SEORANG pemimpin tidak boleh membebaskan diri daripada ikatan agama kerana agama sebenarnya menjadi pemandu yang paling selamat untuknya. Nilai tanggungjawab sebagai pentadbir hendaklah menjadi fokus demi menunaikan amanah Allah untuk kesejahteraan rakyat.
Ulama tafsir muktabar, Ibn Kathir, menyatakan bahawa pemimpin yang berkuasa (pada mana-mana peringkat sekalipun) mestilah menunaikan kewajipan dengan adil dan amanah.
Pemimpin yang baik bersedia mendengar nasihat. Nasihat yang diberikan atas kepentingan pentadbiran dan urusan berkaitan negara demi tuntutan agama. Menasihati pemimpin ada kaedah dan tatacara sendiri. Kita diajar menasihati pemimpin secara hikmah seandainya kita tidak berpuas hati dengan tugasan dilaksanakan pemimpin.
Rasulullah SAW menunjukkan kepada umatnya cara untuk menasihati pemimpin seperti mana sabda Baginda yang bermaksud: "Sesiapa yang ingin menasihati pemimpin dalam sesuatu urusan, janganlah dia melakukannya secara terang-terangan. Akan tetapi hendaklah dia mengambil tangan pemimpin itu dan ajaklah (nasihatilah) dia secara tersembunyi. Jika dia (pemimpin) menerima (nasihat itu) maka itulah yang diharapkan. Jika dia tidak menerima (nasihat) maka sesungguhnya dia (pemberi nasihat itu) sudah melaksanakan tanggungjawabnya." (Hadis riwayat Ahmad)
Pemimpin dapat dibahagikan kepada dua kategori. Pertama, rakyat memilih seseorang untuk menjadi pemimpin berdasarkan ciri kepemimpinan dalam dirinya. Kedua, pemimpin memaksa secara halus rakyat memilih dengan menonjolkan nilai kehebatan, kekayaan dan kepintaran untuk dikagumi dengan harapan supaya dipilih sebagai pemimpin.
Maknanya, seseorang itu secara terang-terangan mencari atau menghendaki dirinya lebih tinggi atau utama daripada orang lain. Ia disebut shadarah yang memberi erti keinginan hati untuk menjadi pemimpin secara terang-terangan dan berlumba-lumba mendapatkannya.
Hakikat daripada keinginan itu, impian untuk meraih sokongan sebagai pemimpin dan kedudukan mewah melalui tatacara tidak bermaruah, menurut pandangan Islam adalah hal yang tercela, jika tidak dikatakan dosa serta terlarang.
Dalam hal ini Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya kami, demi Allah, tidak akan mengangkat seseorang wali (pemimpin) atas pekerjaan ini (daripada) orang yang meminta (menjadi pemimpin) atau orang yang sangat ingin dengannya (pekerjaan itu)" (Hadis riwayat Bukhari).
Sabda Baginda SAW yang ditujukan kepada Abdul Rahman Bin Samarah yang bermaksud: "Ya Abdulrahman, jangan engkau meminta menjadi pemimpin, sebab apabila engkau diberi suatu masalah, engkau akan terasa dibebani. Dan apabila tidak diberinya suatu masalah, maka hal itu akan menolongmu." (Hadis riwayat Bukhari).
Adalah diakui ada sesetengah pemimpin berubah watak dan sahsiah selepas dilantik atau dipilih sebagai pemimpin berbanding sebelumnya. Daripada seorang merendah diri kepada seorang yang sombong dan angkuh.
Daripada seorang mudah berbudi kepada seorang yang mementingkan penghormatan dan pujian. Daripada seorang berperibadi baik kepada seorang yang sentiasa menipu dan berbohong.
Rasulullah SAW memberi peringatan melalui sabdanya yang bermaksud: "Tiada seorang hamba yang dijadikan Allah sebagai pemimpin rakyat itu mati (dan) saat mati dia menipu rakyatnya, kecuali Allah mengharamkannya syurga." (Hadis riwayat Bukhari).
Biasanya, pemimpin yang angkuh dan sombong tidak bersedia menerima nasihat diberikan. Kemarahan dan emosinya tanpa berselindung lagi di sebalik tindakan kepada mereka yang memberi nasihat.
Pemimpin yang angkuh dan sombong tetap berasa apa yang dilakukannya betul dan benar belaka, sementara orang lain serba tidak betul dan bersalahan dengan hukum akalnya. Percayalah bahawa Allah membenci pemimpin seperti itu kerana moral dan nilai budinya sangat rendah.
Allah memberi peringatan kepada manusia yang bersifat seperti ini melalui firman yang bermaksud: "Dan janganlah engkau berjalan di muka bumi ini dengan bongkak. Sebab engkau tidak akan mampu menembus bumi, dan tidak pula akan dapat menjulang setinggi gunung." (Surah al-Isra, ayat 37)
Pemimpin bersifat seperti ini sebenarnya berada di bawah pengaruh material keduniaan bersulamkan kekuasaan yang ada di tangannya. Pengaruh itu menyerap masuk ke dalam diri untuk dimanfaatkan secara boros dan tidak terbatas.
Kecenderungan, amalan itu menjadi daya kekuatan untuk digunakan demi kepentingan peribadi saja. Allah berfirman yang bermaksud: "Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa yang diingini iaitu wanita, anak, harta yang banyak daripada jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia dan di sisi Allah tempat kembali yang baik." (Surah ali-Imran, ayat 14)
Soal semangat serta roh spiritual diketepikan secara mudah dan penuh kedangkalan. Pemimpin seperti ini lupa bahawa material hanya hiasan keduniaan untuk tontonan saja sedangkan tanggungjawab agama yang dituntut cuba diketepikan dengan mudah.
Sifat buruk ini membiak membentuk akar yang menjalar kepada cabang pemusnah lain. Keangkuhan pemimpin itu dijelmakan dalam bentuk harga diri dan kepercayaan diri. Akan tetapi, kedua-dua sifat itu akhirnya berubah menjadi kebanggaan yang menyokongnya membina kumin-kumin kuasa membentuk dan menzahirkan siapa sebenar pemimpin berkenaan.
Allah sudah mengingatkan kita seperti mana firmannya yang bermaksud: "Dan janganlah engkau membuang muka penuh kesombongan terhadap orang lain dan janganlah engkau berjalan di muka bumi dengan angkuh. Sebab Allah tidak senang terhadap semua orang yang sombong lagi angkuh." (Surah Luqman, ayat 18)
Biasanya sifat sombong dimulakan dengan mempamerkan nilai kemewahan dimiliki seperti kekayaan, kediaman, kenderaan, pangkat dan kebesaran kononnya dikecapi hasil ikhtiar peribadinya kerana gah dengan niat untuk disanjung.
Pemimpin seperti ini lupa bahawa Allah tidak memandang semuanya itu kecuali niat dan amalan yang akan dipersembahkan pada hari akhir nanti seperti mana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah tidak memandang kepada rupa paras dan harta benda kamu tetapi Allah hanya memandang kepada niat hati dan amalan kamu." (Hadis riwayat Muslim)
Namun yang dibimbangi ialah pemimpin memiliki jiwa besar tetapi pasif dan cenderung menghidupkan amalan menyeleweng, tidak amanah, mementingkan diri, melupai tanggungjawab diberikan demi mengumpul harta dunia. Tujuannya untuk bermewah, berseronok dengan mengabaikan tanggungjawab menegakkan agama.
Biasanya amalan bermegah akan berakhir dengan keangkuhan. Apatah lagi apabila pemimpin itu mempunyai ramai pengikut yang makan umpan di tangannya, memuji kehebatan, kekayaan dan kuasa yang dimilikinya.
Ingatlah, tugas dan tanggungjawab pemimpin tidak terbatas di dunia bahkan ia bersambung hingga hari akhirat. Apa yang dilakukan hari ini akan dipertanggungjawabkan pada hari pembalasan nanti.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Masing-masing kamu adalah pemimpin dan kelak akan diminta tanggungjawabnya mengenai kepimpinannya. Penguasa yang berkuasa atas manusia (rakyat) adalah pemimpin dan akan diminta pertanggungjawaban mengenai kepemimpinannya. Seorang lelaki adalah pemimpin bagi keluarga rumahnya dan kelak akan diminta pertanggungjawaban mengenai kepemimpinannya. Seorang wanita (isteri) adalah pemimpin dalam rumah tangga suaminya dan anaknya dan kelak akan diminta pertanggungjawaban mengenai kepemimpinannya." (Hadis riwayat Bukhari).
Pemimpin biasanya menjadi ikutan dan contoh kepada pengikutnya. Pemimpin yang baik akan mendorong pengikutnya menjadi baik dengan membuang jauh daripada lubuk hatinya perasaan takbur serta menyombong diri.
Penulis ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Dewan Amal Islam Hadhari (Damai) (Di[etik dari Berita Harian) |