BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam hari ini bertitah ilmuwan daripada pelbagai bidang mempunyai peranan tersendiri dalam pembangunan negara dan menjana pembangunan modal insan.
"Orang yang berilmu lagi beriman mendapat pujian daripada Allah dan mereka boleh mengalahkan ahli ibadat kerana ahli ibadat beribadat untuk diri mereka sendiri, sedang ahli ilmu menyumbangkan ilmu mereka untuk kesejahteraan bersama," titah Baginda Sultan.
Baginda Sultan bertitah demikian pada majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah di Pusat Persidangan Antarabangsa hari ini.
Yang turut berangkat ke majlis itu ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda Abdul Malik serta kerabat diraja lain.
|
|
Baginda Sultan bertitah mengingatkan golongan ilmuwan termasuk pelajar adalah golongan yang harus diikut kerana kesempurnaan sifat serta pembawaan mereka dan bukannya menjadi pengikut kepada sahsiah yang cacat akhlak.
Para pelajar pula perlu menonjolkan diri mereka sebagai anak bangsa yang terdidik dan berpelajaran kerana mereka bersifat pencorak, generasi teladan serta pemimpin masa kini dan akan datang.
"Dedikasi ikhlas dan komitmen tinggi mereka terhadap tanggungjawab kepimpinan akan mengukuhkan lagi kewibawaan dan kredibiliti mereka di kalangan masyarakat," titah Baginda Sultan.
Baginda Sultan bertitah mahukan ilmuwan dan pelajar menjadi pembimbing, guru dan pakar pemikir dan mereka adalah sumber budaya intelektual yang patut disokong dan didukung untuk melahirkan budaya yang sihat.
"Semua kita dan pihak pentadbir serta pengurus hal ehwal pendidikan patut memberikan sokongan kepada mereka (ilmuwan dan pelajar) bukan saja sekadar sokongan moral malahan juga mungkin sokongan kewangan untuk kecemerlangan," titah Baginda Sultan.
Menurut Baginda Sultan, mereka patut dibantu dan didukung kerana mempunyai kepakaran bagi melakukan penyelidikan yang berautoriti serta mampu mencari huraian praktikal mengenai isu semasa yang dihadapi, sama ada isu sosial kemasyarakatan, ekonomi, perubatan atau kewangan.
Baginda Sultan dalam titah baginda turut menyentuh mengenai beberapa contoh isu semasa yang perlu diselidiki dan dikaji puncanya serta mencari jalan bagaimana untuk mengatasinya.
Antara isu itu ialah dilema kemiskinan yang melanda masyarakat dunia hari ini, isu perkembangan sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta isu perkembangan sektor kewangan dan insurans Islam.
"Rata-rata masyarakat dunia hari ini berhadapan dengan dilema kemiskinan. Mengapakah kepakaran tidak dimanfaatkan untuk mengkaji punca kemiskinan serta bagaimana langkah mengatasinya?"
"Demikian juga dalam bidang ekonomi, apakah tidak patut kepakaran digunakan untuk memandu, menasihati dan mencetuskan idea baru yang lebih inovatif dan progresif supaya perkembangan sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) lebih menyerlah lagi sehingga mampu menjadi pemangkin kepada kepelbagaian sumber ekonomi negara?" "Dan begitu juga di bidang kewangan, mengapakah kepakaran tidak terlibat untuk menyelidik isu utama mengembangkan sektor kewangan dan insurans Islam dan lain-lain seumpamanya?" titah Baginda Sultan.(MEDIA PERMATA: Oleh Sim Y. H., Salawati Haji Yahya dan Rosfazilah Haji Yusly)
|