ISLAMABAD: Parti pembangkang Pakistan yang menang besar dan mengalahkan parti pro-Presiden Pervez Musharraf dalam pilihan raya Isnin lalu, menimbang membentuk kerajaan campuran, semalam.
Perkembangan itu dilaporkan ketika Suruhanjaya Pilihan Raya menyatakan keputusan rasmi pilihan raya itu akan diumumkan malam semalam.
Bekas Perdana Menteri Nawaz Sharif yang digulingkan Musharraf menerusi rampasan kuasa pada 1999 dan Asif Ali Zardari - suami bekas Perdana Menteri, Allahyarham Benazir Bhutto, sudah menyuarakan hasrat bekerjasama dengan parti pembangkang lain selepas kemenangan besar berkenaan.
Nawaz meraikan kemenangan Parti Liga Muslim Pakistan-N (PML-N) pimpinannya dengan menggesa Musharraf � sekutu Amerika Syarikat untuk berundur.
Asif Ali yang menang menerusi Parti Rakyat Pakistan (PPP) yang pernah diterajui Benazir, pula menegaskan yang beliau tidak akan bekerjasama dengan parti pro-Musharraf dalam Parlimen lalu yang terbukti kalah teruk dalam pemilihan kali ini.
Nawaz dan Asif Ali dijadual bertemu di Islamabad, hari ini dan mereka juga bakal mengadakan mesyuarat dengan jawatankuasa tertinggi parti masing-masing selepas itu.
Musharraf yang berdepan tekanan hebat termasuk kemungkinan berdepan usul untuk didakwa di Parlimen jika pembangkang memperoleh kemenangan majoriti dua pertiga, sebaliknya memberitahu akhbar Amerika, Wall Street Journal yang beliau tidak berhasrat meletak jawatan.
"Tidak. Belum lagi. Kami perlu mengutamakan usaha untuk maju dengan mewujudkan kerajaan demokratik yang stabil di Pakistan," katanya dalam wawancara yang disiarkan laman web akhbar perdana berkenaan.
Musharraf juga menyuarakan kesediaannya bekerjasama dengan 'mana-mana parti dan pakatan demi kepentingan Pakistan.'
Penganalisis berkata strategi yang boleh dibuat Musharraf adalah untuk mendapatkan sokongan parti Benazir bagi memisahkannya daripada sebarang pakatan dengan parti Nawaz. Namun, kedudukan Musharraf pasti terjejas jika Nawaz meneruskan ikrarnya melantik semula bekas Ketua Hakim Iftikhar Muhammad Chaudhry yang dipecat Presiden itu dan kini dikenakan tahanan rumah.
Sementara itu Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya, Kanwar Dilshad berkata keputusan rasmi dijangka diumumkan malam semalam selepas tamatnya kiraan undi di sejumlah kecil kawasan.
Namun dengan kiraan tamat di 258 daripada 272 kawasan, dua parti pembangkang utama PPP dan PML-N memenangi 153 kerusi.
Bekas parti pemerintah, Liga Muslim Quaid Pakistan (PML-Q) dan sekutunya, cuma memenangi 58 kerusi.
Keputusan sedia ada turut menunjukkan parti konservatif yang hampir kalah teruk, biarpun ia sebelum ini memerintah di wilayah Barat Laut yang bersempadankan Afghanistan.
Satu kumpulan pemerhati dari Kesatuan Eropah (EU) juga dijadual mengumumkan laporannya semalam biarpun dakwaan pembangkang wujudnya penyelewengan, semakin sepi.
Di Washington, Rumah Putih menyifatkan pilihan raya itu 'sebahagian besarnya adil.'
"Saya rasa apa yang kami boleh nyatakan proses itu sebahagian besar berlangsung secara adil dan rakyat dapat menyuarakan pendapat masing-masing dan yakin dengan undian yang dibuat," kata jurucakap Rumah Putih, Dana Perino.
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Ban Ki-moon pula memuji komitmen yang diberikan semua parti terbabit dalam proses pilihan raya berkenaan. - AFP