BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 6 Disember. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah, Islam mahukan umatnya supaya berada paling ke depan untuk menjana perubahan.
Menurut titah baginda, ia sebagaimana Al-Qur'an menyebutnya dalam Surah Al-Waqi'ah Ayat 10: mengenai orang-orang berjaya dalam perlumbaan untuk kebaikan di dunia, sekaligus akan berjaya pula menjadi pendahulu bagi menerima ganjaran di akhirat.
"Inilah cara kita berlumba melakukan perubahan demi perubahan,"
"Misalnya cara kita berubah dalam ekonomi: bulan ini kita cuma menabung $5.00 sahaja, tetapi pada bulan hadapan - kita berubah - mampu menabung sebanyak $10.00, bukan dari $5.00 turun kepada $2.00," titah baginda Sempena Menyambut Tahun Baru Hijriah 1432 yang disiarkan secara langsung ke seluruh negara malam ini melalui Radio dan Televisyen Brunei.
Jelas titah baginda, begitulah dalam lain-lain perkara, khasnya dalam kehidupan beragama, kita adalah dituntut untuk melakukan perubahan-perubahan yang meningkat, bukan menurun, dalam makna, menambahkan amalan, bukan mengurangkannya.
Baginda bertitah menegaskan, inilah antara rahsia dan tujuan hijrah itu, untuk melahirkan perubahan-perubahan besar, bukannya sekadar perubahan biasa.
Terdahulu baginda bertitah, Hijrah turut membawa perubahan, sedang perubahan pula tiada penghujungnya.
"Hari ini kita berubah dan esok juga masih mahu berubah. Bahkan sampai bila-bila pun, kita tetap ingin berubah," tegas titah baginda.
Tambah titah baginda, inilah dia naluri terhadap perubahan itu, pendeknya, perubahan adalah daya tarikan yang luar biasa.
Namun kita orang-orang Islam tegas titah baginda bukan setakat ingin berubah, tetapi perubahan itu hendaklah kepada 'yang lebih baik'.
Baginda bertitah menekankan, inilah dasar yang kita pakai, bukan asal berubah semata-mata, tetapi perubahan itu perlu bermatlamatkan kepada yang lebih baik.
Ugama Islam titah baginda memang mendorong kepada perubahan dan ia tidak mahu kita menunggu perubahan, tetapi menggalakkan untuk berlumba merebut perubahan.
Fahami, hayati konsep hijrah
Baginda Sultan dalam titah yang sama juga menekankan oerlunya Umat Islam memahami dan menghayati konsep hijrah supaya sambutannya dapat dilihat sebagai mempunyai matlamat besar untuk membawa ummah kepada perubahan-perubahan lebih bermakna.
Baginda juga menyarankan, jika kita mahu lebih jelas lagi, sejarah boleh dirujuk mengenai apa sebenarnya yang terjadi, dan apa pula perkara yang dapat diperolehi daripadanya.
Hijrah adalah pengorbanan hebat, kerana orang yang berhijrah itu meninggalkan segala-galanya termasuk keluarga, harta benda dan tempat tumpah darah, namun jelas titah baginda mereka tidak kisah, demi untuk mencapai tujuan teragung hijrah.
"Apa dia tujuan teragung hijrah? Iaitulah untuk menyelamatkan akidah dan menyibarkan Islam, sebagaimana yang dituntut oleh Allah," tegas titah baginda.
Sekarang tambah titah baginda, kita wajib bersyukur kerana kedua-duanya, akidah dan ugama Islam, telahpun menjadi milik kita.
Namun tegas titah baginda, tanggungjawab kita belum berakhir untuk terus memelihara dan melaksanakannya.
Baginda bertitah menjelaskan, andainya kita merasa masih kurang, atau masih lemah dalam pelaksanaan dan pemeliharaan ini, lalu kemudian kita bangun memperlengkapkannya, maka inilah dia perubahan yang sebenar-benarnya dituntut, yang menepati konsep hijrah.
Pada kesempatan itu baginda berserta keluarga dengan sukacita dan tulus ikhlas juga mengucapkan selamat menyambut dan memasuki Tahun Baru Hijriah 1432.
Baginda berharap, semoga di sepanjang tahun ini, kita akan menjalani kehidupan berugama yang lebih telus, demi mengharapkan reda Allah Subhanahu Wata'ala. (Gambar dan teks ehsan Pelita Brunei)
|