PERUTUSAN PRESIDEN SEMPENA HARI RAYA AIDIL ADHA

IKHLAS - BERSIH HATI DARI SEGALA TUJUAN SELAIN DARI KERIDHAAN ALLAH

 
 
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar Wallilahi illhamd

Alhamdullilahi Rabbil Alamin salawat serta salam ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad S.A.W serta keluarga dan sahabat-sahabat serta pengikut-pengikut Baginda yang ta’at lagi setia hingga ke akhir zaman.

Kita juga memanjatkan syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan keredhaan dan izin nya jua kita dipinjamkan umur dan diberikan kesihatan untuk merayakan Hari Raya Aidil Adha atau hari Raya Korban pada tahun ini dalam suasana negara aman damai dan makmur serta sentiasa dibawah peliharaan Allah SWT.

Setiap perayaan yang disyariatkan oleh Allah S.W.T. ada bersamanya mesej dan pengajaran. Demikian juga Syariat Aidil-Adha jelas membawa bersamanya banyak mesej dan pengajaran.

Antara pengajaran yang terkandung dalam Aidil-Adha ini ialah mengenai pentingnya keteguhan iman yang tidak berbelah bahagi kepada Alah SWT serta keikhlasan kita menanai keimanan ini semata-mata kerana hendak mendapatkan keredhaan Allah SWT jua.

Dalam hubungan ini ingin saya mengimbas kembali sabda Nabi s.a.w yang berbunyi.: "Yang sangat aku takuti atas kamu adalah syirik kecil".

Sahabat lalu bertanya: "Ya Rasulullah apakah syirik kecil itu."

Jawab baginda: "Riya'. Pada hari pembalasan kelak Allah berkata kepada mereka; pergi lah kamu kepada orang-orang yang dahulu kamu beramal kerana mereka di dunia,

Lihatlah disana kalau-kalau kamu mendapat kebaikkan dari mereka.


" Penyakit Riya' ialah satu penyakit dimana orang beramal untuk dilihat orang dan untuk dipuji.

Perbuatan ini samalah sifatnya sebagai satu tipuan, dan Allah akan membalas tipuan mereka itu dengan membatalkan semua amal perbuatan mereka itu.

Kerana mereka dahulu tidak beramal untuk Allah dan setiap amal yang tidak dikerjakan ikhlas untuk Allah tidak sampai kepadaNya.

Dari itu saya berseru kepada diri saya sendiri, pemimpin-pemimpin dan semua ahli-ahli NDP agar sentiasa memperteguhkan keimanan kita kepada Allah dan sentiasa ikhlas dalam perjuangan dan pengorbanan masa, tenaga, buah fikiran dan harta benda kita iaitu semuanya kita lakukan kerana Allah jua.

Sinkirkanlah segala sifat riya dan perbetulkanlah iman, amalan dan niat kita.

Insya Allah, dengan niat yang betul ini kita akan mendapat keredhaan Allah dan segala usaha kita akan diberkati dan semua amalan kita akan menjadi pelindung dan penyelamat kita nanti di hari pembalasan.

Inilah ganjaran sebenar yang kita harap-harapkan apabila kita menceburkan diri kedalam usaha menyumbangkan jasa bakti kita kepada agama, bangsa, negara dan raja yang kita cintai dan bukannya kerana mengharapkan ganjaran dunia semata-mata atau mencari ‘glamour’ dan pujian manusia.

Niat sebegini hanya akan membawa kekecewaan dan akhirnya akan menjejaskan segala usaha dan niat suci kita untuk berkhidmat kepada bangsa dan negara dan membantu Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seria Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kerajaan Baginda memastikan negara akan berkekalan menjadi negara Melayu, Islam, Beraja yang aman makmur serta sentiasa mendapat pengampunan Allah jua.

Pengajaran lain yang terkandung dalam Aidil-Adha ialah kesatuan ummah.

Walaupun terdiri dari pelbagai bangsa dan bahasa, warna kulit, budaya dan negara, umat Islam adalah umat yang satu di mana sahaja mereka berada. Ia adalah umat yang bersatu dengan menghadap satu kiblat dan sujud kepada Tuhan yang satu iaitu Allah Rabbul ‘Alamin.

Maka sudah sewajarnya kita melahirkan kesyukuran kepada Allah S.W.T kerana mengurniakan kepada kita perayaan Aidil-Adha dengan syariatnya yang jelas membawa mesej: sesungguhnya kesatuan umat adalah tunjang kepada kekuatan Islam.

Banyak perkara dapat dilakukan apabila kesatuan dapat diwujudkan dalam kehidupan kita.

Kekuatan yang ada juga dapat dipertahankan jika kesatuan ummah berdiri kukuh samada dalam negara mahupun di peringkat antarabangsa.

Dari itu saya berseru kepada semua pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli NDP agar dapat mengambil iktibar dari mesej Aidl Adha ini dan berusaha memelihara dan mengamalkan nilai-nilai yang mulia ini bagi mengukuhkan lagi kesatuan kita dan melancarkan perjalanan kita.

Dalam kesempatan ini marilah kita semua menadahkan tangan dan berdoa agar jemaah-jemaah haji kita yang berada di tanah suci Makkah akan sentiasa berada dalam keadaan selamat dan sehat sejahtera serat dikurniakan haji yang mabrur.

Saya juga ingin mengucapkan kepada seluruh warga NDP serta umat Islam di negara ini dan suadara-saudara kita yang sedang menunaikan haji Selamat Hari Raya Aidil Adha.

 

 
 
 
     
Hakcipta terpelihara © 2006 oleh Aspirasi-NDP.com
Laman web direkabentuk dan dihos oleh Gawi Company.