LIMBARUH HIJAU 02 FEBRUARI 2009 - SABDA Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah pada Sabtu 31 Januari lepas di harap benar-benar dapat membuka mata kita terutama penggubal-penggubal dasar, elit-elit pentadbir serta pemaju-pemaju di sektor pembangunan akan tanggunjawab bersama memelihara kesejahteraan alam sekitar dalam masa kita ghairah memajukan dan membangunkan negara dengan pembinaan prasarana-prasarana bagi kemaslahatan awam.
Seperti yang di sabdakan DYTM selaku Timbalan Sultan dan Pengerusi Majlis Bencana Kebangsaan kejadian banjir kilat dan kekerapan tanah susur sejak kebelakangan ini menguji keupayaan kita dalam menangani bencana dan keberkesanan serta kemampuan sebenar sistem dan rangkaian prasaran awam, jalan raya dan komunikasi.
Hujan lebat yang luar biasa sabda DYTM, yang bertembung dengan keadaan air pasang yang tinggi khususnya pada 20 hingga 21 Januari 2009 lepas telah menenggelamkan janakuasa elektrik di Gadong mengakibatkan terputusnya bekalan elektrik dan terjejasnya perhubungan telekomunikasi, termasuk ‘hotline' polis.
DYTM menekankan perkara tersebut ketika mengurniakan Sabda Mukadimah mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Bencana Kebangsaan bagi Membincangkan Mengenai Kejadian Tanah Susur dan Banjir yang berlaku di seluruh negara (Musim Tengkujoh 2008 – 2009) di Jabatan Bomba dan Penyelamat Lapangan Terbang Lama Berakas.
Semasa bersabda DYTM juga menegaskan, pengalaman kali ini benar-benar ‘membuka mata' kita semua betapa rapuh dan lemahnya keupayaan sistem prasarana awam dan perhubungan kita.
“Bayangkan jika hujan berlanjutan untuk beberapa hari, apakah kemampuan dan kesediaan yang sedia ada boleh menangani kemungkinan keadaan bencana yang lebih luar biasa,” sabda DYTM.
DYTM menambah sabda, impak banjir kilat dan tanah susur bukan saja menjejaskan kehidupan seharian kita, malah ia berupaya mengundang keadaan panik, kehilangan nyawa, kemusnahan meluas harta benda termasuk terjejasnya sektor perdagangan yang mendokong aktiviti perekonomian.
“Paduka Ayahnda juga telah menunjukkan keprihatinan dengan berangkat ke Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan pada hari Sabtu, 24 Januari 2009 untuk mengetahui tentang kesan-kesan kejadian dan langkah-langkah yang telah dan akan diambil oleh agensi-agensi yang terlibat,” sabda DYTM.
Ketika bersabda, DYTM juga menekankan pentingnya langkah-langkah lebih kehadapan diambil bagi menanganinya dengan fokus sebagai sandaran bagi pembentukan pelan tindakan jangka pendek dan panjang untuk menangani risiko bencana di negara ini secara lebih sistematik dan terancang.
Di sesi mesyuarat tersebut DYTM juga menekankan antara perkara utama yang perlu dipertingkatkan adalah penyaluran dan penganalisaan maklumat awal.
Tegas DYTM, laporan serta makluman yang diterima hendaklah dinilai bersama oleh Pusat pengurusan dengan kerjasama Pasukan-Pasukan Petindak bagi memastikan amaran awal tentang ramalan kaji cuaca yang berkemungkinan menimbulkan bencana dianalisa secara rasional dan disebarkan secara berkesan.
“Pada masa yang sama, maklumat-maklumat tersebut hendaklah dipastikan sampai kepada pihak-pihak yang berkenaan terutamanya jika ianya memerlukan tindakan serta merta. Mekanisme penyaluran maklumat tersebut bukan saja tertumpu kepada pihak media tertentu, malah seharusnya melibatkan terus pemimpin-pemimpin akar umbi seperti penghulu-penghulu Mukim dan ketua-ketua kampung".
"Saya juga menggalakkan kepada semua ahli mengadakan mesyuarat secepat mungkin atau tidak bertangguh bagi membuat penilaian tentang tahap bencana yang dihadapi sebagai asas bagi mengaktifkan fungsi Pusat dan seterusnya pengisytiharan bencana. Di sini saya menyarankan keperluan untuk membuat kajian semula terhadap mekanisme pengisytiharan tahap bencana berdasarkan pengalaman semasa” demikian sabda DYTM lagi.
Duli Yang Teramat Mulia turut menegaskan agar agensi teras dalam penjanaan dan pembekalan tenaga akan dapat menyediakan pelan kontigensi masing-masing bagi memastikan bekalan tenaga yang lebih 'risilient memandangkan kehidupan dan kemudahan-kemudahan dan keupayaan kita untuk bertindak juga bergantung sepenuhnya kepada kesinambungan pembekalan tenaga.
Dalam menghadapi bencana seumpama ini DYTM berharap semua pihak sama-sama menanai tanggungjawab kerana tugas-tugas menjaga kesejahteraan negara adalah hak dan tanggungjawab bersama bukan sahaja pihak kerajaan.
Penglibatan agensi dokongan dan pihak awam sabda DYTM hendaklah dipertimbangkan kerana ia amat penting sebagai dokongan kepada usaha-usaha Pusat dalam mengadakan latihan dan meningkatkan tahap kesediaan pada umumnya.
DYTM seterusnya bersabda, ‘awareness program’ di kalangan penuntut-penuntut, golongan belia, pihak swasta dan pertubuhan bukan kerajaan hendaklah diusahakan dan dijadikan konsep hidup sehari-hari yang akan membolehkan semua lapisan rakyat merasa terpanggil untuk menyumbang tenaga secara sukarela dalam membantu mangsa-mangsa bencana khususnya.
“Langkah, usaha dan kerja-kerja pengurangan risiko bencana seperti banjir kilat, adalah disarankan supaya ianya dijalankan dan kendalikan sebelum tibanya musim tengkujoh, bukannya setelah terjadinya bencana".
"Ke arah itu kita hendaklah memastikan sumber-sumber termasuk kepakaran yang diperlukan mencukupi baik di peringkat Pusat dan juga pihak Pasukan Petindak, umpamanya rujukan kepada pakar-pakar dalam bidang tertentu hendaklah dipertingkatkan,” tegas DYTM seterusnya.
Dalam hubungan ini DYTM turut menyarankan pihak berkenaan mengkaji dan menilai semula keadaan sungai-sungai yang telah mengalami perubahan fizikal akibat aktiviti-aktiviti pembangunan yang pesat dan kurangnya perhatian.
Tindakan segera bagi pendalaman dasar sungai ini sabda DYTM, perlu diberikan keutamaan demi mengurangkan risiko sungai melimpah di samping mempertingkatkan fungsi semula jadinya.
Pemeliharaan ke atas longkang-longkang pula, tegas DYTM, pada keseluruhannya juga patut diambil perhatian di samping memantau pelaksanaan projek dengan memastikan syarat kontrak, spesifikasi, peraturan kewangan dan lain-lain peraturan dipatuhi.