KAMPONG KUALA UNGAR, TUTONG - ANTARA perjuangan Parti Pembangunan Bangsa (NDP) ialah untuk membantu Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kerajaan baginda membina sebuah masyarakat Brunei yang terus bersatu dan harmoni, tidak mengira bangsa, warna kulit, atau pegangan kepercayaan.
Kearah mencapai hasrat tersebut NDP mengambil pendekatan yang boleh menghidupkan semangat berkasih sayang dan bertolong-tolongan dalam masyarakat Brunei yang kecil tetapi berbilang puak dan kaum serta berbagai anutan. NDP juga mengambil pendekatan melalui pengukuhan ikatan adat dan budaya orang Brunei dan ajaran Islam dan yang menganjurkan konsep bergotong royong dan jiran sebagai suadara terdekat tidak kira apapun bangsa dan anutannya.
Begitulah antara lain mesej yang disampaikan oleh sdra Mahmud Morshidi Othman, Mantan Timbalan Presiden NDP yang telah dipelawa untuk memberikan sedikit pandangan di majlis rumah terbuka Tahun Baru Cina yang dianjurkan oleh sebuah keluarga ahli NDP di Kampong Kuala Ungar, Tutong.
Juga turut menyampaikan ucap selamat Tahun Baru Cina kepada keluarga Awang Ah Ming ialah sdra Abdullah Bahjou, Pengerusi Jawatankuasa Menyusur Desa yang berusaha menyelaraskan majlis tersebut. Naib Presiden NDP Tutong, sdra Haji Hanafi bin Hj Mohd Daud serta Timbalan Presiden NDP, Malai Hassan Othman juga mengambil kesempatan untuk menyampaikan ucap selamat kepada keluarga NDp yang berbangsa Dusun Cina tersebut.
Acara sambutan rumah terbuka yang diadakan pada pagi hari Isnin kelmarin sangat meriah dengan dihadiri oleh bebreapa ahli-ahli Majlis tertinggi NDP ahli-ahli dari Belait, Brunei-Muara dan Tutong serta sahabat handai dan ahli-ahli keluarga di Kampong Kuala Ungar.