Menyuburkan tunas harapan bangsa satu cabaran

 
 

LIMBARUH HIJAU 25 FEBRUARI 2008 - NEGARA BRUNEI DARUSSALAM tidak akan mampu mencapai matlamat Wawasan Brunei 2035 jika sekiranya sistem pengurusan, pentadbiran dan sistem delivery yang sedia ada yang telah terbukti gagal mencapai banyak matlamat pembangunan bangsa dan negara seperti yang direncanakan sepanjang 24 tahun lalu tidak diperbaiki dengan segera dan dengan bersungguh-sungguh.

Dalam masa sama matlamat Wawasan Brunei 2035 untuk membina sebuah masyarakat Brunei yang berpendidikan, berkemahiran, berjaya, mempunyai kualiti hidup yang tinggi serta mempunyai pendapatan per kapita yang tinggi setara dengan 10 negara teratas dunia, akan tinggal angan-angan sahaja jika rakyat masih tidak mendapat ruang secukupnya untuk berpartisipasi secara lebih efektif dalam sama-sama berusaha merealisasikan wawasan tersebut.

Kerisauan ini diluahkan oleh sdr Mahmud Morshidi Othman, Timbalan Presiden NDP di majlis ramah mesra bersama ahli-ahli parti yang menyertai perbarisan sempena negara menyambut Hari Kebangsaan kali ke 24 pada 23 Februari 2008 yang baru lalu.

Sesi ramah mesra diadakan di Limbaruh Hijau, markas pusat NDP di Jerudong.

Sdr Morshidi dalam ucapannya mengajak pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli NDP yang hadir untuk sama-sama memikirkan mesej yang disampaikan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaullah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui titah perutusan Baginda sempena Hari kebangsaan negara kali ke 24.

Katanya titah Baginda Sultan jelas mengambarkan kekecewaan Baginda terhadap prestasi negara yang sedang menyambut Hari Kebangsaan kali ke 24 dengan di warnai oleh gejala sosial yang meruncing dan mengancam pertumbuhan generasi muda yang merupakan tunas bangsa.

Baginda Sultan jelas risau dengan masa depan tunas bangsa ini dan menaruh harapan agar semua rakyat dan penduduk dapat berkerjasama memerangi gejala sosial yang sedang melanda negara demi untuk menyelamatkan tunas bangsa dari kehancuran.

"24 tahun lalu iaitu pada 1 januari 1984 tumbuh sebuah negara bangsa yang merdeka dan berdaulat yang bernama Negara Brunei Darussalam. 24 tahun kemudian iaitu pada hari ini (23 Februari 2008) negara bangsa yang tumbuh itu baru bertunas. Bercakap mengenai tunas kita turut sedih apabila mendapat tahu tunas yang baru tumbuh ini sedang di jangkiti virus", ujar sdr Morshidi sambil memetik titah Baginda Sultan mengenai dengan gejala sosial yang sedang melanda negara.

Katanya titah Baginda Sultan tersebut merupakan satu kejutan kepada kita semua.

"Kita rasa tersentuh. Kalau Baginda Sultan melahirkan kekecwaannya, kita bersama-sama Baginda Sultan juga turut kecewa diatas prestasi negara selama 24 tahun ini", tegas sdr Morshidi.

Sehubungan dengan itu, tegasnya lagi, elit-elit pentdbir seharusnya berasa malu dan tercabar mendengar titah tersebut.

"Bukan kali pertama Baginda meluahkan kekecewaan, kerisauan dan harapan sedemikian. Sudah berapa banyak titah Baginda Sultan berulang kali menegur mengenai berbagai masalah yang dihadapi termasuk sistem delievry yang tidak betul, pengurusan yang tidak betul dan bermacam-macam lagi yang tdak betul. Malangnya kita seolah-olah tidak faham-faham dengan isyarat-isyarat yang disampaikan Baginda Sultan itu", kata sdr Morshidi lagi.

"Inilah yang juga membuatkan kita selaku rakyat turut kecewa. Dan dalam konteks inilah NDP selaku parti politik perlu mendepani keadaan ini dan membantu Baginda Sultan menegur dan memberikan padangan-padangan kearah memastikan hasrat Baginda Sultan kepada negara dan bangsa tercapai. Kita perlu membantu Baginda dalam usaha memastikan sistem pengurusan dan pentadbiran serta sistem delivery bersih dari virus sikap tidak jujur, tidak amanah dan kurang berkesan", jelas sdr Morshidi.

Sdr Morshidi dalam ucapanya juga menyentuh mengenai perstasi negara selama 24 tahun lalu seperti yang dilaporkan dalam buku Perencanaan Kemajuan Negara Jangka Panjang terbitan Badan Perencana Kemajuan Negara Jangka Panjang dan pandangan NDP mengenai dengan masa depan negara yang dilandaskan atas Wawasan Brunei 2035.

"RKN 2007-2012 merupakan perintis kepada pencapaian matlamat Wawasan Brunei 2035 yang dirancang secara berkesinambungan untuk mendokong dan mencapai pembangunan sosio-ekonomi jangka panjang negara".

"NDP amat terhutang budi dan berterima kasih kepada Badan Perencana Kemajuan Jangka Panjang atas usaha mereka menghasilkan Perencanaan Kemajuan Jangka Panjang Negara Brunei Darussalam yang membawa harapan baru kepada seluruh rakyat Brunei".

"Kita mempunyai dua harapan yang besar. Pertama, bahawa perancangan ini dibuat dengan penuh ketelitian dan  mengambil kira falsafah negara, iaitu MIB".

"Hasrat kita ialah apa jua perancanaan dan projek-projek yang akan dilaksanakan hendaklah mengarah kepada pengukuhan Institusi Melayu, Institusi Islam dan Institusi Beraja".

"Harapan kita yang kedua ialah, apa jua projek-projek yang dirancangkan hendaklah dilaksanakan mengikut jadual", tegas sdr Morshidi..

Katanya kegagalan dalam apa jua perlaksanaan akan menjejaskan matlamat Wawasan Brunei 2035 dan seperti tidak menghargai usaha murni Badan tersebut.

"Kita juga berterima kasih kepada Badan tersebut yang menunjukkan ketelusan dalam menilai prestasi perlaksanaan projek-projek sejak 20 tahun yang lalu", tambahnya lagi sambil meluahkan rasa kagum dengan Badan tersebut yang begitu kritis dan objektif, dalam mengukur prestasi agensi-agensi pelaksana dalam aspek keupayaan berbelanja dan melaksanakan projek-projek pembangunan.

Jelasnya lagi,"Kita juga mengharapkan ketelusan dan sikap sebegini rupa akan diamal dan dibudayakan oleh agensi-agensi kerajaan secara keseluruhannya".

"Kita yakin dengan pendekatan ini, rakyat akan sentiasa mendapat maklumat yang sahih dan berterusan, justeru mereka dengan ini berupaya membuat pengukuran dan penilaian ke atas prestasi agensi-agensi kerajaan".

Menyentuh mengenai dengan prestasi negara, kata sdr Morshidi, secara keseluruhan seperti yang telah dilaporkan, pencapaian empat siri RKN yang lalu (1986 - 2005) adalah tidak begitu memberangsangkan.

"Persoalan sekarang ialah apa perubahan yang perlu dilakukan untuk memperbaiki kelemahan sedia ada dalam sistem perlaksanaan agar semua projek kemajuan yang dirancang dapat dilaksanakan dan seterusnya mengarah kepada pencapaian Wawasan Brunei 2035", ujar sdr Morshdi.

"Bagi menjamin kejayaan projek-projek pembangunan, disasarkan setiap agensi pelaksana membelanjakan sekurang-kurang nya 80% dari peruntukan yang diluluskan. Dengan kadar perbelanjaan tersebut barulah kadar pertumbuhan sebanyak 6% setahun boleh dicapai", jelas sdr Morshid memberikan pandanganya.

"Persoalannya mampukah agensi-agensi pelaksana mencapai sasaran 80% itu? Apakah langkah selain penambahbaikan proses, prosedur dan kaedah yang perlu dibuat untuk melonjak keupayaan berbelanja tersebut?"

"Yang jelas, organisasi, sistem dan sumber manusia yang sedia ada nampaknya tidak berkeupayaan untuk melakukan lonjakan tersebut", tegas sdr Morshidi.

"Buktinya adalah seperti statistik berikut :

Dalam RKN 8 :

Dari jumlah diperuntukkan 7.3 bilion hanya 1.8 bilion atau 25 % telah dibelanjakan.

Ini menunjukkan jumlah shortfall (kurang belanja) yang begitu besar sebanyak 5.5 bilion.

Kadar shortfall yang begitu tinggi bermakna sebahagian besar projek-projek yang dirancang tidak mampu dilaksanakan oleh agensi-agensi pelaksana. Secara keseluruhan daripada 808 projek hanya 283 siap dilaksanakan iaitu 35 % sahaja".

Tambah sdr Morshidi statistik pencapaian mengikut sektor juga amat mengecewakan dan gambarannya seperti berikut:

RKN 8 (2001 - 2005)


Sektor

Peruntukan

Perbelanjaan

Perindustrian dan Perdagangan

1,074 juta

121 juta (11 %)

Pengangkutan dan Perhubungan

838 juta

467 juta (56 %)

Perkhidmatan Sosial

2 bilion

380 juta (19%)

Perumahan Negara

900 juta

-

Penggunaan Awam

1,172 juta

488 juta (41%)

Bangunan Awam

632 juta

169 juta (27 %)

ICT

1,119 juta

96 juta (9 %)

Keselamatan

350 juta

100 juta (29 %)

Rampaian

143 juta

24 juta (17 %)

 

RKN 8 (2001 - 2005)

 


Sektor

Projek Dirancang

Projek Siap

Perindustrian dan Perdagangan

80

19 (25 %)

Pengangkutan dan Perhubungan

139

89 (64%)

Perkhidmatan Sosial

319

92 (28.8 %)

Perumahan Negara

146 (9,000 rumah)

33 (969 siap)

Penggunaan Awam

103

30 (30%)

Bangunan Awam

83

35 (42 %)

ICT

27

0

Keselamatan

15

6 (40%)

Rampaian

41

12 (29 %)

"Selain daripada yang disebutkan, tambah sdr Morshidi, kemajuan di bidang Perumahan Negara juga sangat mengecewakan. Dari 146 projek yang dirancang hanya 33 yang siap dan dari 9,000 buah rumah yang dirancang hanya 969 siap (10.8%)".

Tambah sdr Morshidi masih terdapat lebih 17,000 pemohon dalam senarai menunggu bagi perumahan dan lot-lot tanah di bawah skim perumahan

"Di bidang saliran pula seperti yang dinyatakan dalam muka surat 62 buku Perencanaan Kemajuan Negara Jangka Panjang kawasan mudah banjir ialah berjumlah 465 km2. Sehingga tahun 2005 hanya berjaya dikurangkan kepada 339 km2 (126km2 / 27 %)"

"Statistik yang dibentangkan ini memperlihatkan kelemahan dan ketidakupayaan agensi-agensi pelaksana yang begitu ketara", kata sdr Morshidi.

Kalau inilah tahap prestasi diperlihatkan, kata sdr Morshidi lagi, apakah mungkin agensi-agensi yang sama dengan struktur, sistem dan tenaga manusia yang sama akan berupaya memikul beban melaksanakan projek-projek yang lebih besar untuk mencapai Wawasan Brunei 2035?

Jelas sdr Morshdi kajian Separa Penggal (MTR) RKN8 telah mengenalpasti faktor-faktor yang menyumbang kepada pencapaian dan perlaksanaan program dan projek yang rendah.

"Untuk mengatasi masalah tersebut, langkah-langkah pembaikan telah diperkenalkan dan dikuatkuasakan sejak bulan Ogos 2004".

"Antaranya, mengukuhkan dan menghalusi proses dan prosedur di setiap peringkat kitaran projek, termasuklah peruntukan bagi tapak projek, perlantikan konsultan dan proses tawaran".

Namun, katanya lagi, berdasarkan prestasi yang ditunjukkan setakat ini, kita harus mempersoalkan keberkesanan langkah-langkah pembaikan yang telah diperkenalkan itu.

NDP, tambahnya berpendapat, sindrom ini berbangkit kerana perancangan projek-projek pembangunan tidak dibuat atas dasar keperluan sebenar.

"Ada kemungkinan yang agensi-agensi tertentu lebih menjurus kepada memperlihatkan mereka juga mempunyai projek-projek pembangunan untuk dilaksanakan".

"Justeru itu, tidak menjadi persoalan kepada agensi-agensi tersebut sama ada projek-projek yang dirancang berjaya dilaksanakan atau tidak".

"Rakyat sebagai end user kepada projek-projek tersebut tidak akan mempersoalkan kegagalan tersebut kerana tidak wujud saluran untuk berbuat demikian", tegas sdr Morshidi.

Beliau berpandangan kedudukan agensi-agensi tersebut sentiasa selamat dan aman dari sebarang kritikan.

"Di bawah Perancanaan Kemajuan Jangka Panjang Brunei Darussalam, penentuan had maksimum peruntukan adalah diasaskan kepada kriteria-kriteri berikut:- Pertama, impak kepada pertumbuhan ekonomi dan pekerjaan, kedua, relevannya dengan dasar dan ketiga, kapasiti perlaksanaan".

"Persoalannya ialah memberi kewajaran yang rendah kepada kapasiti pelaksanaan. Ini mengundang suatu risiko yang besar kerana kebarangkalian untuk kegagalan adalah besar jika dilihat pada track record yang lepas", ujar sdr Morshidi lagi.

"Yang nyata, kriteria ketiga iaitu, kapasiti pelaksanaan merupakan teras dan prasyarat kepada pencapaian matlamat dua kriteria yang terdahulu".

"Satu lagi aspek yang perlu diberi perhatian ialah soal menarik pelaburan asing ke Brunei (FDI)".

"Kalaulah begini pola prestasi yang ditunjukkan oleh agensi-agensi pelaksana, mungkinkah para pelabur asing akan tertarik untuk berurusan dengan agensi-agensi tersebut?"

"Kalau projek pembangunan yang dirancangkan sendiri pun gagal dilaksanakan dengan memuaskan, bagaimana mungkin boleh kita harapkan pelabur-pelabur asing meletakkan kepercayaan mereka untuk berurusan dengan agensi-agensi tersebut?"

"Tidak syak lagi, situasi ini akan menjejaskan inisiatif menubuhkan pasaran modal Islam dan mempromosikan Brunei sebagai pusat kewangan dan perbankan Islam", ujar sdr Morshidi.

Katanya lagi kita juga harus mengambil iktibar dari peristiwa keruntuhan Amedeo Development Corporation pada tahun 1998.

"Kerugian teramat besar yang dialami oleh Amedeo dilaporkan mencecah 28 bilion USD disamping hutang sebanyak 3 billion USD".

"Keruntuhan Amedeo adalah berkait rapat dengan budaya berbelanja dengan boros dan tidak terkawal".

"Walaupun dana yang dibelanjakan itu adalah milik negara, namun kita tidak nampak sebarang pemantauan dibuat untuk mempastikan setiap perbelanjaan yang dilakukan adalah berhemah dan beramanah".

"Akibatnya sebaik sahaja masalah Amedeo disedari ianya sudah terlalu lewat untuk diselamatkan", tegas sdr Morshidi.

"Peristiwa ini meninggalkan satu sejarah hitam yang menoreh maruah negara dan menjejaskan reputasi kerajaan. Ini terbukti dengan jumlah pelaburan asing di Brunei yang jatuh dengan mendadak pada tahun 1999 dan 2000".

"Agensi kerajaan yang dipertanggungjawabkan dengan amanah membelanjakan wang negara dan melaksanakan projek-projek pembangunan harus mengambil pelajaran dari peristiwa Amedeo ini".

"Setiap sen wang negara hendaklah dibelanja dengan penuh berhemah, beramanah dan mengikut perancangan yang telah diluluskan', kata sdr Morshidi.

"Ini menuntut kepada kecekapan dalam pengurusan perbelanjaan dan perlaksanaan projek".

"Tidak dikatakan cekap andainya satu projek disiapkan dengan peruntukan yang diluluskan tetapi mengambil masa yang melangkaui jadual".

"Tidak dikatakan cekap andainya satu projek siap mengikut jadual tetapi tidak menepati spesifikasi".

"Tidak juga dikatakan cekap jika satu projek siap mengikut spesifikasi dan jadual yang ditetapkan, tetapi kosnya melampaui peruntukan yang diluluskan. Apatah lagi jika suatu projek tidak siap mengikut peruntukan", kata sdr Morshidi.

Jadual dan spesifikasi berikut merupakan ‘total failure’ dalam perlaksanaan perancangan kemajuan negara selama 24 tahun ini:

Agama 3.53 (ms 66)
Perbankan dan Kewangan 4.15 (ms 78)
Pendidikan Ugama 6.32 (ms 101)
Pembangunan Produk Halal Premium 14.31 (ms 170)
Peruntukan Melayu / PKS 2.04 (ms 39)


"Dalam masa sama pencapaian Rakyat Melayu sebagai pemimpin dalam industri dan perniagaan adalah juga rendah iaitu hanya 2.21juta (ms 43) manakala bantuan khusus untuk Rakyat Melayu Brunei dalam pembangunan PKS. hanya 5.03 (ms 87) dan dalam perkara kemanjuan Economic Clusters pula strategi membantu PKS berjumlah 5.36 – 5.43 (ms 93 - 94)".

"Itulah antara lain gambaran suasana kemajuan pembangunan negara dan bangsa setakat ini dan pandangan kita mengenai dengan masa depan negara", jelas sdr Morshidi sambil mengulangi seruan beliau kepada pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli NDP betapa NDP selaku rakan strategik kepada Baginda Sultan dan pembangunan negara berperanan untuk sama-sama memastikan perstasi pembangunan negara ditahun-tahun mendatang akan lebih cemerlang dari 24 tahun yang sudah berlalu.

 
 
 
     
Hakcipta terpelihara © 2006 oleh Aspirasi-NDP.com
Laman web direkabentuk dan dihos oleh Gawi Company.