Harapan tinggal harapan

 
 

KAMPONG JABANG SERIA 28 JULAI 2007 - SETAHUN SUDAH BERLALU namun bantuan yang di harapkan dari pihak-pihak berkenaan untuk menyelematkan sapasangan suami isteri dari terus hidup melarat di sebuah rumah usang di perkampungan setinggan di Kampong Jabang Seria tinggal harapan.


Wajah Sayu Awang Rosli
Setahun dulu harapan mereka meninggi gunung apabila pihak-pihak yang berkenaan ini membuat kunjungan mengejut ke rumah usang mereka yang beralamat di No 220 Jalan Bolkiah Seria.

Antara mereka yang mengunjungi Awang Rosli bin Mohammad berumur 68 tahun dan Isateri, Dayang Mariah binte Abdullah, 52 tahun pada masa itu ialah pegawai-pegawai daripada Pejabat Ugama, Jabatan Kebajikan dan Pembangunan Masyarakat, Jabatan Daerah dan Penghulu Mukim Seria.

"Mereka datang untuk mengambil gambar rumah buruk kami dan juga mengambil keterangan-keterangan mengenai diri kami sekeluarga dan keadaan hidup kami", cerita Awang Rosli.

Menurut Awang Rosli beliau yakin lawatan mengejut setahun lepas yang dibuat oleh pihak-pihak berkenaan itu berikutan cerita kesempitan hidup dan keadaan rumah kediaman beliau dan isteri di dedahkan ke dalam media tempatan pada Jumaat 3hb Februari 2006.
"Kami sangat gembira dengan lawatan mereka itu dan memberikan kami harapan untuk akhirnya dapat berpindah dari sini dan tinggal ditempat yang lebih selesa", cerita Awang Rosli kepada kepada rombongan NDP yang berziarah ke rumahnya kemarin.

Rombongan terdiri dari Awang Sulaiman Metrasad, Naib Presiden NDP Belait, Awang Haji Ali Yusof, ahli Majlis Tertinggi NDP Belait, Dayang Hajjah Saemah, Ketua Himpunan Wanita NDP dan Pengiran Ismail, Pegawai Perhubungan dan Penerangan NDP Belait.

Rombongan NDP telah membuat kunjungan tersebut kemarin untuk meninjau keadaan dan masalah yang sedang di hadapai oleh Awang Rosli yang merupakan ahli NDP.

"Sedihnya sehingga hari ini selepas setahun tinjauan di buat tiada sebarang tindakan susulan yang dilakukan untuk memberikan bantuan kepada kami yang semakin hari semakin menghadapi berbagai tekanan untuk terus bertahan di rumah ini" keluh Awang Rosli.

Untuk mendapat tempat tinggal yang lebih selamat dan selesa nampaknya, kata Awang Rosli belum pasti bila tetapi yang pasti dalam masa yang terdekat ini mereka kemungkinan kehilangan rumah tempat mereka berteduh selama lebih dua puluh tahun ini.
Menurut Awang Rosli kemungkinan besar rumah yang tiada mempunyai bekalan letrik dan air itu akan diroboh untuk memberikan lalaun kepada projek kemajuan perumahan negara yang sedang giat berjalan berhampiran kawasan rumah nya.

"Kenderaan berat sorong sedang rancak melapangkan tanah di kawasan kampung itu dan sudah semakin hampir ke rumah. Hanya tinggal kira-kira setengah kilometer sahaja lagi", keluh Awang Rosli.

Dalam masa yang sama, katanya rumahnya terancam oleh keadaan cuaca yang sudah semakin tidak menentu pada masa ini.

Katanya rumah mereka sekarang sering di masuki air kerana atap bocor, lantai dinaiki air kerana banjir dan angin yang kadang-kadang agak kencang juga mendebarkan hati suami isteri yang takut kalau-kalau angin ribut akan tiba-tiba merobohkan rumah usang mereka.

Awang Rosli yang tidak berkemampuan membangunkan rumah di tanah Tumpang Sementaranya di Kampung Sungai Bakong Lumut sangat berharap dia dan isteri tidak akan menghadapi kedua-dua perkara tersebut.

Tetapi pengalaman menunjukkan harapan itu tinggal harapan kerana selama ini berbagai alasan telah diberikan kepada mereka setiap kali mereka cuba merayu permohonan dan berjumpa pegawai ke pejabat-pejabat berkenaan untuk mendapatkan tempat perlindungan sementara seperti rumah barek yang banyak kosong.

“Kami hanya di gula-gulakan dengan janji, bahawa kami masih menunggu giliran yang ada, tetapi janji itu seperti janji sarena. Rasanya ia tidak pernah akan berlaku” keluh Awang Rosli yang hidupnya hanya bergantung kepada pendapatan gaji tua $250 sebulan begitu juga dengan isterinya.

Ketua Himpunan Wanita, Dayang Hajjah Saemah dalam kunjungan hari itu meluahkan harapan agar pihak-pihak berkenaan seperti penghulu dapat menangani masalah yang dihadapi oleh Awang Rosli dan isteri sesegera mungkin.

Semak samun di sekitar rumah buruk pasangan suami isteri itu

Katanya Penghulu dan Ketua-ketua Kampong serta ahli-ahli jawatankuasa MPM atau MPK punya tanggungjawab untuk mengambil setiap laporan kesusahan anak buah kampungnya itu dan mengangkat masalah itu ke pihak berkuasa atasan seterusnya mengusahakan untuk mendapatkan bantuan yang segera.

Akan tetapi menurut isteri Awang Rosli, Dayang Siti Mariah pula mereka pernah meminta bantuan daripada Jabatan Ugama untuk mendapatkan tempat tinggal tetapi jabatan itu memberikan alasan banyak barek mereka yang belum dibaik pulih dan tidak dapat didiami.

Selain itu pasangan suami isteri itu juga turut menunjukkan borang memohon bantuan kewangan kebajikan saudara baru masih memerlukan tandatangan Ketua Kampung Seria

Katanya Ketua Kampong Seria masih banyak urusan lain dan sangat sibuk hingga belum ada masa untuk menandatangani borang yang dihadapkan itu.

Sementara itu Naib Presiden NDP Daerah Belait juga turut menjelaskan hasrat untuk berusaha membantu pasangan suami isteri itu dengan cara membantu mereka menghadapkan surat permohonan ke jabatan-jabatan tertentu untuk memberikan bantuan penempatan mereka yang lebih selesa seperti barek kerajaan atau bantuan membuat rumah yayasan di tanah kosong kepunyaan pasangan itu. (HSK)

 

 

 

 

 

 
 
 
     
Hakcipta terpelihara © 2006 oleh Aspirasi-NDP.com
Laman web direkabentuk dan dihos oleh Gawi Company.