Insiden 8 Disember tidak patahkan semangat ahli

 
 
LIMBARUH HIJAU 11 DISEMBER 2007 - Sesi muzakarah ahli-ahli Jawatankuasa Badan-Badan Perhubungan NDP seNegara yang berlangsung pada 8 Disember 2007 di markas Badan Perhubungan NDP Tutong berjalan dengan baiknya selama lebih 5 jam walau pun hampir di bubarkan oleh sepasukan 3 orang pegawai polis berpakaian preman dan beruniform yang membuat 'kunjungan mengejut' ke markas parti yang berdaftar tersebut.

'Kunjungan menggejut' pihak polis semasa sesi perbincangan berjalan dengan lancarnya gagal untuk mematahkan semangat ahli-ahli yang hadir walau pun pada awalnya sebilangan ahli nampak risau dengan kehadiran polis yang tidak diundang itu.

Sebaik sahaja pihak polis berangkat pulang setelah berhasil menurunkan sehelai Sang Setia, bendera rasmi NDP yang senghaja diikat di tiang pagar markas sebagai tanda untuk memudahkan ahli-ahli dari Brunei-Muara, Temburong dan Belait mencari alamat markas baru tersebut, sesi perbincangan disambung dengan penuh semangat.

Di fahamkan bahawa pihak polis membuat 'kunjungan mengejut' tersebut apabila menerima
maklumat mengenai dengan perkumpulan yang di hadiri oleh hampir 100 orang ahli-ahli JK Badan Perhubugan NDP seNegara itu.

Arahan awal yang mereka terima ialah untuk membubarkan perkumpulan tersebut jika NDP tidak mendapat kebenaran awal dari ROS untuk bermesyuarat di tempat tersebut. Sesudah mendapat tahu rumah yang digunakan berdaftar sebagai markas Badan Perhubungan NDP Tutong, mereka diarahkan pula untuk menurunkan bendera "Sang Setia' yang diikat di pagar di kawasan tersebut.

Insiden yang berlaku di markas Badan Perhubungan NDP Tutong bukanlah satu kejadian yang baru dialami NDP.

Pada awal tahun ini sesi muzakarah ahli-ahli Majlis Tertinggi NDP bersama ahli-ahli Lembaga Penasihat NDP yang berlangsung di sebuah restoran tertutup di Lumut juga hampir terganggu apabila 2 orang polis beruniform diarahkan datang memeriksa sesi perjumpaan NDP tersebut.

Insiden-insiden yang disebutkan juga merupakan antara langkah-langkah pihak berkuasa 'mengawal' dengan ketat perjalanan badan siasah di negara ini yang sedang melalui perkembangan reformasi politik yang berinut-inut (berjalan dengan perlahan) maju kehadapan.

Lain-lain langkah-langkah yang telah diambil dan dilihat sebagai membendung kelancaran perjalanan pertubuhan politik rakyat di negara ini termasuk:

1 - Peruntukkan peraturan dalam Buku Hijau yang di keluarkan oleh Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri yang tidak membenarkan ahli-ahli jawatankuasa tertinggi di Majlis Perundingan Mukim dan Kampong melibatkan diri dalam mana-mana badan siasah di negara ini.

2- Peruntukkan peraturan dalam 'General Order' (G.O) yang mengikat mana-mana ahli-ahli swasta atau persendirian yang bukan kerajaan yang dilantik menjadi ahli Lembaga Bandaran atau mana-mana badan, organisasi atau institusi tajaan kerajaan dari melibatkan diri dalam pertubuhan politik.

3 - Arahan ROS tidak membenarkan NDP menggibarkan bendera 'Sang Setia', bendera rasmi parti yang diluluskan di markas-markas Badan Perhubungan dan Ranting di seluruh negara. Hanya satu helai dibenarkan dikibarkan di markas pusat.

 
 
 
     
Hakcipta terpelihara © 2006 oleh Aspirasi-NDP.com
Laman web direkabentuk dan dihos oleh Gawi Company.