BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 31 Disember. - Pada menjunjung titah perintah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien,Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, dengan ini Kementerian Kewangan sukacita memaklumkan bahawa baginda telah memperkenan Perintah Perlindungan Deposit 2010 yang akan mula berkuat kuasa pada 1 Januari 2011.
Menurut Siaran Akhbar Kementerian Kewangan, Perintah Perlindungan Deposit 2010 antara lain memperuntukkan bagi pengenalan dan pelaksanaan satu skim perlindungan deposit, penubuhan Perbadanan Perlindungan Deposit Brunei Darussalam yakni Brunei Darussalam Deposit Protection Corporation, tugas-tugasnya dan bagi perkara-perkara yang berhubung kait dengannya.
Perbadanan Perlindungan Deposit Brunei Darussalam jelas siaran itu,adalah sebuah badan korporat yang melaksanakan skim perlindungan deposit yang akan memberi perlindungan kepada pendeposit-pendeposit bagi deposit-deposit ahli institusi-institusi sehingga maksimum BND50,000 yang disimpan dengan ahli institusi-institusi sekiranya mereka tidak berupaya memenuhi liabiliti-liabiliti deposit mereka. Skim tersebut adalah selaras dengan amalan terbaik antarabangsa dan sudah pun diperkenalkan di beberapa buah negara.
Apabila Perintah Perlindungan Deposit 2010 mula berkuat kuasa kata siaran itu, semua bank-bank dan syarikat-syarikat kewangan (Islam dan konvensional) yang berlesen di Negara Brunei Darussalam adalah diwajibkan untuk menjadi ahli institusi-institusi. Skim perlindungan deposit itu berfungsi sebagai tambahan kepada jaringan keselamatan kewangan yang sedia ada pada masa ini. (Ehsan Pelita Brunei) |