat ialah negara Brunei sudah serupa negara miskin. Dan ini susah untuk diterima akal kita orang Brunei kerana kebangaan kita terhadap status negara yang terbilang dengan kekayaan hasil minyak dan gas yang telah mendudukan negara kita di tahap negara-negara kaya di dunia ini.

Isu peminta sedekah dari kalangan kanak-kanak bawah umur ini sebenarnya bukanlah perkara baru. Ianya telah menarik perhatian masyarakat umum sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Ianya bukan sahaja berlaku di kedai-kedai makan dan pasar raya-pasar raya malahan setiap Jumaat di mesjid-mesjid tetentu di Daerah Brunei-Muara pun perkara ini sudah menjadi satu perkara yang lumrah.

Belum lama ini beberapa orang awam yang terkilan dengan fenomena yang semakin menjadi-jadi ini meluahkan kerisauan mereka melalui ruang surat pembaca di surat khabar tempatan.

Malu bercampur risau mereka menulis mendesak pihak-pihak berkenaan mengambil langkah segera untuk menangani masalah ini.

Kedua, ianya menyedihkan kerana pendedahan isu tersebut melalui khutbah jumaat hanya memfokuskan kepada betapa buruknya perbuatan tersebut dan menjelaskan bahawa ianya menyalahi ajaran Islam yang melarang umatnya terminta-minta. Jemaah juga diingatkan agar berhati-hati mengunjuki sedekah takut-takut akan menggalakkan lagi pertumbuhan fenomena yang tidak sihat itu.

Menurut khutbah Jumaat tersebut penyeledikkan menunjukkan rata-rata kanak-kanak ini diarahkan oleh ibu bapa mereka yang bermasalah termasuk ibu bapa yang terlibat dengan penagihan najis dadah untuk kanak-kanak tersebut berjaja kuih muih dan meminta sedekah di kedai-kedai, restauran-restauran dan gedung-gedun membeli belah di pusat bandar.

Terdapat juga sebilangan mereka merupakan anak yatim dan ada pula anak-anak ini datang dari rumah tangga yang runtuh akibat perceraian.

Setentunya khutbah berupa peringatan dan nashat tersebut sangat baik dan akan lebih baik lagi jika sekiranya ibu bapa dan kaum keluarga yang bermasalah ini hadir untuk mendengarkan kuhtbah tersebut.

Apa hal sekiranya ibu bapa yang bermasalah atau nenek-nenek, bapak dan ibu saudara anak-anak terbiar yang menjalankan kegiatan mendapatkan rezeki melalui modus operandi meminta belas kasihan masyarakat ini tidak hadir untuk mendengarkan khutbah tersebut?.

Setentunya mesej yang ingin disampaikan kepada sasaran tidak kesampaian.

Lain halnya jika khutbah tersebut disasarkan kepada semua jemaah yang hadir dan di antara ribuan jemaah yang hadir terdapat pula ketua-ketua kampong, penghulu-penghulu mukim, dan pihak-pihak berkenaan yang lain termasuk kita semua selaku anggota masyarakat dan terkesan serta mengambil iktibar dari isi kandungan khubtbah tersebut.

Jika selalunya kita mengantuk mendengar khutbah, isu tersebut setentunya akan menghilangkan rasa mengantuk ketua-ketua kampong dan penghulu-penghulu mukim serta pihak-pihak tertentu yang akan berfkir dan berasa accountable dan bertanggungjawab atas sebab mengapa dan kenapa fenomena ini berlaku di negara kita yang makmur ini.

Contohnya ketua kampong dan penghulu yang diamanahkan untuk menjaga dan memelihara kesejahteraan kampong, mukim dan penduduk didalamnya, isu ini boleh mereka lihat sebagai mencabar kewibawaa kepimpinan mereka.

Pasti kanak-kanak tersebut berasal dari salah sebuah kampong atau mukim yang dipimpin mereka. Dan berlakunya perkara ini mengundang persoalan terhadap sifat keperihatinan mereka mengenai keadaan sekeliling kampong dan mukim yang mereka wakili.

Ianya juga mengundang persoalan mengenai sikap tanggungjawab ahli-ahli Majlis Perundingan Kampong dan Mukim terhadap anak-anak kampong dan mukim.

Pihak Baitul Mal pun tidak terlepas dari persoalan ini dan kita juga selaku anggota masyarakat kampong dan mukim dan jiran-jiran sekampong dengan anak-anak tersebut, sama ada kita merupakan ahli atau bukan ahli MPK, MPM, orang politik atau bukan orang politik juga berhadapan dengan persoalan yang sama.

Apakah kita semua sudah menjalankan tugas dan tanggunjawab kita semua selaku anggota masyarakat yang perihatin dan penyayang dengan baik nya?

Jika ia kenapa masih terdapat anak-anak bangsa kita yang terbiar dikalangan kita sehingga mendesak mereka menjadi anak-anak jalanan dan peminta sedekah?.

Dari aspek inilah kita berasa ada kekurangan sedikit dengan penekanan khutbah Jumaat baru-baru ini yang disasarkan lebih kepada isu kanak-kanak minta sedekah dan punca mereka terdesak berbuat demikian dari memberikan penekanan untuk mengajak semua kita berfikir dan menilai semula sikap kita terhadap hidup bermasyarakat, berbangsa dan bernegara.

Walau bagaimanapun kita juga bersyukur kerana dengan pendedahan tersebut isu ini tidak lagi menjadi isu yang sensitif. Ianya sudah diangkat menajdi isu nasional yang merisaukan.

Harapan kita selepas ini pihak-pihak tertentu terutama sekali institusi kampong dan mukim yang diamanahkan menjaga dan memelihara kesejahteraan kampong dan anak-anak kampong dapat bergerak cepat menangani masalah ini dengan bersepadu bersama-sama agensi-agensi kerajaan, NGO-NGO yang lain.

Kalau tidak menjadi keberatan dan salah faham kepada pihak-pihak tertentu, orang-orang politik pun akan bersedia berganding bahu dengan ketua-ketua kampong dan penghulu-penghulu mukim serta agensi-agensi kerajaan yang lain untuk sama-sama bertanggungjawab menangani masalah ini.

Kita tidak rela melihat satu hari nanti akan berlaku kejadian bunuh diri dikalangan anak-anak terbiar ini seperti yang berlaku di negara-negara jiran baru-baru ini dimana terdapat anak-anak terbiar mengantung diri kerana tidak tahan dengan tekanan kemiskinan. Na'uzubillahiminzalik. (MHO)

 

 
 
 
     
Hakcipta terpelihara © 2006 oleh Aspirasi-NDP.com
Laman web direkabentuk dan dihos oleh Gawi Company.