LIMBARUH HIJAU 3 FEB 2010 - TAHAP toleransi beragama di Brunei sebagai sebuah negara Islam mendapat sanjungan tinggi dari dua pegawai Amerika yang telah membuat kunjungan singkat ke negara ini pada Isnin kelmarin.
Dr. Quinn Mecham, seorang cendikiawan bidang konflik sivik dan politik Islam yang bertugas di Jabatan Setiausaha Negara AS dan Mark Carlson dari Pejabat Kebebasan Beragama Antarabangsa malah bersetuju bahawa Brunei yang mempunyai reputasi sebagai sebuah masyarakat yang berfikiran terbuka, boleh memainkan peranan yang lebih besar mempromosikan toleransi beragama di rantau ini.
Pandangan ini mereka kongsikan di sidang akhbar setelah membuat perjumpaan makan tengah hari dengan pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan serta perjumpaan dengan Setiuasaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Disebelah paginya mereka bersama rombongan Parti Pembangunan Bangsa (NDP) membuat kunjungan singkat ke Temburong.
Dalam kunjungan tersebut mereka juga berkesempatan bermuzakarah dengan sdra Serudin Pungut, Ketua Biro Hal Ehwal Non-Muslim NDP dan sdra Gelawat, Ketua Biro Pertanian dan Industri Asas Tani NDP yang juga merupakan seorang ahli kanan jawatankuasa pengamal agama Protestant di Temburong. Juga turut serta di sesi perbincangan tersebut sdra Dawat, pengurus balai ibadat Kristian di Selapun, Temburong.
Sesi muzakarah, yang juga turut dihadiri oleh Malai Hassan Othman, Timbalan Presiden NDP, sdra Haji Juned Ramli, Setiausaha Agung NDP, sdra Haji Zaini Bakar, Naib Presiden NDP Temburong, Haji Mohiddin DP Pengarah Haji Othman, Naib Presiden NDP Brunei-Muara, sdra Mantar Perayam, Ketua Biro Hubungan Antara Kaum, Ak Sahrilan Pg Ahmad, Ketua Pemuda NDP, serta beberapa ahli-ahli Majlis Tertinggi serta ahli-ahli biasa NDP Brunei-Muara dan Temburong dan bukan ahli, berlangsung di rumah sdra Gelawat di Kampong Ngalang, Temburong.
Berikutan kunjungan mereka ke Temburong dan perjumpaan-perjumpaan tersebut kedua-dua pegawai AS tersebut yakin Brunei dan Amerika Syarikat boleh menjalin kerjasama dalam usaha mempromosikan dailog antara anutan di rantau Asia Timur ini.
Lawatan singkat mereka ke Brunei, menurut pegawai-pegawai AS tersebut, telah memberikan mereka peluang untuk mempelajari lebih dekat lagi bagaimana pegawai-pegawai agama berperanan bagi kepentingan masyarakat.
Ini berbeza di Amerika, kata mereka, dimana tugas kerajaan dan tugas keugamaan dipisahkan sesuai dengan konsep pemisahan antara gereja dan negara.
Di Amerika, menurut Dr Quinn, kesedaran semakin meningkat terhadap peranan penting dan pengaruh pelaku-pelaku golongan ugama dalam pembagunan sesebuah masyarakat.
"Justeru kami sangat teruja melihat sendiri bagaimana ianya dilaksanakan di Brunei", tegasnya lagi.
Sementara itu tahun lepas Kerajaan AS telah menyiarkan dalam laporan tahunannya mengenai kebebasan berugama di negara-negara dunia termasuk Brunei.
Dalam laporan tersebut gambaran tentang kebebasan beragama di Brunei kurang menyenangkan. Tetapi setelah meninjau sendiri keadaan sebenar di Brunei, kedua-dua pegawai AS tersebut bersetuju ianya tidak seperti yang pernah dilaporkan.
Menyentuh mengenai laporan tahunan Amerika berhubung kebebasan beragama di negara-negara seluruh dunia, Mark Carlson menjelaskan, "tujuan laporan mengenai kebebasan bergama dibuat semata-mata untuk mengenegahkan toleransi bergama dan kemajuan-kemajuan yang dicapai oleh sesebuah negara dari sudut pandang AS dan seterusnya mengongsikan laporan tersebut kepada dunia".
Katanya Amerika berusaha mengumpulkan maklumat dengan seluas mungkin dengan keupayaan yang ada dan mengakui ianya mungkin saja tidak sepenuhnya sempurna. Namun beliau menekankan laporan yang dibuat sangat komprehensif dan menjadi rujukkan para akademik yang membuat penganalisaan tentang isu kebebasan beragama di dunia.
Dalam hal ini, kata Mark Carlson, beliau melihat Brunei sebagai model yang sangat berpengaruh.
Pandangan Mark Carlson dikongsikan oleh Dr Quinn dengan menambah, "Pengaruh Brunei di rantau ini secara relatif lebih besar dari jumlah penduduknya yang kecil. Seperti apa yang kami dapati tahap toleransi beragama di Brunei sangat tinggi"
Mereka juga menekankan Brunei sebagai sebuah negara Islam mempunyai identiti yang unik dan mempunyai potensi untuk menyumbang kearah dailog antara anutan di rantau ini.
Sementara itu dalam perkembangan yang terdahulu, Dr Quinn dan Mark Carlson ketika bermuzakarah dengan NDP telah meluahkan rasa kagum dengan Perlembagaan NDP dan Manifesto Politik NDP yang jelas memberikan penekankan terhadap hal ehwal dan kepentingan Non-Muslim dan puak-puak etnik di Brunei.