LIMBARUH HIJAU 1 DISEMBER 2007 - PRESIDEN DAN AHLI-AHLI PARTI PEMBANGUNAN BANGSA (NDP) pagi ini akan berkumpul di perkarangan Limbaruh Hijau, markas pusat NDP di Jerudong untuk memperingati hari ulang tahun ke 2 berkibarnya 'Sang Setia' di bumi Brunei sebagai lambang kesetiaan warga NDP kepada raja, bangsa dan negara.
'Sang Setia yang diperkenalkan 2 tahun lalu juga merupakan simbol kesediaan, keikhlasan warga NDP, dan simbol tekad warga NDP yang bulat untuk bersama-sama sebagai ‘rakan strategik’ kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, dalam usaha baginda memastikan Negara Brunei sentiasa menjadi negara Melayu Islam Beraja, yang merdeka dan berdaulat, yang demokratik, aman dan makmur dan sentiasa mendapat keampunan Allah jua.
Sang Setia juga adalah simbol kecintaan Partai Pembangunan Bangsa dan warga nya kepada keharmonian dan kedamaian sejagat sesuai dengan visi, misi dan objektif utama parti.
Sang Setia digemilangkan sebagai bendera rasmi NDP di majlis pengibaran bendera pada 29hb Syawal 1426 bersamaan dengan 1hb Disember 2005 yang berlangsung di perkarangan Limbaruh Hijau, Markas NDP di Jerudong.
Majlis tersebut telah dihadiri oleh lebih 400 ahli-ahli NDP, para jemputan dan tetamu-tetamu yang termasuk perwakilan dari Kedutaan-Kedutaan dan Pesuruhjaya-Pesuruhjaya Negara Luar di Brunei.
Juga turut memberikan penghormatan dan sokongan moral kepada NDP ialah Yang Amat Mulia Pengiran Kerma Negara Pengiran Anak Haji Abdul Wahab bin Pengiran Anak Sabtu Kamaluddin yang diundang khas sebagai tetamu kehormat di majlis tersebut yang diselajurkan dengan perasmian pembukaan Limbaruh Hijau sebagai Ibu Pejabat Rasmi NDP. Yang Amat Mulia diberikan penghormatan membuka rasmi ibu pejabat NDP.
 |
‘Sang Setia’ yang berlatar belakangkan warna hijau pucuk pisang adalah simbol kecintaan NDP dan seluruh anggota-anggotanya kepada keharmonian, keamanan dan kedamaian sejagat sesuai dengan visi, misi dan objektif utama Parti.
Garis kuning yang mengelilingi bendera melambangkan ketulusan dan keikhlasan Parti Pembangunan dan anggota-anggotanya mendukung konsep Ketuanan Kesultanan Melayu Brunei. Dan tanpa berbelah bahagi NDP dan anggota-anggota nya Akan terus menyokong Kerajaan KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan usaha-usaha Baginda untuk membangun negara dan membina keutuhan bangsa.
|
Logo dalam bendera merupakan tulisan jawi bentuk khat dari huruf-huruf pada perkataan ‘Parti’ dan perkataan ‘Pembangunan’ (Fa Fa) yang terletak di tengah Sang Setia. Tulisan jawi bentuk khat pula dibentuk seperti setitik minyak.
Ia adalah menjadi simbol kepada sumber pembangunan negara. Latarbelakang bulatan hijau pucuk pisang pula menjadi simbol kecintaan NDP dan seluruh anggota-anggotanya kepada keharmonian, keamanan dan kedamaian sejagat sesuai dengan visi, misi dan objektif utama Parti.
Sama seperti garisan kuning pada bendera, bulatan kuning disekeliling latar berwarna hijau pucuk pisang juga menjadi simbol kepada tekad kita yang bulat dan tulus ikhlas mendukung konsep Ketuanan Kesultanan Melayu Brunei tanpa berbelah bahagi menyokong Kerajaan KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan usaha-usaha Baginda untuk membangun negara dan membina keutuhan bangsa.