 |
Oleh Hasrulraizan
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah terus berazam menjadikan Brunei Darussalam sebuah "Negara Zikir" yang sentiasa mengagungkan Allah.
Menurut titah Baginda Sultan, langkah itu adalah supaya rakyat dan penduduk negara ini sentiasa berada dalam perhatian dan pemeliharaan-Nya, sesuai dengan janji-Nya dalam Surah Al-Baqarah ayat 152, tafsirnya: "Kamu ingati Aku, nescaya Aku akan mengingati kamu pula."
|
Menikmati keamanan sama maknanya dengan tidak ada ketakutan kerana semuanya berjalan baik tanpa kekacauan atau ancaman dan atas sebab itulah sesebuah negara hanya akan dianggap aman apabila ia bebas daripada ketakutan.
Baginda Sultan bertitah banyak negara di dunia - tanpa mengira saiz dan kekuatannya - tidak mampu menikmati keamanan kerana masih terus dibelenggu oleh pelbagai ketakutan.
Dalam titah khas sempena Hari Raya Aidiladha yang disiarkan ke seluruh negara malam ini, baginda bertitah ada negara terbabit takutkan pergaduhan sesama sendiri, takutkan peperangan, takutkan bencana alam, takutkan kemiskinan, takutkan ekonomi runtuh dan takutkan penyakit berjangkit misalnya.
Ketakutan seperti itu adalah pemusnah keamanan dan ketenteraman, titah Baginda Sultan sambil menzahirkan rasa syukur kerana Brunei telah menampakkan imejnya yang hebat selaku pemilik keamanan itu.
Baginda Sultan bertitah itu bukanlah sekadar pemanis kata atau penyedap hati tetapi benar-benar suatu realiti, kurnia daripada Yang Maha Pemurah yang telah berjanji akan memberikan keamanan itu kepada orang yang banyak berzikir membesarkan-Nya.
Baginda Sultan menegaskan: "Apakah yang lebih sempurna lagi suci dari ingatan Allah terhadap kita? Apakah yang lebih kukuh lagi kebal dari pemeliharaan Allah terhadap makhluk-Nya? Sesungguhnya kita dan negara adalah sebahagian dari makhluk Allah itu."
Oleh itu, Baginda Sultan bertitah menyeru setiap rakyat dan penduduk negara mencari keredaan dan pemeliharaan-Nya dalam semua lapangan kehidupan ini supaya Allah mencurahkan rahmat kepada negara dan rakyat serta penduduknya berupa keselamatan, keamanan dan kemakmuran yang berpanjangan.
Baginda Sultan bertitah menyatakan harapan baginda semoga dalam apa juga urusan akan ada keamanan sama ada pengurusan dan pentadbiran dan pembangunan malah dalam bernegara pun sentiasa di bawah payung keamanan.
Inilah "cita-cita besar" seluruh umat di dunia, titah Baginda Sultan kerana keamanan itu adalah ibarat "sungai besar" yang mengairi seluruh tanaman yang jika ia tidak pernah kering, maka itulah yang sebenar-benarnya sumber kesejahteraan dan rezeki.
Sempena sambutan Hari Raya Aidiladha ini juga, Baginda Sultan dengan sukacita mewakili diri keluarga baginda mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada semua rakyat dan penduduk beragama Islam di mana saja mereka berada. |