HAWA Temburong belajar ilmu kecantikan dan kesihatan

 
 
TEMBURONG - AHLI-AHLI HIMPUNAN WANITA NDP (HAWA) bukan sahaja diharapkan cekap dalam berpolitik tapi harus juga cekap dalam menjaga kecantikan dan kesihatan diri

Ini penting kerana keterampilan ahli-ahli dengan wajah yang berseri-seri dan badan yang sihat akan dapat memancarkan keyakinan diri seseorang.

Dalam ilmu perhubungan awam keterampilan diri yang positif boleh menjadi penawar hati dan memberikan keyakinan kepada orang lain untuk berbicara dengannya.

Sebaliknya jika berpolitik dengan muka masam dan macam marah setentunya susah jual ideologi politik.


Ketua HAWA 'menurunkan' ilmu kemahiran kecantikkan dan kesihatan kepada salah seorang ahli HAWA
Begitulah kira-kiranya mesej yang coba disampaikan oleh Ketua HAWA, Dayang Hajjah Saemah kepada beberapa orang ahli-ahli NDPTemburong yang mengikuti bengkel latihan kemahiran kecantikkan dan kesihatan yang telah dianjurkan oleh HAWA Pusat pada hari Jumaat lalu, 10hb Ogos 2007.

Bengkel tersebut yang diadakan di Markas Perhubungan Daerah Temburong merupakan

salah satu projek Hawa Pusat antara lain bertujuan bagi memberikan pendedahan kepada kaum wanita tentang pentingnya penjagaan kecantikkan dan kesihatan dalam kehidupan seharian untuk tampil lebih berkeyakinan dan bersemangat.

Di samping itu ianya juga bertujuan untuk membukakan peluang kepada wanita yang berminat untuk memulakan perusahaan dalam bidang penjagaan kecantikkan dan kesihatan dengan mempelajari cara-cara pencucian dan pemasangan solekan yang betul dan juga bertujuan bagi mengeratkan hubungan siratulrahim dan kesepaduan di kalangan semua ahli-ahli Hawa di seluruh negara.

Turut menarik perhatian para peserta dalam bengkel tersebut ialah tunjuk cara bagaimana mengawal alahan Resdung dengan menggunakan cara tradisional pembekaman asap menggunakan kain lilin yang berubat di samping penerangan mengenai dengan alahan resdung serta sebab-sebabnya termasuklah memberikan kefahaman apa penyebab resdung dialami oleh hampir semua orang.

Selain daripada hanya diberikan penerangan dan tunjuk cara mengenai dengan mengatasi rawatan resdung, para peserta turut diberikan peluang merasakan sendiri khidmat rawatan bekam asap berkenaan.

Bengkel tersebut telah menampilkan dua tenaga pengajar menunjuk cara pemasangan solekan yang betul dan rawatan alahan resdung.

Tenaga pengajar ialah Dayang Hajah Jamilah binti Haji Ahmad ahli wanita NDP yang mempunyai pengalaman dalam bidang solekan pengantin dan mempunyai salon perusahaannya sendiri bersama anak-anaknya di Daerah Brunei Muara.  Dalam bengkel tersebut beliau telah menunjukkan berbagai cara yang betul untuk mengenakan bedak alas pipi, garis alis kening dan sebagainya supaya wajah wanita lebih tampil cantik dan berseri.

Sementara itu tunjuk cara dan penerangan mengenai dengan alahan Resdung dan rawatan tradisional bekam asap telah ditunjukkan oleh Ketua HAWA Pusat Dayang Hajah Saemah binti Haji Kepli, yang berpengalaman melalui perusahaan salon rawatan resdung yang telah dijalankannya sejak empat tahun lalu di Daerah Belait.

Bengkel tersebut di jangka akan di adakan lagi untuk kali kedua di daerah berkenaan, dengan penyertaan yang lebih ramai di kalangan ahli wanita di sana dan seterusnya ahli-ahli wanita di daerah lainnya.

Turut hadir pada bengkel tersebut ialah beberapa orang ahli-ahli Hawa daripada daerah Brunei Muara dan juga Belait.

 

 

 

 

 

 

 
 
 
     
Hakcipta terpelihara © 2006 oleh Aspirasi-NDP.com
Laman web direkabentuk dan dihos oleh Gawi Company.