BALI, REPUBLIK INDONESIA, Khamis, 9 Disember. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah menekankan bahawa keamanan dan kestabilan adalah merupakan satu nilai yang dihargai yang mana diperkembangkan di Negara Brunei Darussalam melalui langkah-langkah keci dan dirancang dengan teliti.
Menurut baginda, kejayaan keamanan dan kestabilan di Negara Brunei Darussalam dinilai dengan dua cara. Pertama, bagaimana ianya dapat meningkatkan keupayaan rakyat Brunei dalam mencapai impian kehidupan mereka, dan kedua, bagaimana ianya dapat membantu rakyat untuk lebih bertanggungjawab dalam membuat keputusan dan pilihan masing-masing.
Bertitah di Forum Demokrasi Bali (BDF) Ke-3 yang dilangsungkan di Westin Resort Nusa Dua Bali di sini hari ini, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menekankan bahawa keamanan dan kestabilan perlulah datang dari rakyat sendiri.
Baginda menambah titah dengan menekankan tugas kerajaan pula ialah untuk membantu rakyatnya dalam meningkatkan keupayaan mereka untuk mengatasi cabaran-cabaran dan masalah-masalah yang dihadapi.
"Dengan mengambil sasaran-sasaran yang sebenar sebagaimana yang digariskan dalam rancangan sosial jangka pendek dan panjang, Negara Brunei Darussalam telah dapat melihat kemajuan dalam pelbagai bidang termasuk penjagaan kesihatan yang menyeluruh, pendidikan dan peningkatan peluang-peluang bagi wanita serta pekerjaan," titah baginda penuh yakin.
Dalam hubungan ini, Kebawah Duli Yang Maha Mulia melahirkan kegembiraan baginda terhadap pendekatan sama yang mana telah diambil oleh pertubuhan-pertubuhan serantau dan antarabangsa.
Sebagai contoh, titah baginda lagi, dengan menyatakan Matlamat Pembangunan ASEAN telah disasarkan bagi dekad yang akan datang dan perhatian yang lebih sedang diberikan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dalam mencapai Matlamat Pembangunan Milenium (MDG).
Begitu juga, baginda melihat bahawa Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) telah menumpukan perhatian dalam melaksanakan program-program sosial, kebudayaan, ekonomi dan tindakan teknologi bagi rakyat penduduk OIC.
Selain itu, titah baginda lagi, Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) bergerak dengan Pertubuhan Negara-Negara Komanwel dalam usaha-usaha berterusan bagi membawa pembangunan kepada masyarakat dunia di Selatan.
"Sememangnya, seperti yang beta katakan, masih banyak permasalahan-permasalahan dan juga perkara-perkara yang negatif. Namun demikian, terutama sekali di rantau kita, beta melihat satu keyakinan baru," titah baginda lagi.
Baginda selanjutnya menyatakan faedah besar sebagai negara kecil yang mempunyai banyak batasan ialah perhubungan yang rapat di kalangan rakyat Brunei.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia menyatakan tentang permintaan yang sering dibuat oleh rakyat Brunei ialah bagi kerajaan untuk membantu mereka dalam memperkasakan jati diri masing-masing dan keupayaan untuk menjalani kehidupan moden dengan baik dan mendapat manfaat dari peluang-peluang yang ada.
Kesemua ini, titah baginda akan dapat dicapai dalam peringkat tertinggi pendidikan dan kesihatan serta apabila menghadapi cabaran-cabaran mendadak di abad ini dalam alam sekitar, keselamatan, tenaga dan biodiversiti.
Dalam mencapai matlamat-matlamat tersebut, titah baginda, Kerajaan Negara Brunei Darussalam mempunyai sumber tenaga yang lebih berdaya tahan dari minyak dan gas dan ianya adalah merupakan keazaman kolektif rakyat Brunei.
"Tetapi dalam usaha mencapai kesemua matlamat-matlamat berkenaan, Kerajaan Negara Brunei Darussalam sedia mempunyai sumber tenaga yang lebih berdaya tahan dari minyak dan gas," titah baginda.
Selepas perdebatan umum, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berangkat menghadiri Majlis Makan Tengah Hari yang telah diberikan oleh Presiden Republik Indonesia, Tuan Yang Terutama Dr. Haji Susilo Bambang Yudohoyono.
Forum Demokrasi Bali selama dua hari itu dipengerusikan bersama oleh Presiden Republik Indonesia, TYT Dr. Haji Susilo Bambang Yudhoyono dan Presiden Republik Korea, Tuan Yang Terutama Lee Myung-Bak.
Bertemakan "Demokrasi dan Promosi Keamanan dan Kestabilan" forum tahunan itu dihadiri oleh 71 buah negara yang mewakili ketua-ketua negara/kerajaan, 18 orang menteri termasuk pemerhati. |