LUMUT, DAERAH BELAIT AHAD 14 MUHARRAM 1433 (11 DISEMBER 2011) - Badan Perhubungan Parti Pembangunan (NDP) Daerah Belait kelmarin telah mengadakan Sesi Muzakarah Bersama AJK Perhubungan dan Ranting-Ranting bagi tujuan merapatkan saf saf barisan ahli-ahli NDP di Belait yang berjumlah hampir lapan ratus orang.
Sesi muzakarah sehari suntuk berlangsung di Kelab rekreasi Lumut Liang di Mukim Lumut. Majlis dirasmikan oleh sdra Malai Hassan Othman, Timbalan Presiden merangkap Pemangku Presiden NDP yang telah diundang selaku tetamu kehormat.
Juga turut hadir menjayakan majlis tersebut sdra Haji Juned Ramli, Setiausaha Agong NDP, sdra Ahmad Timpus, Ketua Biro Tugas-Tugas Khas, Kajian Dasar dan Strategik serta Dk Nurul Azadah, Setiausaha Kerja NDP.
Turut diundang Pemangku Ketua Perhubungan Parti Pembangunan Tutong, sdra Haji Ismail Ibrahim, sdra Buah, Ketua Ranting Ukong 1 Tutong dan bebrapa ahli-ahli MER Ranting Tutong serta beberapa orang ahli-ahli baru yang terdiri dari bekas-bekas perajurit ABDB.
Sdra Haji Mohammad Ali Yusup, Pemangku Naib Presiden NDP Belait merangkap Ketua Perhubungan dalam ucapan alu-aluannya mengarisakn objektif sesi muzakarah kearah memantapkan lagi struktur organisasi, pengurusan dan pentadbiran Parti Pembangunan di Daerah Belait.
Beliau juga menekankan strategi NDP Belait untuk mengemaskini ranting-ranting yang masih kekal bergiat aktif manakalan menubuhkan semula beberapa ranting-ranting yang telah di bubarkan oleh Majlis Tertinggi disebabkan kegagalan untuk berfungsi seperti yang dikehendaki oleh Perlembagaan Parti dan Akta Pertubuhan NBD 2004.
Sementara itu tetamu kehormat, sdra Malai Hassan dimajlis tersebut merakamkan kegembiraan atas usaha gigih NDP Belait dan menambah agar sesi muzakarah tersebut akan dapat memperkukuh lagi semangat perpaduan, persefahaman, semangat setia kawan dan kerjasama demi kepentingan kemajuan NDP dan perjuangan parti untuk menjunjung titah membangun bangsa ke arah ‘negara baldatun thayyibatun wa rabbun ghaffur’.
Katanya, sejak beliau dan rakan-rakan dalam Majlis Tertinggi memeggang tampuk pimpinan hampir tiga tahun yang lalu, berbagai masalah dan cabaran yang telah dihadapi dan berjaya ditangani.
"Kita diserang dari kiri, kanan, atas dan bawah. Dari dalam dan dari luar. Alahmdullilah, berkat sabar dan kegigihan serta keikhlasan kita untuk meneruskan perjuangan ini dan untuk memelihara kemurnian dan kewibawaan parti, dan dengan rahmat Allah jua kita masih bertahan walaupun barangkali kita dilihat semakin menggecil dalam konteks jumlah ahli atau bilangan ranting".
Beliau menekankan, "kecil besarnya jumlah ahli atau bilangan ranting bukan ukuran total kekuatan NDP. Apa yang penting ialah semangat kita dan kegigihan serta ketahanan kita untuk meneruskan perjuangan bagi menyahut tuntutan berbangsa dan bernegara dengan berlandaskan ajaran Islam ini".
Beliau berharap semangat kental yang masih kekal hingga kehari ini akan seterusnya dapat disatu-padukan dan digemebling untuk memajukan lagi NDP di daerah Belait ini.
Untuk itu, tambahnya, pengurusan dan pentadbiran Badan Perhubungan perlu dikemaskinikan dan diperkukuh. Ranting-ranting mesti diperkukuhkan dan dipastikan berfungsi selaku wakil NDP dikawasan masing-masing dalam memberikan khidmat bakti kepada masyarakat dipersekitaran ranting tersebut.
"Dalam lain perkataan Badan Perhubungan dan Ranting-Ranting perlu meningkatkan lagi iltizam dan usaha kearah memajukan parti dan membawa NDP kepangkuan semua lapisan masyarakat di daerah ini", tegas beliau lagi.
"Ini kerana peranan dan fungsi Badan Perhubungan Daerah serta ranting-ranting amatlah penting dalam memastikan kejayaan NDP dan penerimaan masyarakat di peringkat akar umbi".
Bercakap mengenai penerimaan masyarakat ini, beliau menyentuh satu cadangan yang ditujukan kepada NDP melalui FB agar NDP bukan sahaja mesti bergerak sebagai pertubuhan politik tetapi mestilah bergiat sebagai ‘PENGASAS SUARA RAKYAT’.
Saranan ini, menurut beliau, sebenarnya mengambarkan bahawa NDP sudah dapat diterima oleh sebilangan besar rakyat Brunei sebagai PENYAMBUNG LIDAH RAKYAT dan apa yang sangat mengerunkan ialah harapan rakyat kepada NDP semakin meningkat dan menjulang tinggi.
"Persoalannya apakah NDP dan kita yang menjayakan perjuangan NDP ini mampu untuk memenuhi harapan yang setinggi gunung itu?"
Menurut beliau lagi, sebenarnya NDP tidak ada pilihan selain untuk meneruskan perjuangan dan melaksanakan tanggunjawab politiknya kepada bangsa dan negara yang sangat sangat mengharapkan kepada NDP selaku permbela masa depan bangsa dan negara.
"Saya seorang diri tidak akan mampu melaksanakan tuntutan bangsa dan negara yang sangat berat ini, tetapi insya Allah dengan sokongan dan kerjasama dari semua pihak, semuanya akan menjadi ringan dan boleh dilaksanakan dengan jayanya", ujar sdra Malai Hassan. |