Oleh AZMI HASSAN
TIDAK begitu menghairankan jika berlaku apa yang dipanggil perlumbaan senjata di rantau Asia Timur kerana Jepun, Korea Selatan, Taiwan amat mencurigai tingkah laku jiran mereka iaitu Korea Utara dan China.
Tokyo dengan bantuan Washington beberapa hari lepas berjaya menjalankan ujian pemusnahan peluru berpandu. Kejayaan ini membawa erti yang besar kerana perisai ala Star Wars yang sedang dibangunkan oleh Jepun untuk menghindar ancaman peluru berpandu Pyongyang sudah nampak kejayaannya
Begitu juga dengan rantau Asia Selatan, tidak pernah sunyi dengan perlumbaan senjata di antara India dan Pakistan kerana masing-masing ingin mendahului lawan dalam memperoleh aset ketenteraan yang canggih.
Keadaan yang berlaku di rantau ini tidak pelik kerana kedua-dua negara ini saling tidak mempercayai antara satu sama lain. New Delhi dan Islamabad setiap tahun tidak pernah gagal memperuntukan jumlah belanjawan yang besar bagi tujuan pertahanan mereka.
Tetapi apabila timbul desas-desus yang membuat andaian bahawa tingkah laku Malaysia mempermodenkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bakal menjerumus kepada situasi perlumbaan senjata di Asia Tenggara dikatakan agak janggal kerana Kuala Lumpur tidak seghairah sesetengah negara apabila berhadapan dengan perbelanjaan pertahanan.
Singapura umpamanya menyediakan peruntukan pertahanan yang agak lumayan sehingga mencapai enam peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Malaysia sebagai perbandingan hanya membelanjakan paling banyak tiga peratus KDNK untuk tujuan yang sama.
Tetapi dua perolehan aset ketenteraan yang dilakukan beberapa tahun kebelakangan ini mencuri perhatian kebanyakan negara. Perolehan dua kapal selam dari kelas Scorpene dan 18 jet pejuang Sukhoi Su-30 MKM agaknya dinilai sebagai keterlaluan berbanding dengan perbelanjaan pertahanan tahunan yang dilihat sebagai munasabah.
Walaupun kedua-dua aset tersebut tidaklah sehebat perolehan jet pejuang F-15 atau helikopter tempur Apache yang dilakukan oleh angkatan tentera Singapura (SAF), tetapi proses permodenan ATM tetap dipandang serong.
Cakap-cakap Malaysia sebagai pemangkin perlumbaan senjata di rantau Asia Tenggara disanggah oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Parlimen beberapa hari lalu.
Beliau menegaskan seiring dengan kemajuan ekonomi, maka sistem pertahanan juga perlu mencapai status pembangunan yang sama. Ini membawa maksud bahawa pemodenan ATM dilaksanakan mengikut kemampuan kewangan negara. Najib selaku Menteri Pertahanan berkata: “Namun pembelian ini tidak akan sampai ke peringkat yang boleh mencetuskan satu perlumbaan senjata di rantau ini.”
Malah semasa pertemuan Najib dengan Menteri Pertahanan Indonesia Juwono Sudarsono di Mesyuarat Jawatankuasa Am Sempadan (GBC) Malaysia Indonesia (Malindo) Ke-36 pada 14 Disember lepas, timbul kemusykilan di kalangan wartawan bahawa sedang berlakunya perlumbaan senjata di antara Malaysia dan Indonesia.
“Tidak betul, mana ada perlumbaan senjata. Semuanya adalah proses modenisasi dan itu perkara biasa. Ia bukan satu yang sepatutnya ditafsirkan sebagai perlumbaan senjata,” tegas Najib. Khabar angin ini diperkuatkan lagi dengan perjanjian pembelian senjata di antara Indonesia dan Rusia yang bernilai sehingga AS$1 bilion.
Sukar untuk ditentukan dengan sahih bahawa sedang berlaku perlumbaan senjata di Asia Tenggara kerana perolehan aset yang dilakukan dikatakan sebagai tidak melampau.
Angkatan
Malaysia, Singapura, Indonesia dan Thailand dilihat sebagai antara negara Asia Tenggara yang begitu rancak dengan proses memodenkan angkatan tentera masing-masing.
Ramai penganalisis membuat andaian bahawa kerancakan aktiviti ini disebabkan keghairahan keempat-empat negara tersebut membuat perolehan aset ketenteraan yang tidak dapat dinafikan didahului oleh Singapura.
Apa tidaknya, Singapura telah memiliki segala-galanya daripada peluru berpandu sehinggalah ke jet pejuang jauh di hadapan negara Asia Tenggara yang lain.
Tetapi apa yang berlaku di sekeliling Asia Tenggara lebih banyak mempengaruhi proses pemodenan angkatan tentera, iaitu perlumbaan senjata di antara keempat-empat negara tersebut akan menjadi rancak bergantung kepada apa yang berlaku di sekelilingnya.
Malaysia umpamanya membuat perolehan jet pejuang Sukhoi tidak ada kena-mengena dengan SAF yang mempunyai sejumlah besar F-15 dan F-16. Begitu juga peruntukan pembelian senjata yang besar oleh Indonesia tidak ada kena-mengena dengan perbelanjaan pertahanan Singapura atau Malaysia.
India yang akan membelanjakan sehingga AS$40 bilion untuk perolehan aset ketenteraan dalam jangka masa lima tahun akan datang bakal memberi cabaran kepada negara Asia Tenggara. Begitu juga kerjasama bantuan teknologi nuklear di antara New Delhi dan Washington sudah tentu mewarnai strategi pertahanan rantau Asia Tenggara.
China sebagai kuasa besar Asia yang mempunyai pengaruh terhadap kebanyakan negara di Asia Tenggara, juga perlu diawasi setiap tindak-tanduknya. Walaupun tidak diketahui jumlah sebenar peruntukan pertahanan yang disediakan oleh Beijing, penambahan hampir 18 peratus tahun ini sudah cukup sebagai isyarat amaran kepada negara berdekatan.
Tidak dapat dinafikan sememangnya sedang berlaku perlumbaan senjata di kalangan negara Asia Tenggara, tetapi proses yang berlaku dikatakan agak tertib dan tersirat.
Tetapi apa yang penting ialah fenomena tersebut berlaku bukan kerana aset pertahanan negara jiran tetapi kerana tingkah laku kuasa besar Asia yang berdekatan seperti India, China dan juga Amerika Syarikat.
Mengapa disifatkan berlakunya perlumbaan senjata yang tertib adalah kerana Beijing dan Washington telah belajar melalui kesilapan lampau yang dilakukan. Beijing cuba berbaik-baik dengan negara Asia Tenggara, di samping itu memperkemaskan angkatan tentera mereka dengan begitu hebat sekali.
Masalah tuntutan bertindih Kepulauan Spratly umpamanya mempamerkan bagaimana kekuatan tentera China (PLA) memberi kelebihan kepada Beijing. Sementara Washington pula memperluaskan pengaruh melalui negara proksi.
Kekuatan aset ATM membolehkan Malaysia menganggap tiga pulau terumbu Spratly sebagai wilayah berdaulat Malaysia iaitu Terumbu Ubi (Ardasier Reef), Terumbu Mantanani (Maruiveles Reef) dan Terumbu Layang-Layang (Swallow Reef).
Selain daripada ketiga-tiga terumbu ini, dua lagi terumbu yang diduduki oleh tentera Malaysia yang bakal menimbulkan masalah ialah Terumbu Siput (Erica Reef) dan Terumbu Peninjau (Invertigator Reef).
Walaupun rantau Asia Tenggara kelihatan mustahil akan berlakunya konflik, tetapi perlu diingat campur tangan kuasa besar secara tersurat atau tersirat untuk memperluaskan pengaruh mereka bakal menyusahkan rantau ini. (DIPETIK DARI UTUSAN MALAYSIA)
* Prof. Madya Dr. Azmi Hassan ialah Pengarah Pusat Dasar Teknologi & Kajian Antarabangsa (CENTEPIS), Universiti Teknologi Malaysia (UTM).