BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa - Kerisauan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam terhadap perbuatan mungkar dan aktiviti-aktiviti lain yang bercanggah dengan akidah Islam wajar diberikan perhatian serious oleh semua pihak termasuk kita selaku rakyat dan juga penduduk di negara yang kita cintai ini.
Seperti yang dititahkan oleh Baginda Sultan pada pelancaran majlis ilmu sempena ulang tahun Hari Keputeraan Baginda yang ke-61 tahun kemarin, aktiviti yang bercanggah dengan akidah membawa kepada kebinasaan.
Menurut titah baginda, isu akidah adalah isu sepanjang zaman dan aktiviti yang bercanggah dengan akidah adalah perkara lumrah namun orang kurang sedar perkara itu boleh membawa kerugian yang amat besar.
Perbuatan mencuri, mabuk kerana minuman keras dan khayal kerana dadah adalah antara perlakuan yang tidak berakidah.
Demikian juga perkara buruk lain yang tidak terkira banyaknya, apabila ia dilakukan bermakna orang yang melakukan itu mempunyai akidah yang cacat dengan keyakinan terhadap Allah tidak penuh, titah Baginda Sultan.
Baginda seterusnya bertitah, "Kita cukup memiliki kemudahan dan keupayaan untuk menyubur dan mengukuhkan akidah".
"Kita mempunyai agensi, skim dan program dengan segala infrastruktur dan semua ini boleh berperanan selaku mekanisme untuk mewujudkan generasi berakidah, generasi yang sempurna iman yang akan membawa kita menikmati keselamatan yang berpanjangan," titah Baginda Sultan.
Baginda Sultan seterusnya bertitah apa yang perlu dibuat ialah melihat semua mekanisme itu menguasai paradigma pelaksanaan supaya matlamat masyarakat berakidah untuk keselamatan, pembangunan dan kemajuan benar-benar tercapai.
Masyarakat berakidah adalah masyarakat cemerlang dengan sifat penuh membina bukan merosak atau mengganggu perjalanan pembangunan negara dan bangsa, tegas Baginda Sultan.
Titah Baginda Sultan lagi, "Beta turut difahamkan majlis ilmu tahun ini membawa tema yang berkaitan dengan akidah, selaku harapan dan doa, semoga lahir masyarakat berakidah yang diberkati oleh Allah".
Sehubungan dengan seruan dan harapan Baginda Sultan tersebut seluruh warga Parti Pembangunan Bangsa (NDP) juga sama-sama berharap dan berdoa agar segala cita-cita dan harapan Baginda Sultan yang kita kasihi dimakbulkan.
Kita turut berharap agar masyarakat kita menjadi masyarakat yang berakidah dan diberkati oleh Allah justeru demi menjunjung dan mendokong hasrat yang dititahkan oleh Baginda Sultan kita berseru agar kita semua dapat mempertingkatkan usaha dan komitmen kita untuk sama-sama melahirkan masyarakat yang di berkati dan mendapat perlindungan Allah.
Seperti yang ditegaskan oleh Baginda Sultan tidak ada sebab kenapa kita tidak berkemampuan untuk melahirkan dan mewujudkan generasi yang berakidah seperti yang di cita-citakan sedangkan kita sudah mempunyai agensi, skim dan program-program yang boleh berperanan kearah mencapai matlamat yang mulia itu.
Persoalannya sekarang seperti yang di titahkan oleh Baginda Sultan ialah perlunya memantapkan mekanisme itu sehingga iannya boleh menguasai atau menlonjakkan paradigma perlaksanaan pembangunan negara dan bangsa.
NDP melihat saranan Baginda Sultan mengenai dengan pentingnya memantapan mekanisme perlaksanaan sangat bertepatan sekali memandangkan keruntuhan akhlak dan tren sosial yang membimbangkan yang menbawa kepada perbuatan-perbuatan keji dan munkar seperti seperti sumbang marham, pembuangan anak, kes curi, penyalahgunaan dadah dan sebagainya yang melibatkan para belia kita di negara ini semakin menjdi lumrah.
Akibat dari keruntuhan akhlak dan aktiviti-aktiviti yang mungkar-mungkar ini kita sudah dapat terasa sedikit demi sedikit keberkatan yang selama ini kita nikmati semakin terangkat. Banjir kilat, angin ribut dan cuaca tidak menentu semakin dapat kita rasai.
Apakah ini kebinasaan yang Allah janjikan kepada umat yang lalai dan melalaikan tugas dan tanggungjawab 'Amal Makruf Nahi Munkar?
NDP melihat semua ini dengan penuh kerisauan dan khuatir jika ianya berterusn cita-cita dan harapan kita untuk melihat negara Brunei berkekalan menjadi negara Melayu, Islam, Beraja, aman sejahtera dan sentiasa mendapat keampunan Allah sukar untuk dicapai.
Justeru atas kesedaran inilah NDP dalam menaifesto parti telah mencadangkan dan bertekad akan terus menyokong dan membantu Kerajaan Baginda Sultan dalam segala usaha memperkukuh dan memperdalam kecintaan Muslimin / Muslimah di Negara Brunei Darussalam kepada Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW, serta ummat Islam dan ummat manusia sejagat.
Kita yakin inilah kunci kepada usaha membetulkan dan memperkukuhkan iman dan akidah masyarakat Islam kita di negara ini dan sebagai penyelamat dari kebinasaan yang menunggu akibat kelalaian kita membendung keruntuhan akhlak dan akidah masyarakat kita.
Untuk kearah ini, seperti saranan Baginda Sultan, kita benar-benar perlu memperkemas dan mempergiatkan program pembangunan insan melalui kegiatan dakwah dan tarbiyah secara terancang dan berterusan bagi melahirkan rakyat yang berkualiti tinggi dan bersahsiah terpuji.
Antara mekansime lain yang perlu kita perkukuhkan ialah usaha mengimarahkan masjid dan surau sepanjang tahun sebagai pusat perkembangan ilmu, keagamaan, dakwah dan tabligh, serta memerangi kejahilan dan menjadikannya nadi kegiatan pembangunan ummah, dan tidak menghadkan kegiatannya kepada hari-hari atau bulan-bulan tertentu sahaja.
Kita juga perlu memurnikan pemikiran, kepercayaan dan amalan rakyat Kebawah DYMM dari segala gejala tahyul dan khurafat yang boleh menjejaskan aqidah dan menyesatkan dan merangka pelbagai kaedah untuk menegakkan makruf dan mencegah kemungkaran secara efektif dan berterusan.
Juga perlu kita usahakan agar harapan Baginda Sultan tidak disia-sakan ialah usaha berterusan kearah mewujudkan golongan rakyat dan jati diri bangsa yang mengamalkan nilai-nilai kehidupan masyarakat madani yang diterasi oleh nilai-nilai dan prinsip Islam yang universal.
Sehubungan dengan itu NDP telah mengariskan tekadnya untuk terus mendidik ahli-ahli Parti Pembangunan yang beragama Islam agar sentiasa berpegang kepada prinsip menegakkan makruf dan mencegah kemungkaran dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan.
NDP juga akan terus mengamat-amati serta mengetengahkan pandangan dan idea-idea dari masa ke semasa bagi mempertingkat dan memperkembangkan pengurusan dan perlaksanaan kegiatan dakwah dan pendidikan Islam agar sentiasa selari dengan titah Kebawah DYMM, falsafah negara dan aspirasi rakyat pada amnya.
Sebagai menyokong dan mendokong titah Baginda Sultan itu, NDP dalam manifesto politik parti 2006 - 2016 juga mencadangkan antara lain agar usaha dapat dibuat bagi:-
-
merencana dan melaksanakan program pembangunan insan bagi melahirkan rakyat yang berkualiti serta merangka strategi mencegah mungkar bagi memastikan semua pelan amal kebajikan dapat menjamin suasana dan keselesaan hidup dan beragama di Negara Brunei Darussalam mengikut konsep dan maksud ‘Darussalam’ sebagai wilayah yang selamat dan sejahtera;
-
memerangi jenayah dan keganasan hingga ke peringkat sifar melalui tindakan yang tegas dan mengkaji puncanya bagi merangka strategi-strategi pencegahan;
-
membentuk sebuah Institut Revolusi Minda untuk menggerakkan proses perubahan paradigma dan mempertingkatkan daya fikir rakyat Kebawah DYMM;
-
menggerakkan semua jentera dan institusi masyarakat dan mengaktifkan masjid, surau serta markas Parti Pembangunan untuk berperanan sebagai wadah revolusi mental dan penggerak perubahan progresif; membendung segala aspek penyakit sosial seperti judi, keruntuhan akhlak, ketagihan dadah, pergaulan bebas tanpa batasan yang bertentangan dengan agama dan budaya ketimuran, dan sebagainya;
-
membentuk saf bagi mencegah, mengawal serta membendung segala bentuk penyakit dan gejala sosial yang mengancam kemanusiaan dan tamadun serta menjalankan kempen berterusan terhadap bahaya jenayah sosial, mengutamakan pencegahan sebelum berlaku sesuatu dan bertindak tegas, keras serta segera apabila susila sosial diingkari;
-
mengawal dan menapis segala bentuk hiburan dengan memastikan hanya hiburan yang berkualiti dan mempunyai nilai-nilai seni, membangun minda, akhlak dan tali kekeluargaan (family oriented) sahaja yang akan disiarkan dan menentukan bahawa slot-slot hiburan berseimbang dengan slot-slot program yang lain;
-
merangka strategi dan mengambil langkah-langkah yang mampu menjauh dan menyulitkan kemudah-capaian (aksesibiliti) rakyat Kebawah DYMM kepada gejala-gejala yang memabukkan, mengkhayal dan melekakan.
|
Apa yang telah dihuraikan itu merupakan sumbangan-sumbangan idea dan cadangan-cadangan
NDP sebagai sebuah pergerakkan politik yang bersungguh-sungguh untuk terus wujud sebagai 'strategik partner' kepada Kerajaan Baginda Sultan dalam sama-sama menjunjung titah membangun bangsa kearah cita-cita menjadikan negara Brunei sebuah negara 'Baldatun Thayiibatun Wa Rabbun Ghafuur'.
Dengan mengenegahkan pandangan-pandangan ini, NDP tidak sekali-kali berniat untuk menonjolkan diri sebagai sebuah institusi yang lebih bijak dari yang lain. Harapan NDP agar ianya dapat dilihat kesungguhan pandangan dan cadangan yang diajukan selari dengan hasrat Baginda Sultan dan Kerajaan Baginda lantas ianya diambil baik sebagai sumbangan ikhlas dari rakyat akar umbi yang berjalan atas pelantar parti politik.