LIMBARUH HIJAU 5 FEBRUARI 2008 - MENJELANG 2035 iaitu kurang 30 tahun dari sekarang Negara Brunei Darussalam akan menjadi sebuah negara terkenal diseluruh dunia sebagai sebuah negara yang mempunyai rakyat yang berpendidikan dan berkemahiran tinggi, mempunyai kualiti hidup yang tinggi serta mempunyai pendapatan per kapita yang teratas setara dengan 10 negara teratas dunia.
Inilah Wawasan Brunei menjelang 2035 yang telah digariskan dalam buku 'Perencanaan Kemajuan Jangka Panjang Negara Brunei Darussalam' terbitan Badan Perencana Kemajuan Jangka Panjang Negara' sebuah badan yang telah ditugaskan untuk memetakan strategi laluan kearah mencapai wawasan tersebut.
Pada masa ini kedudukan negara di pesada dunia belumlah begitu terserlah kecuali di rantau Tenggara Asia. Jika pun ianya dikenali hanyalah disebabkan imejnya sebagai sebuah negara yang kecil yang kaya dengan hasil minyak dan gas serta merupakan antara negara-negara Asean yang mempunyai per kapita yang tinggi.
Berpandukan Wawasan Brunei 2035, imej sedimikain akan melalui perubahan dan peralihan dalam masa kurang 30 tahun akan datang ini.
Negara bukan lagi akan dikenali sebagai sebuah negara kecil yang kaya dengan hasil minyak dan gas sahaja malahan akan dikenali sebagai sebuah negara yang mempunyai sumber manusia yang berilmu, mahir dan betamadun tinggi.
Dalam masa sama negara juga akan dikenali diseluruh dunia sebagai sebuah negara yang rakyatnya menikmati kualiti hidup yang tinggi dan menikmati pendapatan per kapita yang teratas setara dengan 10 negara teratas di dunia seperti Luxembourg ($56,380), Norway ($51,810), Switzerland ($49,600), United States ($41,440), Denmark ($40,750), Iceland ($37,920), Japan ($37,050), Sweden ($35,840), Ireland ($34,310) dan United Kingdom ($33,630).
Kedudukan per kapita negara masa ini ialah sekitar BND 42,000 setanding dengan Singapura.
Persoalannya sekarang apakah strategi negara untuk menuju kearah merealisasikan wawasan ini?
Menurut buku tersebut untuk mempastikan pencapain 3 matlamat utama tersebut - Negara Brunei Darussalam negara terkenal diseluruh dunia yang 1- mempunyai rakyat yang berpendidikan dan berkemahiran tinggi, 2- mempunyai kualiti hidup yang tinggi dan 3- mempunyai pendapatan per kapita yang teratas setara dengan 10 negara teratas dunia - 8 strategi telah dikenalpasti bagi memastikan semua aspek pembangunan dilaksanakan dengan teratur dan berkesan.
Lapan strategi tersebut ialah:
1- Strategi Pendidikan
2- Strategi Ekonomi
3- Strategi Keselamatan
4- Strategi Pembangunan Institusi
5- Strategi Pembangunan Perniagaan Tempatan
6- Strategi Pembangunan Infrastruktur
7- Strategi Jaminan Sosial dan
8- Strategi Alam Sekitar
Sehubungan dengan 8 strategi tersebut Badan Perencana Kemajuan Jangka Panjang Negara juga menyediakan satu Rangka Strategi dan Dasar bagi Pembangunan (OSPD) pertama bagi tempoh 10 tahun mendatang iaitu dari 2007 hingga 2017.
Dalam OSPD pertama ini 50 haluan dasar telah digariskan untuk perlaksanaan 8 strategi yang disebutkan.
OSPD pertama merupakan panduan bagi pengubal dasar (policy makers) dan pelaksana untuk menyediakan program dan projek pembangunan negara bagi tempoh 10 tahun kearah mencapai matlamat Wawasan Brunei 2035.
Dibawah rencana kemajuan jangka panjang negara ini juga telah dilancarkan Rancangan Kemajuan Negara (RKN) 5-tahun pertama bagi tahun 2007 - 2012.
RKN 2007 - 2012 merupakan RKN pertama yang digubal berasaskan matlamat Wawasan Brunei 2035.
Dibawah RKN 2007 - 2012 ini, Kerajaan dijangka akan membelanjakan sekitar BND 1.7 billion setahun bagi tempoh 5 tahun mendatang ini dalam usaha melaksanakan strategi OSPD dipenggal pertama perlaksanaan Wawasan Brunei 2035 tersebut.
(Bersambung) (Agenda Pembangunan Kearah Wawasan 2035)