Oleh Salmy Hashim
WASHINGTON, 28 Nov (Bernama) -- Amerika Syarikat, Israel dan Palestin bersetuju untuk memulakan semula rundingan bagi memperoleh satu perjanjian damai menjelang akhir tahun depan dengan hasrat utama bagi mewujudkan sebuah negara Palestin.
Diapit oleh Perdana Menteri Israel Ehud Olmert dan Presiden Palestin Mahmoud Abbas, Presiden George W. Bush mengumumkan perjanjian itu pada perasmian persidangan keamanan Timur Tengah pada Selasa yang dihadiri 44 negara di Akademi Tentera Laut Amerika Syarikat di Annapolis, Maryland, kira-kira 48km dari sini.
Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Syed Hamid Albar, yang dijemput menghadiri persidangan itu menyifatkan mesyuarat tersebut sebagai sesuatu yang "baik pada permulaan untuk memulakan semula proses perdamaian itu."
Beliau berkata, ia "sangat positif bahawa kedua-dua pihak bersedia untuk berbincang."
Persidangan sehari itu termasuk 14 negara Arab -- antaranya Syria dan Arab Saudi -- serta kuasa besar dunia Rusia, China, Britain, Perancis dan Jerman.
Rusia ditawarkan untuk menjadi hos satu persidangan susulan pada awal tahun depan untuk mengkaji kemajuan rundingan itu, sementara Kesatuan Eropah (EU) merancang menganjurkan satu mesyuarat negara penderma pada 17 Dis bagi membantu rakyat Palestin ke arah pembangunan ekonomi dan pewujudan peluang pekerjaan.
Bush semasa merasmikan persidangan itu berkata isu tertangguh yang memisahkan kedua-dua pihak akan dibincangkan.
Mahmoud Abbas berkata rundingan itu mestilah memasukkan status Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Palestin, dan masa depan orang pelarian.
Ehud Olmert berkata Israel bersedia untuk bertolak-ansur untuk perdamaian.
"Kita setuju untuk bermesyuarat dengan bersungguh-sungguh, rundingan sekarang dan berterusan dan berbuat apa saja bagi menamatkan perjanjian sebelum akhir tahun 2008," kata Bush membaca satu kenyataan yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak.
Rundingan pertama akan bermula pada 12 Dis, dan Bush telah komited untuk menghabiskan masa terakhir dalam tempoh sebagai presiden - sehingga Januari 2009 - bekerja ke arah "sebuah negara Palestin yang dapat hidup bersendirian dan demokratik merdeka".
"Sebuah negara seperti itu akan menyediakan rakyat Palestin dengan peluang untuk membawa kepada kehidupan yang bebas, bertujuan dan bermaruah," kata Bush.
Sama ada ketiga-tiga pemimpin itu -- dilihat sebagai satu politik yang lemah -- boleh membawa kebaikan di atas komitmen mereka -- masih tunggu dan lihat.
Bush, yang mempunyai 14 bulan lagi untuk memegang jawatan itu, menghadapi kekurangan sokongan di negaranya akibat perang Iraq yang diterajuinya dan tidak popular, popular Olmert mula pudar di Israel berikutan perang Lubnan, sementara Abbas tidak dapat menguasai Semenanjung Gaza daripada Hamas pada Jun.
-- BERNAMA |