BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 14 Februari. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah mengajak kita mencontohi Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dari apa jua yang ada dan datang dari Baginda.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia bertitah kita contohi, barulah ada makna kita menjadikan Baginda itu pemimpin dan penghulu kita dan baru juga ada harapan untuk kita menjawat berkat dan rahmat di dalam kehidupan.
Kebawah DYMM bertitah demikian sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam di Istana Nurul Iman yang disiarkan secara langsung melalui Radio dan Televisyen Brunei.
Seterusnya baginda bertitah, selaras dengan perintah Allah sendiri kepada kita seperti firmannya dalam Surah Al Ahzab, ayat 21,tafsirnya:
"Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikatan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (redha) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia itu pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)".
Baginda bertitah menjelaskan, ayat tersebut sangat terang memberi isyarat supaya kita mencontohi Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.
Menurut Kebawah DYMM, dalam makna ayat tersebut juga menghendaki kita supaya berpegang kuat kepada ajaran yang dibawa oleh Baginda, sebagaimana Baginda sendiri juga berbuat yang sedemikian itu.
Dengan pegangan yang kuat ini titah baginda, kita akan menjadi umat yang sempurna, yang taat kepada Allah, yang berakhlak mulia lagi bermaruah.
Jadi titah baginda, amat sesuai tema sambutan kita pada tahun ini mengungkap "Membina Syakhsiah Dengan Ajaran Rasulullah".
"Ia lebih relevan lagi dengan fenomena hari ini, di mana dunia sedang meratap kerana dilanda oleh pelbagai gejala buruk, terutama gejala sosial yang menular, yang mengheret semula dunia memasuki era gelap-gelita yang bernama 'jahiliah'," titah baginda.
Baginda percaya, hanya dengan menguatkan pegangan agama serta menghayati sunnah-sunnah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sahaja, penyakit menular ini akan dapat dibanteras.
Baginda kemudian berharap, syakhsiah mulia acuan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam akan tumbuh dengan suburnya di negara ini, menjadi tunjang kepada kemajuan dan pembangunan sepanjang zaman.
Pembinaan insan merupakan
faktor yang membawa Rasulullah
berjaya membentuk masyarakat, negara
Dalam titah yang sama Baginda juga menekankan bahawa pembinaan insan merupakan faktor yang membawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam berjaya membentuk masyarakat dan negara yang sempurna.
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam berjaya membentuk masyarakat dan negara yang sempurna kerana Baginda terlebih dahulu mengambil kira pembinaan insan sebelum lagi soal-soal kenegaraan, titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia sambil menambah, Baginda Rasulullah telah menanam iman, menggilap jiwa dengan tauhid dan menghiasi hati dengan sifat-sifat terpuji, sebelum lagi yang lain-lain itu.
"Inilah satu keteladanan yang sayugia jangan diabaikan. Kerana di sini, pada hemat beta, ada rahasia besar, mengapa Baginda Shallallahu 'Alaihi Wasallam mengutamakan lebih dahulu pembangunan insan dari yang lain-lain," titah baginda.
Di antara rahsianya yang dapat dikesan menurut Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah, kerana insan itu adalah jentera. Dia juga penggerak dan dia juga tonggak untuk melakukan sebarang pembangunan.
Kalau jentera, penggerak dan tonggak berfungsi dengan elok titah baginda, bukankah apa-apa jua yang dibangunkan nanti, akan mengikut elok juga?
"Oleh itu, bagi umat Islam di mana saja yang ingin berjaya seperti kejayaan Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam dalam membangun, termasuk membentuk 'Negara Sejahtera', mereka itu diperlukan mengikut formula Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam ini," titah baginda.
Terdahulu baginda bertitah menyatakan rasa syukur kerana dapat menyambut dan memperingati sejarah keputeraan Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, Rasul utusan Allah, dan selaku rahmat bagi alam seluruhnya.
Telah menjadi ristaan, titah baginda, bahawa Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam diutus ke tengah-tengah masyarakat jahiliah yang rosak segala-galanya: rosak akhlak dan rosak nilai-nilai hidup.
"Pada ketika itu tidak ada keluhuran undang-undang dan tatasusila. Semuanya berhakim dengan hati dan hawa nafsu," titah baginda.
Namun baginda menambah titah, setelah Rasullulah SAW diutus, cahaya kebenaran mula memancar, menyinari masyarakat dan bumi yang gelap-gelita. (Teks dan gambar ehsan Pelita Brunei)