Wawasan 2035 untuk generasi akan datang

 
 
4 FEBRUARI 2008 - KERAJAAN KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izaddin Waddaullah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bukan sahaja bertanggungjawab terhadap rakyat dan penduduk yang berjumlah lebih 400,000 sekarang tetapi harus juga membantu mereka untuk memenuhi harapan terhadap anak cucu mereka yang bakal menerajui hal ehwal negara dan bangsa kelak.

Perkara ini ditekankan oleh Baginda Sultan dalam titah perutusan yang terkandung dalam buku 'Perencanaan Kemajuan Jangka Panjang Negara Brunei Darussalam' yang baru diterbitkan.

Buku tersebut telah diterbitkan oleh Badan Perencana Kemajuan Jangka Panjang yang diperkenankan penubuhannya oleh Baginda Sultan untuk mengilhamkan satu wawasan bagi Negara Brunei Darussalam menjelang tahun 2035 iaitu kurang 30 tahun dari sekarang.

Menurut Baginda Sultan, Badan tersebut telah mengadakan konsultasi dengan rakyat dan penduduk dalam usaha menyediakan satu wawasan yang mengilhamkan bagi Negara Brunei Darussalam menjelang tahun 2035.

"Wawasan ini (hendaklah) lengkap dengan keperluan teknikal, kewangan dan lain-lain keperluan strategik supaya wawasan ini nanti menjadi kenyataan dalam tempoh tiga puloh tahun kehadapan yang merupakan masa pertukaran satu generasi kepada generasi selanjutnya", titah Baginda sambil menyatakan Baginda telah menerima hasil kerja Badan tersebut dalam bentuk tiga dokumen iaitu, dokumen 'Wawasan Brunei 2035', Rangka Strategi dan Dasar Bagi Pembangunan (OSPD) 2007 - 2017 dan Rancangan Kemajuan Negara (RKN) 2007 - 2012'.

Menurut Baginda lagi hasil dari konsultasi dengan pelbagai lapisan rakyat dan penduduk, Badan tersebut telah mengenalpasti berbagai cabaran besar berupa keperluan individu, masyarakat, kerohanian, kebudayaan dan juga perekonomian, yang akan menjelma daripada dunia baru ketika anak-anak kita sedang membesar dan menjadi dewasa dalam tempoh tiga dekad akan datang.

Sementara itu DYTM Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah selaku Pengerusi Badan tersebut menjelaskan dalam buku tersebut bahawa harapan rakyat dan penduduk terhadap masa depan negara dan bangsa dapat dirumuskan seperti berikut:

1- Untuk mengekalkan kestablian politk yang dinikmati oleh Negara Brunei Darussalam.

2- Untuk memelihara nilai-nilai sosial, budaya, rohani dan sejarah kita.

3- Untuk membantu rakyat dan penduduk kita menghadapi cabaran dunia moden dengan jayanya.

4- Untuk memberi keyakinan tentang masa hadapan kepada keluarga dan masyarakat.

Dalam konteks ini, Badan Perencana Kemajuan Jangka Panjang telah behasil meyusun satu dokumen mengandung 3 bahagian mengenalpasti aspek penting dalam perancangan Negara.

Badan ini, menurut DYTM Seri Paduka Pengiran Perdana Wazir, yakin dokumen-dokumen yang mengandungi 'Wawasan Brunei 2035', 'Rangka Strategi dan Dasar Bagi Pembangunan (2007-2017) dan ' Rancangan Kemajuan Negara (RKN) (2007-2012) menggambarkan:

1- Matlamat am yang ditentukan oleh rakyat dan penduduk.

2- Haluan dasar sebagai penduan Kerajaan.

3- Program dan projek tertentu yang diperlukan.

DYTM seterusnya menyatakan 'Wawasan Brunei 2035' merumuskan wawasan untuk masa hadapan yang dapat memenuhi cita-cita dan harapan rakyat dan penduduk bagi tempoh jangka panjang, sementara 'Rangka Strategi dan Dasar Bagi Pembangunan (2007-2017) menyenaraikan 50 haluan dasar bertujuan bagi memberikan keyakinan kepada rakyat dan penduduk untuk mengharungi cabaran dunia moden dan dokumen 'Rancangan Kemajuan Negara (RKN) (2007-2012) pula memutakan cadangan khusus, program dan projek tertentu untuk Kerajaan laksanakan dalam tempoh 5 tahun ini.

(Bersambung) (APA WAWASAN BRUNEI 2035?)

 
 
 
     
Hakcipta terpelihara © 2006 oleh Aspirasi-NDP.com
Laman web direkabentuk dan dihos oleh Gawi Company.