LIMBARUH HIJAU 12 MUHARRAM 1433 (9 DISEMBER 2011) - KERAJAAN Negara Brunei Darussalam telah banyak memperkenalkan dasar-dasar dan program-program pembangunan ekonomi yang baru demi untuk mencapai matlamat memajukan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negara ini.
Antaranya ialah langkah kehadapan untuk mempelbagaikan struktur ekonominya dan mengubah keadaan ekonominya yang terlalu bergantung kepada sumber minyak.
Kerajaan telah melaksanakan tiga langkah termasuk meningkatkan pembaharuan terhadap sistem pentadbiran dan keefisienan kerajaan, membaiki iklim pelaburan, memansuhkan cukai syarikat dan menyusun semula dasar tanah agar menarik pelaburan asing. Dan ketiga, mengembangkan pendidikan vokasional dan menarik tenaga profesional dari luar negara.
Pada Januari 2008, pihak berkuasa Brunei memulakan projek "Wawasan 2035". Menurut rancangan tersebut, Brunei akan berusaha mempelbagaikan struktur ekonominya supaya jumlah pendapatan tahunan purata di negara ini termasuk dalam senarai 10 terbaik di dunia.
Bertolak dari sana, pihak kerajaan terus memberikan sokongan dan penekanan kepada pembangunan sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang menyumbang kira-kira 98 peratus pertumbuhan negara agar ia mampu menjana pembangunan berterusan mencapai Wawasan Negara 2035.
Sementara itu sejumlah BND742 juta telah diperuntukkan bagi tempoh 2007 - 2012 bagi perlaksanaan 42 projek dibawah program kemajuan perindustrian, komersial dan keusahawanan.
"Apakah semua projek ini akan dapat dilaksanakan dengan baiknya?. Kenapa hingga ke hari ini kita masih terdengar rintihan dan sungutan dari kalangan pengusaha tempatan terutama pengusaha Melayu kecil dan sederhana yang mengatakan mereka belum dapat menikmati sepenuhnya dasar pembangunan ekonomi negara tersebut?.
Kenapa dan mengapa? Dimana silapnya? Persoalan ini dilontarkan oleh sdra Malai Hassan Othman yang telah diundang untuk menyampaikan mukadimah sesi Sembang Petang yang diadakan di Amjung Syura Limbaruh Hijau Parti Pembangunan di Jerudong Rabu baru lalu.
Sesi Sembang Petang yang diadakan pada setiap hari Rabu kali ini membincangkan tajuk, 'Menjana Kemajuan PKS Dalam Perjalanan Menuju Wawasan 2035'. Ia dipengerusikan oleh sdra Ahmad Timpus, Ketua Biro Tugas-Tugas Khas, Kajian Dasar dan Strategik NDP.
Juga ikut serta menjayakan sdra Haji Mohammad Jefri Daud, Ketua Biro Kemajuan PKS NDP.
Peserta-pesertan mengambil maklum bahawa sudah banyak cadangan, rancangan serta program kerajaan yang dilaksanakan untuk memajukan pengusaha kecil dan sederhana (PKS) terutama dari kalangan pengusaha Melayu di negara ini sejak negara mencapai kemerdekaan 24 tahun yang lalu.
Hasilnya sejak bermulanya progam perkembanan PKS lebih dua dekad lalu, pengusaha Melayu rata-rata masih ditahap lemah. Walapun ada yang berjaya namun dapat dihitung dengan jari dan belum terdapat peniaga-peniaga dari kalangan orang Melayu yang bergelar 'tycoon' sejauh ini.
Paling banyak ialah pengusaha Melayu yang bergelar pengusha 'Ali Baba' dan nisbah antara bilangan yang berjaya dan yang muflis sangat ketara.
Hakikatnya PKS di Brunei sehingga kehari ini belum sepenuhnya dapat menepati matlamat negara mewujudkan PKS yang kuat yang boleh menjadi asas kukuh perkembangan ekonomi negara.
Tidak disangkalkan PKS telah menyumbangkan kira-kira 98 % kepada GDP (Keluaran Dalam Negeri Kasar) negara. Ia merupakan kumpulan penyumbang besar dalam menyediakan peluang-peluang pekerjaan di sektor swasta di negara ini. Dalam tempoh RKN 7 sejumlah 70 peratus pekerjaan di sektor swasta di sediakan oleh kumpulan PKS.
Tapi jangan mudah tersilap pandang oleh statistik ini! Penelitian mendalam akan jelas menunjukkan statistik yang diberikan tidak menunjukkan hakikat sebenar yang dihadapi dan juga tidak mengambarkan kepayahan dan cabaran yang dilalui oleh PKS di negara ini.
Dari hasil perbincangaan dapat dirumuskan antara sebab yang dikenalpasti ialah kos perniagaan yang tinggi, pergantungan sepenuhnya PKS kepada pekerja asing, persaingan yang meningkat di pasaran yang semakin terbuka, sistem delivery Perkhidmatan Awam yang kurang memuaskan dan proses birokrasi yang menghalang kemajuan PKS.
Selain itu PKS di negara ini juga masih menghadapi kesukaran mendapatkan kewangan dari institusi kewangan untuk memulakan atau mengembangmajukan perniagaan dan perusahaan mereka.
Di akhir sesi perbincangan peserta-peserta bersepakat agar pihak-pihak berkenaan melaksanakan sepenuhnya dalam kadar segera pembaikkan keatas sistem delivery Perkhidmatan Awam yang masih dihinggapi elemen-elemen kurang sehat dan counterproductive.
Mereka membuat rumusan jika ini tidak dilaksanakan perencenaan Kemajun Negara Jangka Panjang 2007-2017 untuk melaksanakan strategi mempertingkatkan peluang bagi PKS tempatan serta juga memudahkan rakyat Melayu Brunei untuk menjadi pemimpin dalam perniagaan dan industri dengan membangunkan lagi daya saing mereka tidak akan berjaya.
Di sesi tersebut juga ditekankan perlunya ada kerjasama antara 'players' yang terdiri dari sektor kerajaan selaku regulator, pemudahcara, pengawal selia, penyatu dan pembekal perkhidmatan-perkhidmatan; sektor swasta sebagai penggerak ekonomi dan organisasi siasah pula mewakili rakyat akar umbi sebagai pemantau dan “end user”.
Juga ditekankan pentingnya ada program pensejajaran yang melibatkan setiap kementerian dan jabatan bagi memastikan kesemua usaha dan tindakan setiap Kementerian dan Jabatan selaras dengan hasrat, wawasan dan aspirasi Negara termasuklah hasrat negara untuk melihat PKS di negara ini berdaya tahan dan berdaya saing.
|