HAWA RAIKAN MAJLIS KASIH SAYANG IBU

 
 
LIMBARUH HIJAU 10 JUN 2007 - HIMPUNAN WANITA NDP (HAWA) dengan hasratnya sentiasa mengamalkan pengiratan silatulrahim di kalangan kaum wanita terutama sekali ahli-ahli Parti Pembangunan Bangsa (NDP) menganjurkan satu majlis yang diberikan nama Kasih Sayang Ibu petang kelmarin.

Majlis yang di hadiri hampir 40 orang di kalangan ahli-ahli Hawa dan beberapa orang wanita daripada persatuan wanita lainnya di negara ini turut menghadirkan diri dalam majlis yang di adakan di tingkat satu Restoran Aneka Rasa di Kampung Kiulap Bandar Seri Begawan.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Ketua Himpunan Wanita Puan Hjh Saemah Hj Kepli, di samping ahli-ahli Exco Hawa dan Ketua Biro KeKWA Puan Dr Hjh Rayah bin Mohd Ali dan Puan Hjh Armah Hj Othman Pengerusi Jawatankuasa Kemasyarakatan dan Kebajikan NDP.

Mempengerusikan majlis tersebut Bendahari Hawa Puan Norlina binti Haji Abd Samad dalam ucapan alu-aluannya merakamkan penghargaan dan terima kaseh atas sokongan padu yang diberikan oleh ahli-ahli Hawa terutamanya jawatankuasa-jawatankuasa yang telah bekerjasama dalam menjayakan majlis tersebut.

Sementara itu Ketua Hawa, Puan Hjh Saemah pula ketika berucap menyeru kepada seluruh anggota ahli-ahli Hawa supaya beramai-ramai menghadirkan diri pada Kongres Agung Kedua NDP yang akan di adakan pada 23 dan 24hb Jun yang akan datang bagi menambah meriahkan lagi perhimpunan yang penting itu terutama sekali pada pelancaran ketiga-tiga himpunan Non Muslim, Pemuda dan Wanita di sebelah pagi di hari pertama dan seterusnya pelancaran kongres di sebelah petangnya.

Beliau juga menyeru supaya Hawa terus maju ke hadapan dalam meningkatkan lagi apa jua projek dan aktiviti yang membawa kepada kemajuan baik dari segi ekonomi, berbagai kemahiran keilmuan dan sebagainya.

Beliau juga menasihatkan supaya ahli-ahli Hawa akan sentiasa saling hormat menghormati antara satu dengan yang lain, dan saling sokong menyokong dan eratkan kesepaduan serta kerjasama demi kemajuan semua terutama kekuatan Parti Pembangunan.

Antara acara yang di adakan pada majlis itu ialah pertukaran hadiah sebagai tanda penghormatan dan penghargaan atas jasa-jasa kaum wanita sekaligus sebagai seorang ibu dalam perjuangan mereka sebagai ibu dan pendidik anak-anak semasa di rumah sehingga menjadi insan yang sempurna dan berjaya dan terus memberikan suntikan semangat sehingga mencapai kecemerlangan dalam kehidupan anak-anak mereka.

Di samping itu tugas dan tanggungjawab mereka juga ialah sebagai isteri yang menjaga keamanan dan harta suami serta maruah keluarga setiap saat.

 


 

 

 

 
 
 
     
Hakcipta terpelihara © 2006 oleh Aspirasi-NDP.com
Laman web direkabentuk dan dihos oleh Gawi Company.