Seramai lebih dua puluh orang di kalangan ibu-ibu tunggal ahli-ahli Parti Pembangunan Bangsa (NDP) telah menerima sumbangan hari raya daripada Jawatankuasa Pembangunan Ibu Tunggal dengan kerjasama Himpunan Wanita Pusat (HAWA) dan Jawatankuasa Kemasyarakatan dan Kesejahteraan Insan (KeKIN).
Majlis penyampaian itu telah di adakan pada 6hb Oktober lalu bertempat di Markas HAWA di Jalan Jerudong dengan dihadiri sama oleh Ketua HAWA Dyg Hajah Saemah, Pengerusi Jawatankuasa KeKIN Dyg Hjh Armah binti Hj Othman dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Ibu Tunggal Awang Haji Juned bin Haji Ramlee yang juga seterusnya menyempurnakan penyampaian sumbangan-sumbangan berkenaan |
|
Sumbangan berupa makanan hari raya, tekstail dan minuman itu merupakan sumbangan bersama daripada Jawatankuasa Pembanguan IbuTunggal, HAWA NDP dan KeKIN antara lain bertujuan untuk membantu meringgankan sedikit beban yang ditanggung oleh wanita-wanita ibu tunggal itu.
Jawatankuasa tersebut yang ditubuhkan baru-baru ini telah mencatatkan seramai lebih 70 orang di kalangan ahli-ahli wanita NDP adalah berstatuskan ibu tunggal samada janda dan balu, bagaimanapun mereka yang menerima sumbangan adalah di kalangan mereka yang telah menghantarkan kembali borang-borang selidik yang dikirimkan sejak bulan Ogos lalu dengan hasrat dapat mengenalpastikan segala kemahiran dan kebolehan mereka untuk dikembang majukan lagi melalui berbagai aktiviti yang bakal dilaksanakan tidak lama lagi.
Ketika berucap Ketua HAWA, menyatakan sumbangan yang hanya sederhana itu merupakan salah satu hasrat untuk memberikan semangat ketabahan kepada kaum wanita yang bergelar ibu tunggal dalam mengharungi kehidupan bersendirian membesarkan anak-anak yang di bawah tanggungan mereka, kerana, tambahnya, wanita-wanita yang bergelar sebagai ibu tunggal itu tidak perlu malu akan statusnya tetapi perlu punyai ketabahan dan keberanian dalam menghadapi segala cabaran. |
|
Selain itu katanya, melalui jawatankuasa pembangunan ibutunggal itu nanti, lebih banyak aktiviti yang boleh mendatangkan faedah dan kemajuan akan dianjurkan, antaranya ialah memberikan program-program motivasi, program-program keilmuan dan juga pembangunan ekonomi sebagai satu kaedah menambahkan pendapatan mereka di samping apa yang ada pada masa ini.
Beliau juga berharap supaya wanita-wanita itu akan sentiasa memberikan kerjasama, dan bergiat lebih aktif dalam menjayakan segala program yang akan di adakan di masa-masa akan datang, kerana tanpa kemahuan dan kesungguhan yang ditonjolkan sendiri oleh mereka apa jua pun hasrat untuk memajukan pasti akan menemukan jalan kebuntuan, selain beliau mengingatkan supaya mereka sentiasa menanamkan sikap ingin terus maju tanpa hanya mengharapkan datangnya bantuan daripada orang lain.