Integrasi Ekonomi Kunci Tarik Pelaburan Dalam Asean

 
 

Oleh Jackson Sawatan

SINGAPURA, 17 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong menggesa integrasi ekonomi yang lebih kukuh di kalangan 10 anggota Asean bagi memastikan rantau ini terus kekal menarik sebagai destinasi pelaburan.

Beliau berkata Pelan Tindakan Komuniti Ekonomi Asean, yang akan ditandatangani di sini, pada Selasa, di Sidang Kemuncak Asean ke-13, bakal menyediakan pelan lengkap bagi integrasi ekonomi Asean, yang kelaknya perlu disusuli dengan pelaksanaan yang komited dan bersistematik.

"Piagam Asean, yang juga akan ditandatangani pada Sidang Kemuncak itu bertujuan mengemudi Asean ke arah ini. Piagam itu menggerakkan Asean ke arah satu pertubuhan berasaskan peraturan, di samping kawal seliaan yang telus, yang penting dalam mempertingkatkan kewibawaan Asean dan menarik pelabur.

"Saya yakin dengan sikap yang betul dan keazaman politik, kita akan mencapai sasaran ini," katanya semasa merasmikan Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan Asean 2007 yang diadakan sempena Sidang Kemuncak Asean Ke-13 yang akan berlangsung dari 18-22 Nov ini.

Bagaimanapun terdapat juga isu-isu lain yang perlu ditangani Asean selain kemajuan ekonomi, seperti memastikan pembangunan di rantau ini mampan.

"Ketika negara-negara menjadi lebih kaya, ekonomi mereka akan menggunakan lebih banyak sumber, dan sering kali mengakibatkan ketegangan lebih besar ke atas alam sekitar. Taraf kehidupan lebih tinggi dan pembandaran yang berkembang akan meningkatkan permintaan bagi keperluan asas seperti makanan, air bersih dan tenaga," katanya.

Dengan kebimbangan yang meningkat terhadap pelepasan gas rumah hijau, beliau berkata, terdapat galakan lebih besar untuk mempercepatkan penggunaan teknologi pengurangan pelepasan itu, menggalakkan kecekapan tenaga, dan melindungi kawasan hutan.

"Demi kepentingannya sendiri, Asean terpaksa mengimbangi permintaan ekonomi yang bersaing, tenaga dan alam sekitar. Pertumbuhan tanpa kawalan tanpa menghiraukan akibat alam sekitar akhirnya akan membawa bencana," katanya.

Mengenai globalisasi, Lee berkata bahawa manfaatnya dan pertumbuhannya perlu diagihkan dengan meluas, terutamanya kepada golongan miskin di setiap negara.

"Kuasa globalisasi berpotensi mengeluarkan berjuta-juta orang di seluruh dunia daripada cengkaman kemiskinan tegar, tetapi ia boleh juga mengakibatkan ketegangan sosial kerana ia menjarakkan lagi berbezaan antara yang kaya dan miskin di dalam masyarakat yang sama," tambah beliau.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

 
 
 
     
Hakcipta terpelihara © 2006 oleh Aspirasi-NDP.com
Laman web direkabentuk dan dihos oleh Gawi Company.