Oleh Hasrulraizan
BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat - Tugas atau kuasa yang diamanahkan hendaklah dilaksanakan dan jangan sesekali diabaikan lebih-lebih lagi disalahgunakan kerana tugas atau kuasa itu bukan suatu kelebihan dan keistimewaan yang membolehkan bertindak dengan sewenangnya kerana setiap tanggungjawab itu adalah amanah yang akan dipersoalkan di akhirat kelak.
Jika pekerja tidak jujur dan khianat, sudah tentu akan menjejaskan sesebuah pentadbiran yang akhirnya akan membawa bencana dan mendatangkan masalah kepada bangsa dan negara, jelas Imam dalam khutbah Jumaat yang bertajuk Perkhidmatan Awam hari ini.
Menurut Imam, sebaik-baik pekerja ialah orang yang menjalankan tugas dengan amanah, penuh jujur dan boleh dipercayai serta bertanggungjawab kerana dalam melaksanakan sesuatu pekerjaan itu ada banyak tanggungjawab yang mesti dipikul, tidak terkecuali perkara rahsia yang perlu dijaga.
Sehubungan itu bagi menghasilkan pentadbiran dan pengurusan yang berkualiti dan cemerlang, peraturan dan etika kerja sangat diperlukan kerana tanpa kedua-duanya pekerja yang menjalankan tugas dalam pentadbiran sesebuah organisasi akan bertindak sesuka hati.
Mereka juga pasti akan bertindak mengikut perasaan dan hawa nafsu tanpa mengikut peraturan, undang-undang dan etika kerja berkenaan menyebabkan terjadinya khianat, pecah amanah, menipu, berdusta, hasad dengki dan mementingkan diri sendiri, kata Imam.
Maka, jika kita mahu pentadbiran dan pengurusan yang cekap dan cemerlang, kita hendaklah mengamalkan akhlak yang terpuji, menunaikan tanggungjawab yang diamanahkan dan mencontohi akhlak dan keperibadian Rasulullah, Imam menasihatkan.
Untuk mencapai matlamat kerja cemerlang pula, pekerja hendaklah menjadikan pekerjaannya itu sebagai suatu ibadat iaitu bekerja dengan ikhlas, jujur, amanah, bijaksana, cekap, sentiasa memberikan kerjasama sesama pekerja lain dan sentiasa mengharapkan keredaan Allah, kata Imam lagi.
Imam menjelaskan dalam usaha membangun dan memajukan sesebuah negara, pentadbiran dan pengurusan yang berkualiti dan cekap adalah diperlukan kerana kedua-duanya memainkan peranan yang sangat penting.
Brunei sebagai sebuah negara Islam sangat beruntung kerana meletakkan dasar pentadbiran negara menurut Islam iaitu berpegang kepada al-Quran dan Sunnah Rasulullah, kata Imam.
Maka langkah kerajaan yang meletakkan dasar pentadbiran dengan menggubal peraturan dan etika kerja dalam perkhidmatan awam selaras dengan ajaran agama Islam adalah sangat bertepatan dengan Falsafah Negara, "Melayu Islam Beraja".
Sesuai dengan itu, Imam menasihati setiap orang terutama mereka yang memegang jawatan dalam perkhidmatan awam supaya mengamalkan dan menghayati nilai murni yang digariskan oleh Islam dan peraturan am dalam perkhidmatan awam.
Bersempena dengan sambutan Hari Perkhidmatan Awam yang akan diadakan esok dengan tema Menjulang Kepimpinan, Laila Kesejahteraan, maka Imam menyeru rakyat dan penduduk negara ini supaya bersama-sama berterima kasih kepada kerajaan dengan melaksanakan pekerjaan, tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan dengan penuh jujur dan amanah serta ikhlas semata-mata kerana Allah. (DI PETIK DARI MEDIA PERMATA)