Hapuskan segera peraturan halang perkembangan SME

 
 
15 JULAI 2007 - KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU'IZADDIN WADDAULLAH, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah menyarankan agar agensi-agensi kerajaan menilai semula dalam kadar segera semua peraturan-pertauran dan proses-proses yang boleh melambatkan pencapaian dan juga menghalangi perkhidmatan yang efisyen berhubung dengan perkembangan dan kemajuan pengusaha-pengusaha kecil dan sederhana di negara ini.

Baginda Sultan menyentuh perkara ini dalam titah Baginda sempena hari ulang tahun keputeraan Baginda yang ke 61 tahun. Baginda bertitah di istiadat pengurniaan bintang-bintang kebesaran yang berlansgung di Istana Nurul Iman pagi tadi.

"Dalam usaha kita untuk meningkatkan ekonomi, kerjasama dan perkhidmatan adalah dua faktor paling asasi. Ia dilihat sebagai mampu untuk melicinkan perkembangan serta memantapkan peniaga-peniaga kecil dan sederhana atau SME bagi faedah-faedah jangka pendek dan juga jangka panjang", titah Baginda.

"Oleh itu agensi-agensi kerajaan mestilah juga turut menyediakan laluan untuk pertumbuhan dan perkembangan mereka supaya lebih benar-benar menjadi sektor yang akan dapat sama-sama berperanan dalam memajukan negara".

"Bagi tujuan kecemerlangan ekonomi maka semua pihak perlu menhargai sumbangan kumpulan SME ini dan bersama-sama turut menangani permasalahan mereka".

"Mana-mana agensi yang masih memakai peraturan-peraturan atau proses-proses yang boleh melambatkan pencapaian dan juga menghalangi perkhidmatan yang efisyen hendaklah mereka itu dengan segeranya mengubah pandangan mereka", seru Baginda Sultan.

Baginda juga menyeru dan berharap supaya dalam masa yang sama kumpulan SME lebih kreatif dan berdikari dalam meneroka peluang-peluang perniagaan sama ada didalam mahupun di luar negeri.

Kerajaan, tegas Baginda, telahpun menyediakan beberapa kawasan untuk kemudahan peniaga-peniaga dan orang ramai.

"Ia dibuat sebagai galakkan supaya lebih ramai lagi anak-anak tempatan menceburi diri dalam bidang perniagaan itu".

"Beta mahu melihat terutama para pengusaha kecil dan sederhana supaya merebut peluang ini. Beta yakin kalau kita mempunyai hemah ditambah lagi dengan adanya perancangan yang teratur sudah barang tentu kita akan dapat melahirkan usahawan-usahawan yang boleh dilatih untuk menjadi peneroka kepada industri-industri export", titah Baginda lagi.

Tambah Baginda iIni jika berlaku akan memungkinkan kita untuk meletakkan produk-produk buatan Brunei dalam pasaran serantau dan antarabangsa dalam masa jangka sederhana dan panjang.

HADAPI CABARAN DENGAN BIJAKSANA

saran Baginda lagi dalam arus pembangunan yang pesat, cabaran-cabaran baru perlulah dihadapi dengan bijaksana.

"Isu tenaga, khasnya minyak dan gas, adalah merupakan contoh terdekat. Kita perlu menyedari bahawa bekalan kedua-dua sumber ini tidaklah wajar dilihat sebagai akan berkekalan buat selama-lamanya".

"Kerana itu amalan berjimat cermat dalam penggunaan tenaga adalah langkah yang terbaik lagi bijak yang mesti dibuat oleh semua pihak dari agensi kerajaan, swasta dan sampailah kepada orang perseorangan", seru Baginda Sultan.

ALAM SEKITAR DAN PENCEMARAN

"Satu lagi cabaran dari pembangunan ialah impaknya kepada alam sekitar", titah Baginda Sultan.

Titah Baginda pada masa akhir-akhir ini kita sudah pun mula turut mengalami banjir kilat, tanah susur dan sungai dipenuhi lumpur.

"Walaupun ini tidak seburuk yang dialami oleh orang lain, namun nisbah keadaan kita yang jarang mengalaminya, maka apa yang berlaku ini tidak syak lagi adalah satu amaran supaya kita tidak lalai dari menilai keberkesanan ciri-ciri perancangan dan pembinaan infrastruktur di negara ini".

"Malapetaka alam dan pencemaran dapat dilihat sebagai dua perkara yang berkaitan. Namun pencemaran saja biasa nya lebih berpunca dari gaya hidup manusia. Misalnya longkang yang kotor, pasar, restauran dan lain-lain adalah penyebabnya itu tidak lain dari gaya hidup yang tidak mementingkan kebersihan".

"Perkara ini tidaklah dapat dibiarkan. Agensi-agensi berkenaan mestilah peka dan menanganinya dengan pengurusan yang cekap atau jika perlu dengan penguatkuasaan semua peraturan atau akta mengenainya tanpa ada tolak ansur", tegas Bagida Sultan.

Titah Baginda apa yang di sebutkan ini berhubungkait secara langsung dengan proses dan mekanisma perkhidmatan.

"Kita mesti sentiasa mengkaji dan mengemaskinikan peraturan, tata cara dan perundangan, terutamanya yang bersangkut dengan pemberian perkhidmatan kepada orang ramai".

"Matlamat kita yang besar ialah perkhidmatan yang efektif, mesra pelanggan adil dan bewawasan. Contoh pemberian perkhidmatan yang telus dan ditunggu-tunggu ialah bila mana kita mampu meringankan bebanan orang ramai seperti mengurangkan waktu menunggu yang lama, mempercepatkan proses membuat keputusan serta memberi laluan mudah untuk berinteraksi dengan kerajaan", tambah Baginda Sultan.

BIDANG KESELAMATAN

Menyentuh mengenai bidang keselamatan Baginda Sultan bertitah bidang ini termasuk dalam perkhidmatan kepada orang ramai.

"Kita mesti berazam untuk terus menitik beratkan keamanan dan keselamatan sebagai keperluan asasi kita", titah Baginda Sultan.

Maka untuk itu, tambah Baginda, semua agensi yang berkaitan hendaklah mengambil langkah-langkah tegas mengenainya.

Titah Baginda disamping itu kerjasama masyarakat juga tidaklah kurang diperlukan seperti dalam perkara memberikan maklumat-maklumat berguna sekiranya terdapat aktiviti-aktiviti yang mencurigakan yang dianggap boleh menggangu keselamatan negara.

"Mengenai keselamatan ini juga, kerajaan beta akan terus meningkatkan kerjasama serantau dan antarabangsa bagi faedah-faedah bersama. Menerusi hubungan dengan negara-negara sahabat dan juga pertubuhan-pertubuhan kita mempunyai banyak peluang untuk mencapai hasrat tersebut", titah Baginda lagi.

MEMELIHRA HUBUNGAN DENGAN ALLAH PALING UTAMA

Walaupun begitu, Baginda Sultan berpandangan akhir sekali kita akan tetap juga bersandar kepada yang maha berkuasa dalam apapun keadaan sama ada dalam kerja pembangunan, pendidikan, keselamatan dan yang seumpamanya.

"Kita tetap yakin kemakmuran dan kesejahteraan yang sedang dinikmati ini adalah kemurahan Allah yang terbaik kepada kita oleh itu bersyukur serta memelihara hubungan dengan Allah mestilah dijadikan keutamaan dalam kehidupan".

Sehubungan dengan itu Baginda Sultan meluahkan rasa amat bahagia kerana satu pendekatan kearah ini telah berhasil kita garap iaitu apabila tertubuhnya dua buah institusi pengajian tinggi yang baru: Universiti Islam Sultan Sharif Ali dan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan.

"Beta berharap 2 buah pusat pengajian ini akan dapat berperanan dengan baik dalam tugasnya sama-sama membina generasi cemerlang", titah Baginda.

MERINGANKAN BEBANAN RAKYAT

"Demi hasrat untuk membantu kakitangan kerajaan beta khususnya yang berpendapatan rendah terutama dalam perancangan perbelanjaan bagi persediaan persekolahan anak-anak mereka pada awal tahun maka beta dengan sukacita mengumumkan bahawa mulai tahun ini bagi pegawai-pegawai dan kakitangan kerajaan disemua peringkat, termasuk agensi-agensi keselamatan, dan kakitangan yang bergaji hari, dan open vote bonus tahunan yang pada kebiasaannya dibayar pada akhir bulan Janurai pada tahun hadapan akan dibayar sebulan lebih awal iaitu pada akhir bulan Disember tahun ini", ttah Baginda Sutan.

"Beta berharap dengan adanya pembayaran lebih awal bonus tersebut ianya akan membolehkan ibu bapa membuat persediaan yang bersesuaian bagi musim persekolahan yang baru bagi anak-anak mereka", titah Baginda lagi.

 
 
 
     
Hakcipta terpelihara © 2006 oleh Aspirasi-NDP.com
Laman web direkabentuk dan dihos oleh Gawi Company.