DIRGAHAYU NEGARA KU BRUNEI DARUSSALAM

Buktikan patriotisme

 
 

BANDAR SERI BEGAWAN - Semangat kebangsaan dan cintakan negara harus ditanam di jiwa setiap rakyat dan penduduk negara ini.

Brunei bakal meraikan sambutan Hari Kebangsaan ke-24 pada 23 Februari dan salah satu cara bagi orang ramai menyokong hasrat serta menunjukkan semangat kebangsaan ialah melalui pengibaran Bendera Negara.

Sehubungan itu bagi tahun kesembilan dan bertujuan menyemarakkan sambutan ulang tahun ke-24 Hari Kebangsaan, Jawatankuasa Tajaan Sambutan Hari Kebangsaan mulai hari ini hari ini mengagihkan bendera kecil kepada kenderaan di seluruh negara dengan perasmian pengagihan bendera kecil diadakan di Gadong dekat sini.

Majlis pengagihan bendera kecil itu dilakukan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, selaku pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam, Pehin Dato Seri Pahlawan Haji Mohammad Haji Daud.

Pengerusi Jawatankuasa Tajaan Majlis Pengibaran Bendera Kebangsaan Bersaiz Kecil 2008, Pehin Dato Setia Haji Abdul Hapidz Haji Abdul Razak berkata sebanyak $267,000 berjaya dikumpulkan daripada penaja bagi sambutan tahun ini yang tidak termasuk penajaan barangan.

Beliau berkata program pengibaran bendera kecil itu adalah bagi mengingatkan kepada kedaulatan yang dijunjung, kemerdekaan yang dicapai, kecintaan dan taat setia kepada raja, bangsa dan negara.

Ekoran sambutan yang semakin menggalakkan, sebanyak 30,000 helai bendera kecil diagihkan bagi sambutan kali ini, tambahnya.

Pengibaran bendera kecil itu dapat menyemarakkan semangat patriotik di jiwa semua rakyat dan penduduk untuk terus berusaha dengan lebih gigih serta memupuk perpaduan untuk mencapai kejayaan, kemajuan dan kemakmuran dalam negara.

Acara itu juga dihasratkan dapat meningkatkan disiplin dan taraf moral golongan muda sebagai generasi pelapis yang dapat menyumbangkan minda dan tenaga mereka bagi memajukan serta menaikkan taraf negara selaras dengan tema sambutan Hari Kebangsaan iaitu Tunas Bangsa, tambah beliau lagi.

Majlis disempurnakan dengan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan mengagihkan bendera kecil kepada pegawai daerah dan juga melekatkan bendera kecil kepada sebuah kenderaan.

Majlis diserikan dengan perarakan kenderaan yang mengibarkan bendera kecil untuk menjana semangat patriotik supaya semua orang berusaha lebih gigih serta memupuk semangat perpaduan bagi mencapai kejayaan, kemajuan dan kemakmuran negara.

Sebanyak 30,000 bendera kecil diagihkan di seluruh negara dengan pengagihan bendera kecil daerah Brunei dan Muara sebanyak 23,000 helai, daerah Belait (3,500), daerah Tutong (2,000) dan daerah Temburong sebanyak 1,500 helai.

Orang ramai diseru sama-sama memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan dengan turut serta menjayakan acara perarakan bendera kecil dan memasang serta mengibarkan bendera negara bagi meningkatkan semangat patriotisme. MP

 
 
 
     
Hakcipta terpelihara © 2006 oleh Aspirasi-NDP.com
Laman web direkabentuk dan dihos oleh Gawi Company.