BELAIT 09 FEBRUARI 2010 - PIHAK-PIHAK berkuasa termasuk Jabatan Daerah Belait telah mengambil langkah segera untuk memperbaiki sistem saliran di kawasan Kampong Sungai Teraban dan persekitarannya yang telah lama terabai hingga menyebabkan masalah banjir setiap kali hujan lebat melanda dikawasan Kuala Belait.
|

Tidak terdapat tembok disepanjang pantai Teraban
|

Tembok dibina disepanjang pantai Panaga
|
Aspirasi NDP dimaklumkan mengenai perkembangan terbaru itu oleh Badan Perhubungan NDP Belait yang telah bertindak meninjau kawasan tersebut pada Januari bulan lepas berikutan aduan Ahli Majlis Eksekutif Ranting dan seterusnya menyediakan laporan untuk dihadapkan kepada pihak-pihak berkenaan di Belait.
Laporan telah diterima oleh Jabatan Daerah dan menurut Pegawai Daerah Belait tindakan segera akan diambil untuk menangani masalah tersebut, jelas sdra Sulaiman Metrasad, Naib Presiden NDP Belait merangkap Ketua Perhubungan NDP Belait.
Kami juga telah membuat pemantauan dan mengambil maklum kerja-kerja awal telah dilaksanakan sebaik pihak-pihak tertentu menerima laporan kami, tambah beliau sambil mengucapkan terima kasih kepada pihak-pihak tertentu atas perhatian yang diberikan.
Menurut sdra Sulaiman tinjauan mereka pada 19 Januari lepas mendapati sistem saliran di kawasan-kawasan Kampong Sungai Teraban kurang pemeliharaan hingga menyebabkan kawasan-kawasan dipersekitaran terutama kawasan-kawasan rendah mudah dilanda banjir setiap kali hujan lebat melanda.
Beberapa batang longkang besar dan sungai-sungai kecil dan yang merupakan antara komponen penting dalam sistem saliran di Teraban dipenuhi rumput rampai, hakisan tanah dan batang-batang kayu dan ini menjejaskan kelancaran sistem saliran.
Kita yakin inilah punca memburukkan keadaan dikawasan-kawasan Teraban yang mudah ditenggelami banjir memandangkan kedudukkannya berdekatan sungai dan laut, jelas sdra Sulaiman sambil menambah tinjauan mereka juga mendapati perlunya pihak kerajaan membina tembuk disepanjang pantai di Teraban seperti juga yang telah dibina disepanjang pantai Seria, Panaga dan Kuala Belait.
Oleh disebabkan ketidaaan tembuk, masalah hakisan pantai sangat membimbangkan dikawasan tersebut. Tidak heran jika wilayah Brunei di Teraban semakin mengecil, tambah beliau.
"Kita tidak pasti apa sebabnya masalah ini termasuk masalah kurang pemeliharaan berlaku...apakah pihak-pihak tertentu terlepas pandang kerana Kampong Sungai Teraban terpencil atau berpunca kurang peruntukkan...wallahu waalam. Namun demikian kita mengalu-alukan langkah pihak-pihak tertentu untuk menangani masalah yang telah lama tidak diberikan perhatian sewajarnya itu", tegas sdra Sulaiman.
Sementara itu sdra Sulaiman menjelaskan rombongan Badan Perhubungan NDP Belait juga semasa lawatan (yang merupakan program Badan perhubungan Belaiat melaksanakan pemantauan keatas kesejahteraan masyarakat dan alam sekitar) meninjau rumah kediaman Awang Bohari bin Suntai yang telah mengalami kerosakkan setiap kali banjir melanda dikawasan tersebut.
Menurut laporan Badan Perhubungan Belait masalah yang dihadapi oleh Awang Bohari bukan baru tetapi berlaku sejak beberapa tahun lalu setiap kali hujan lebat melanda dan banjir kilat berlaku.
Pihak-pihak berkenaan mengetahui masalah yang dihadapi oleh Awang Bohari dan keluarga tetapi nampaknya belum lagi menemui formual terbaik untuk membantu Awang Bohari menikmati kehidupan yang lebih selesa.
Begitu juga dengan masalah yang dihadapi oleh Awang Metamit bin Md Yusuf dan isteri, kedua-dua warga emas yang tinggal di Lumut dan bergantuing hidup dengan gaji tua sahaja.
Dalam tinjauan Badan Perhubungan Belait ke rumah Awang Metamit didapati masalah rumah beliau yang teruk diserang anai-anai belum lagi dapat diselesaikan walaupun beliau sudah mengadukan masalah tersebut kepada pihak-pihak tertentu dengan harapan mendapatkan bantuan memperbaiki kerosakkan-kerosakkan yang dialami.

Rumah Awang Metamit
|
|
|
NDP berharap pihak-pihak berkenaan akan mengambil tindakan segera membantu Awang Metamit dan isteri untuk menikmati kehidupan yang lebih selesa dan sejahtera, ujar sdra Sulaiman Metrasad sambil menambah laporan mengenai perkara itu juga sudah dihadapkan kepada pihak-pihak tertentu untuk tindakan segera.