Harapan Puak Iban Brunei

 
 
LIMBARUH HIJAU APRIL,2007: Puak Iban di Brunei pada zaman sebelum merdeka terutama mereka yang bekerja di Syarikat Minyak Shell di Seria pernah melibatkan diri dengan parti politik di Sarawak iaitu Sarawak National Party (SNAP) yang ditubuhkan pada 10 April 1961 apabila Sarawak berura-ura menyertai Persekutuan Malaysia.

Manakala puak Iban yang berhijrah dari Sarawak ke daerah Belait, Tutong, Temburong dan Brunei umumnya tidak banyak yang melibatkan diri dengan parti politik oleh sebab kebanyakan mereka tinggal di kawasan pedalaman dan buta huruf. Namun demikian ada juga yang menjadi ahli kepada Parti Rakyat Brunei (PRB) yang dipimpin oleh A.M Azahari.

Perkara ini didedahkan oleh Awang Sibuang Anak Igol, Timbalan Ketua Biro Non-Muslim NDP dalam kertas kerja yang dibentangkannya di sesi seminar 'Kearah Perpaduan Nasional - Cabaran dan Harapan'.

Sibuang Igol merenung jauh masa depan puak Iban Brunei

Sibuang Igol penuh harapan
Seminar tersebut telah dianjurkan oleh Jawtanakuasa Perhubungan Antara Kaum baru-baru in dan berlangsung di Limbaruh Hijau, Matkas pusat NDP di Jeudong.

Tujuan Awang Sibuang menyentuh isu ini ialah untuk mengimbas kembali penglibatan puak Iban Brunei di arena politik sebelum merdeka dan sekarang.

Menurut Awang Sibuang selepas insiden 8 Disember 1962, tidak ada lagi puak Iban melibatkan diri dengan parti politik yang ditubuhkan di Brunei Darussalam dan pentadbiran politik Negara Brunei Darussalam.

"Keadaan ini berlaku adalah disebabkan puak Iban di Brunei Darussalam kurang berpendidikan tinggi, miskin dari segi ekonomi dan bukan Rakyat Sultan Jati mutlak Undang-Undang Brunei Darussalam", jelas Awang Sibuang Igol..

Beliau berpendapat dalam zaman milenium ke 21 yang berkonsep globalisasi dan komunikasi IT dunia tanpa sempadan, puak Iban di Brunei Darussalam sudah wajar dan perlu mengubah sikap, minda, cara berfikir dan metodologi dengan melibatkan diri dalam arena politik dan pentadbiran di Negara Brunei Darussalam.

"Puak Iban berhasrat untuk memainkan peranan dan tanggungjawab bersama bangsa lain dalam arena politik bangsa dan negara untuk mewujudkan perpaduan nasional yang kukuh, utuh lagi berkaliber, memajukan bangsa dan Negara Brunei Darussalam agar seiring dengan bangsa dan negara lain".

Untuk merealisasikan hasrat ini tambahnya, adalah sudah tiba masanya dan wajar puak Iban memohon menjadi Rakyat Sultan secara jati dan mutlak Undang-Undang ke 8, mengikut Undang-Undang Taraf Kerakyatan 1961.

Dengan, beliau percaya dan yakin puak Iban akan dapat membantu mewujudkan perpaduan politik dan nasional Brunei Darussalam lebih cemerlang dan gemilang.

Ujarnya halangan dan cabaran puak Iban sebelum dan selepas merdeka menyebabkan puak Iban tidak peka kepada perubahan-perubahan politik, pendidikan, ekonomi, budaya dan jati diri yang menjadikan mereka terus hidup miskin dan terpinggir dari arus pembangunan kemajuan masyarakat, bangsa dan Negara.

"Puak Iban di Brunei Darussalam yang terus terpinggir, tertinggal dan hidup miskin dibelenggu halangan dan cabaran adalah perlu perhatian, bantuan, sokongan dan kerjasama daripada para pemimpin dan ahli parti sebagai usul dihadapkan kepada kerajaan dalam usaha mewujudkan perpaduan nasional di Brunei Darussalam", tambahnya lagi.

Menurut Awang Sibuang puak Iban tidak dikategorikan sebagai rakyat puak jati seperti orang Melayu Brunei, Belait, Bisaya, Dusun, Kedayan, Murut dan Tutong mengikut Undang-Undang Taraf Kerakyatan 1961 atas alasan mereka akhir berhijrah ke Brunei.

Namun demikian puak Iban di Brunei Darussalam boleh menjadi warganegara dengan cara memohon sebagai Rakyat Sultan secara pendaftaran atau Rakyat Sultan mengikut cara Penuangan taraf kebangsaan.

Katanya dalam konteks ini puak Iban sebagai orang asli yang hidup dalam kemiskinan dan


Sibuang membentangkan kertas kerja mengenai isu puak Iban
kekurangan di Brunei Darussalam adalah memang tidak dapat dinafikan menghadapi berbagai-bagai-bagai masalah, halangan dan cabaran dalam bidang politik, sosiobudaya dan ekonomi yang sukar diatasi dan diselesaikan sejak zaman sebelum dan selepas merdeka.

Sebagai orang asli bukan puak jati di Brunei Darussalam masyarakat Iban tidak mempunyai peluang yang luas melibatkan diri dalam hal ehwal pentadbiran dan politik, sosiobudaya dan ekonomi.

"Justeru puak Iban yang lahir di Brunei Darussalam sebelum dan selepas merdeka hingga ke hari ini memohon limpah kurnia Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Muizzaddin Waddaulah Sultan dan Yang Di Pertuan Negara Brunei Darussalam menganugerahkan dan memasukkan puak Iban Brunei Darussalam menjadi atau sebagai Taraf kerakyatan jati Brunei ke lapan (8)”, ujar Awang Sibuang lagi.

 

 
 
 
     
Hakcipta terpelihara © 2006 oleh Aspirasi-NDP.com
Laman web direkabentuk dan dihos oleh Gawi Company.