KUALA UNGAR TUTONG, FEBRUARI 17, 2009 -HIMPUNAN Wanita Parti Pembangunan Bangsa tidak ketinggalan turut merasa terpanggil untuk turun padang meninjau mangsa-mangsa banjir di kalangan anggota NDP yang teruk terjejas akibat kejadian bencana alam banjir besar dan tanah susur bagi kawasan daerah Tutong.
Rombongan melawat ke Kampung Kuala Ungar Merimbun Daerah Tutong yang diketuai oleh Ketua Hawa Pusat Dyg Hjh Sa’emah Kepli Jumaat lalu 13hb Februari turut membawa sedikit sumbangan berupa makanan harian untuk disampaikan kepada mangsa-mangsa di kalangan ahli-ahli NDP dari beberapa kawasan luar bandar daerah itu.
Seramai empat puluh keluarga telah menerima sumbangan tersebut yang telah disampaikan bersama oleh Ketua Hawa Pusat dan juga Naib Presiden Daerah Belait Awang Sulaiman Metarsad yang juga menyertai rombongan berkunjung itu.
Sumbangan tersebut adalah hasil kutipan derma kilat yang dilakukan dengan inisiatif Himpunan Wanita Pusat dan hasil kutipan dikumpul turut disumbangkan oleh beberapa orang di kalangan ahli-ahli Badan Perhubungan Daerah Belait, dan ahli-ahli lainnya daripada ranting-ranting dan juga di kalangan ahli-ahli wanita Belait dan juga Tutong.
Lawatan tersebut turut bertujuan meninjau keadaan anggota-anggota NDP terutama sekali di kalangan kaum wanita yang terjejas ekoran kejadian bencana alam tersebut yang telah melanda di beberapa buah kawasan di Tanjung Maya Tutong.
Di samping itu ianya adalah sebagai rasa keprihatinan ke atas mereka yang mengalami masalah untuk sama-sama mengambil peranan dalam membantu meringankan kesusahan mereka yang telah terpaksa berada dalam keadaan yang kurang selesa sejak mengalami keadaan air menaiki rumah mereka sehingga merosakkan harta benda di samping terputus kemudahan laluan akibat tanah susur dan juga banjir yang melanda begitu besar berlaku sejak lebih 40 tahun.
Acara penyampaian sumbangan telah diadakan di rumah Dyg Gurinum di Kampung Rambai Kuala Ungar Tutong. Turut serta dalam rombongan tersebut ialah Timbalan Ketua Hawa Pusat Dyg Halimah Janai, setiuasaha Hawa Pusat Dyg Safiah Zaini, Ketua Himpunan Wanita Daerah Tutong Dyg Asmah Pulut dan beberapa anggota hawa lainnya daripada seluruh negara dan juga beberapa ahli-ahli Badan Perhubungan Daerah Belait dan Tutong.