Ahli Majlis Tertinggi NDP, Saudara Awang Haji Ismail bin Kassim (NDP.1911) memulakan pembentangan usul:
1. Usul Mengenai Dasar Pembruneian Shell
Menginsafi bahawa Parti Pembangunan Bangsa (NDP) sebagai organisasi siasah yang memikul tanggungjawab politik, ekonomi, keselamatan dan sosial bagi pembangunan negara dan bangsa;
Menginsafi bahawa perjanjian usahasama Kerajaan Kebawah DYMM Brunei Darussalam dan Syarikat Shell Brunei adalah suatu yang telah wujud dan termeterai sejak berpuluh-puluh tahun lampau, jauh sebelum Brunei mencapai kemerdekaan;
Menyedari bahawa industri minyak dan gas telah, sedang dan akan terus menjadi menyumbang utama kepada pendapatan, ekonomi negara dan Kerajaan Kebawah DYMM, maka sewajarnyalah pengurusan sumber dan industri petroleum di sesebuah negara selayaknya dikuasai dan ditentukan oleh negara itu sendiri;
Menyedari bahawa tenaga kerja dalam syarikat-syarikat usaha sama dengan Syarikat Shell Brunei wajar mengutamakan watan Brunei sejajar dengan Polisi Pembruneian 1984 dengan menikmati skim perkhidmatan dan pembangunan kerjaya bertaraf dunia seperti yang dinikmati oleh tenaga kerja dalam mana-mana syarikat petroleum multinasional;
Menginsafi bahawa Syarikat Shell Brunei meskipun sebuah entiti korporat tetapi harus juga memikul tanggungjawab sosial untuk mempastikan hak dan penglibatan rakyat Brunei dalam pengurusan syarikat adalah sentiasa terjamin dan diutamakan;
Menginsafi bahawa Kerajaan Kebawah DYMM mempunyai tanggungjawab dan peranan memikul amanah untuk mempastikan kejayaan Dasar Pembruneian Shell ini demi kesejahteraan negara;
1. Mengingati akan usul mengenai Dasar Pembruneian Syarikat Shell Brunei yang dilulus dan disahkan oleh Kongres Agung Tahunan (Penubuhan) Pertama Parti Pembangunan Bangsa (NDP) yang bersidang pada 1 - 2 Rabiulakhir 1427 bersamaan 29 - 30 April 2006;
2. Mengingati akan usul mengenai Dasar Pembruneian Syarikat Shell Brunei yang dilulus dan disahkan oleh Kongres Agung Tahunan Ke-3 Parti Pembangunan Bangsa (NDP) yang bersidang pada 16 - 18 Jamadil Akhir 1429 bersamaan 20 - 22 Jun 2008;
3. Mengesali bahawa masih terdapat pegawai eksekutif Syarikat Shell Brunei yang menamatkan perkhidmatan sebelum tempoh perkhidmatan mereka berakhir dan ada pula yang dipindahkan kebahagian yang kurang penting, sementara terdapat pula aliran pegawai ekspatriat yang memasuki dan mengambil tempat perkhidmatan yang sebelumnya diduduki oleh anak tempatan;
4. Maka dengan ini, Kongres Agung Tahunan Ke-5 Parti Pembangunan Bangsa (NDP) yang bersidang pada hari ini 05 Jun 2010 di Dewan Utama Bangunan Persekutuan Guru-Guru Melayu Brunei (PGGMB), Bandar Seri Begawan, mengambil maklum dan memperakui semula usul mengenai Dasar Pembruneian Syarikat Shell Brunei yang telah di luluskan dan disahkan oleh Kongres Agung Tahunan (Penubuhan) Pertama Parti Pembangunan Bangsa (NDP) yang bersidang pada 1 - 2 Rabiulakhir 1427 bersamaan 29-30 April 2006 di mana pada Kongres tersebut telah diambil persetujuan dan ketetapan mendesak Kerajaan Kebawah DYMM khususnya Unit Petroleum Jabatan Perdana Menteri dan Syarikat Shell Brunei agar mengambil langkah-langkah berkesan dan segera ke arah pelaksanaan Polisi Pembruneian 1984; dan bahawa Kongres Agung Tahunan Ke-4 ini juga mengambil maklum dan memperakui semula usul mengenai Dasar Pembruneian Syarikat Shell Brunei yang telah dilulus dan disahkan oleh Kongres Agung Tahunan Ke-3 Parti Pembangunan Bangsa (NDP) yang bersidang pada 16 - 18 Jamadilakhir 1429 bersamaan 20 - 22 Jun 2008 yang mengambil persetujuan dan ketetapan, serta menarik perhatian bahawa terdapat kes sebilangan pegawai eksekutif yang meletak jawatan, justeru Parti Pembangunan Bangsa (NDP) menggesa Unit Petroleum Jabatan Perdana Menteri supaya lebih telus dan terbuka mendedahkan kepada umum sebab-sebab mengapa berlakunya kes-kes perletakan jawatan tersebut sedangkan mereka berpotensi untuk dinaikkan ke jawatan yang lebih tinggi dan mempunyai kuasa eksekutif, dan seterusnya mendedahkan sebab-sebab sebilangan pegawai eksekutif yang telah dipindah atau ditukarkan ke posisi yang kurang penting; dan bahawa mencadangkan supaya semua perjanjian yang telah dimeterai antara pihak Kerajaan Kebawah DYMM dengan Syarikat Shell Brunei didedahkan kepada umum supaya rakyat dapat memberikan teguran, pandangan dan penilaian mengenainya sesuai dengan hasrat majoriti rakyat yang inginkan ketelusan di dalam semua urustadbir negara demi sama-sama menjaga kepentingan nasional; dan bahawa Kongres Agung Tahunan Ke-4 ini mengambil persetujuan dan ketetapan menggesa Kerajaan Kebawah DYMM supaya mengambil langkah-langkah konkrit untuk melaksanakan Dasar Pembruneian Shell sebagai satu langkah strategik yang mempunyai implikasi besar ke atas keselamatan dan pembangunan negara.
Maka dengan ini, Kongres Agung Tahunan ke-6 Parti Pembangunan Bangsa (NDP) yang bersidang di Dewan Serbaguna, Bangunan Persekutuan Pengakap Kebangsaan pada 28 Syaaban 1432H bersamaan 30 Julai 2011M, menerima dan mengesahkan Usul Mengenai Dasar Pembruneian Shell seperti di atas dengan sebulat suara. |