LIMBARUH HIJAU 09 MUHARRAM 1433 (06 DISEMBER 2011) - PARTI PEMBANGUNAN BANGSA (NDP) telah menyaksikan banyak perubahan besar dalam dasar dan perlaksanaan kemajuan pembangunan bangsa dan negara sejak kelahiran Parti Pembangunan Bangsa (NDP) dipesada politik tanah air pada 31 Ogos 2005.
Perkara ini ditekankan oleh sdra Malai Hassan Othman, Timbalan Presiden merangkap Pemangku Presiden NDP dalam ucapannya di Majlis Penaikkan Bendera Sang Setia yang telah berlangsung diperkarangan Limbaruh Hijau pada 4 Muharram 1433 bersamaan 1 Disember 2011 yang baru lalu.
Katanya sejak NDP ditubuhkan banyak kemajuan dan perkembangan yang dilaksanakan oleh pihak Kerajaan selari dengan saranan-saranan yang telah diketengahkan NDP melalui manifesto politik 2006-2016 dan juga usul-usul yang telah diluluskan di kongres-kongres tahunan parti sejak 2006.
Beliau menekankan kenyataan tersebut tidak dapat dinafikan dan setiap ahli NDP terutama sekali barisan kepimpinan parti seharusnya berbangga kerana NDP dapat memainkan peranan dalam menyumbangkan buah fikiran dan cadangan-cadangan yang relevan yang mendatnagkan manfaat kepada bangsa dan negara.
"NDP telah dapat mengenegahkan semua usul-usul tersebut dengan pendekatan yang berhemah, bertata susila dan sentiasa berpegang kepada prinsip patuh kepada peraturan dan undang-undang negara yang relevan", ujar sdra Malai Hassan Othman.
Beliau seterusnya mengariskan beberapa perkembangan dibidang-bidang tertentu yang sehaluan dengan usul-usul NDP seperti berikut:.
Bidang Agama:
Usaha sedang dilaksanakan kearah memantapkan Baitul Mal dan perlaksana’an sistem pemungutan dan agihan zakat yang lebih efektif. Ini bertujuan bagi mempastikan mereka yang wajib mengeluarkan zakat akan melunaskannya tanpa gagal dan mereka yang berhak akan menerimanya mengikut lunas-lunas syarak.
Kewangan dan Pelaburan
Langakah-langkah telah diambil bagi mewujudkan satu dasar kewangan dan fiskal bagi memantapkan objektif dasar kewangan, dan untuk mengekalkan kestabilan kewangan dalam menggalakkan perkembangan sistem urusan bank dan pembiayaan yang baik termasuk kestabilan kadar pertukaran wang.
Selaras dengan usul NDP (Manifesto 2006- 2016) satu Perintah Autoriti Monetari Brunei Darussalam, 2010 telah berkuat kuasa pada 1 januari 2011 lepas.
Perintah tersebut, antara lain memperuntukkan bagi penubuhan Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD), Lembaga AMBD dan perkara-perkara yang berkaitan dengan matlamat, pengendalian pentadbiran, tugas-tugas, kuasa dan kewajipan-kewajipan AMBD yang termasuk hubungan AMBD dengan Kerajaan, hubungan AMBD dengan bank-bank dan institusi-institusi kewangan dan pindaan-pindaan berbangkit dan berkaitan ke atas undang-undang bertulis lain yang mengawal aktiviti-aktiviti yang diselia AMBD.
Selain itu AMBD juga akan berfungsi sebagai sebuah badan korporat dan bertindak sebagai bank pusat bagi negara brunei darussalam.
Dibidang Keselamatan Permakanan
Kita sedang menyaksikan perubahan besar dasar yang menjurus kearah menjamin pengeluaran bahan-bahan makanan terutama sekali makanan asas yang mencukupi, berkhasiat, bersih dan halal bagi menjamin kesihatan rakyat dan keperluan negara baik ketika aman mahupun ketika darurat.
Perumahan Rakyat
Sekarang waktu menunggu bagi pemohon mendapatkan rumah dibawah skim kemajuan perumahan negara semakin pendek berikutan langkah gigih kerajaan mempercepatkan pembinaan rumah-rumah rakyat.
Perniagaan dan Perusahaan
Perkembangan terkini menunjukkan jabatan Perdana Menteri melalui Jabatan Tenaga sedang mengambil langkah untuk mempastikan keadilan ekonomi wujud di sektor minyak dan gas. Tujuannya ialah untuk mempastikan semua pihak mendapat peluang yang saksama dalam memajukan kepentingan ekonomi masing-masing dan tidak ada pihak yang memperolehi bahagian yang melebihi daripada apa yang dinilai munasabah.
Jabatan Tenaga juga sedang mengambil langkah untuk mempastikan dasar pembruneianan di sektor minyak dan gas dilaksanakan dengan sebaiknya dan seterusnya mempastikan syarikat ‘Ali Baba’ tidak mendapat tempat dalam perlaksanaannya.
Dibidang Pendidikkan
Langkah-langkah telah diambil bagi menyediakan kemudahan sukan yang mencukupi di setiap sekolah di seluruh negara untuk menggalakkan kegiatan bersukan demi mewujudkan keseimbangan di antara kegiatan akademik dan ko kurikulum dan secara tidak langsung meningkatkan pertumbuhan fizikal dan mental di kalangan pelajar.
Usaha telah dibuat untuk membangun dan memperkembangkan kegiatan penyeledikkan (rResearch and Development) di Universiti Brunei Darussalam (UBD).
Pendemokrasian Keadilan
Perlaksanaan undang-undang syariah selaras dengan tuntutan NDP yang menyeru agar diwujudkan pendemokrasian keadilan di Negara Brunei Darussalam di mana rakyat Kebawah DYMM serta penduduk negara Brunei Darussalam yang beragama Islam diberikan hak mereka untuk diadili sepenuhnya secara saksama mengikut syariat Islam di dalam semua aspek perundangan, termasuk sivil, jenayah dan lain-lain,
Mewujudkan sistem keadilan sosial yang bersendikan keadilan Islam yang luas dan menyeluruh dan meliputi setiap bidang aktiviti dan jurusan kehidupan ummat manusia.
Kebajikan
Selaras dengan usul NDP Kerajaan telah menaikkan umur persaraan kepada 60 tahun di samping memberi pilihan untuk bersara secara sukarela (voluntary retirement) selepas umur 55 tahun.
Juga telah dinaikan ialah pencen khusus untuk warga emas dari BND 200 setiap seorang kepada BND 250.
Sementara itu usul berkaitan pencen tua ini diangkat lagi di Kongres-Kongres Tahunan dengan saranan agar di reviu kadar elaun pencen yang sedia ada sekarang dan dinaikkan kepada BND 450 sebulan. (Berikutan usul tersebut Skim Pencen Caruman Tambahan (PCT) telah diperkenalkan. Melalui skim ini semua peserta Skim PCT akan menerima bayaran pendapatan bulanan minimum sebanyak B$150 setelah mencapai umur persaraan mandatori iaitu genap umur 60 tahun. Skim ini menjamin bayaran sebanyak B$150 dan dicampur dengan bayaran Pencen Tua sebanyak B$250, para pesara akan menerima pendapatan bulanan minimum berjumlah keseluruhan sebanyak B$400)
Keadilan sosial
Selaras dengan usul NDP isu kemaiskinan yang dulunya (sebelum 2005) tidak begitu diberikan perhatian serious telah diangkat menjadi isu nasional dan usaha sedang dilaksanakan bagi mempastikan negara sifar miskin.
Pembangunan Sumberdaya Manusia
Selaras dengan cadangan Manifesto NDP dan usul-usul yang telah diangkat di kongres-kongres tahunan sejak 2006, tiga skim telah diperkenalkan - pertama ialah pembaikan ke atas skim latihan dan pekerjaan dengan memberikan insentif kewangan kepada anak-anak tempatan yang telah dilatih dengan kemahiran, asalkan mereka itu terus berkerja di sektor swasta.
Kedua, skim pembangunan keupayaan sumber tenaga di sektor swasta, iaitu berupa biasiswa untuk membolehkan anak-anak tempatan yang bekerja di sektor swasta melanjutkan pelajaran di dalam atau di luar negeri, bagi meningkatkan kelayakan dan kemahiran.
Ketiga, skim biasiswa dalam negeri bagi pendidikan teknikal dan vokasional di institusi pengajian swasta, khusus untuk penuntut-penuntut lepasan sekolah di peringkat ‘o’ atau ‘a’ yang layak, tetapi tidak mendapat peluang yang terhad untuk belajar di institusi-institusi teknikal dan vokasional kerajaan.
Belia dan Sukan
Selari dengan cadangan NDP kerajaan telah mengisytihar dan melancarkan hari belia bagi menghebahkan kejayaan para belia di negara ini.
Langkah telah diambil untuk menyediakan peluang dan latihan yang lebih luas dalam bidang teknikal dan kemahiran kepada lepasan sekolah menengah bagi mewujudkan pangkalan tenaga mahir yang ‘reliable’ tanpa terus bergantung kepada kemahiran tenaga kerja asing.
Juga selari dengan usul NDP pihak Kerajaan telah memperkenalkan satu skim Khidmat Negara untuk para belia demi memupuk semangat patriotik, nasionalisme dan sikap pemedulian rakyat bagi melahirkan warganegara yang berdisiplin.
Selain itu pihak kerajaan juga telah mengambil langkah untuk memajukan sekolah sukan negara dengan kemudahan sukan bertaraf dunia untuk membimbing kanak-kanak yang berpotensi dari kecil lagi dalam berbagai bidang sukan agar dapat mewakili negara dan bersaing dengan negara lain secara profesional di peringkat antarabangsa;
Wanita
Langkah-langkah juga sedang diteliti untuk menjamin hak wanita untuk menerima pembayaran gaji dan layanan yang setaraf dengan lelaki di dalam pekerjaan yang serupa. Menjamin hak wanita untuk menerima elaun cuti (leave allowances) yang setaraf dengan lelaki dan menjamin hak wanita untuk menerima elaun keluarga yang setaraf dengan lelaki.
Selain itu berikutan titah perintah KDYMM, langkah juga telah diambil untuk memanjangkan tempoh cuti bersalin dari 56 ke 100 hari dengan bergaji penuh bagi ibu bersalin.
Alam Sekitar
Selaras seperti apa yang telah di usulkan NDP, pihak kerajaan telah mengambil langkah untuk menggubal dan menguatkuasakan undang-undang yang mewajibkan perlaksanaan kajian kesan alam sekitar (environmental impact assesment) semasa di tahap cadangan (planning stage) apa-apa jua projek atau aktiviti yang akan mengubah bentuk mukabumi (shape of the terrain) dan atau merubah keadaan persekitaran, dan aktiviti yang berkaitan dengannya. ini untuk memastikan supaya isu-isu pelindungan alam sekitar dan kesihatan awam diberi pertimbangan sewajarnya dalam projek demikian dan yang paling utama ialah untuk menjamin generasi kini dan akan datang dapat terus menikmati khazanah alam sekitar dan kehidupan sihat.
KESIMPULAN
Kesimpulannya, ujar sdra Malai Hassan Othman, kehadiran NDP sepanjang tujuh tahun ini sedikit sebanyak telah dapat menyumbangkan idea dan cadangan-cadangan pembangunan yang bernas walaupun kenyataannya NDP tidak pernah diberikan credit.
"Untuk mendapatkan pengiktirafan atas semua cadangan dan idea yang diberikan bukalah matlamat NDP untuk beraksi dipesada politik tanah air", jelas sdra Malai Hassan Othman
"Apa yang penting, NDP telah dapat mengenegahkan semua usul-usul tersebut dengan pendekatan yang berhemah, bertata susila dan sentiasa berpegang kepada prinsip patuh kepada peraturan dan undang-undang negara yang relevan".
Namun beliau meluahkan kekesalan kerana masih terdapat dikalangan elit-elit pentadbir dan juga dikalangan masyarakat yang masih mencurigai kehadiran NDP.
"Dikesempatan ini saya ingin menegaskan bahawa NDP tidak mempunyai sebarang agenda tersembunyi jauh sekali bercita-cita untuk menjadi kerajaan menunggu".
"NDP tidak mengharapkan ganjaran kedudukkan dan imbuhan tetapi apa yang kita harapkan hanyalah kefahaman dan keperihatinan dari pihak-pihak berkepentingan agar NDP disantuni seperti juga mereka melayani pergerakkan-pergerakkan NGO yang lain".
Kita sebagai rakyat Brunei yang berpegang kepada falsafah negara Melayu Islam Beraja seharusnya mengamalkan sifat-sifat lemah-lembut, sopan santun, berbudi bahasa yang tinggi, berhemah, adil dan berehsan.
"Sifat-sifat mulia itu seharusnya menjadi teras kepada amalan kita dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab sama ada kita di pihak pemerintah yang berkuasa atau di pihak rakyat yang mempunyai suara", tegas beliau lagi.
Justeru, katanya, tidak sepatutnya wujud satu bentuk persaingan atau kecurigaan yang membawa kepada tindakan dan amalan yang boleh ditafsirkan sebagai menekan, menyekat, mengugut, menindas, mengekang dan menganiaya terhadap pihak yang lain.
"Perbezaan pendapat dan pendekatan akan tetap wujud dalam mana-mana masyarakat sekalipun, dan ini tidak seharusnya dilihat sebagai satu bentuk penentangan".
Dalam hubungan ini islam telah menggariskan kaedah penyelesaian sebarang konflik iaitu dengan berlaku adil dan berihsan, memberikan apa jua hak kepada mereka yang berhak serta sentiasa mematuhi anjuran allah melalui maksud ayat berikut: “apabila kamu berselisih pendapat dalam sesuatu perkara, kembalilah kepada allah dan rasulnya.” (an-nisa’, ayat 59)
Kepada pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli NDP beliau berseru agar meng elakkan persengketaan yang boleh membawa kepada perpecahan.
"Perjuangan kita belum selesai. Masih banyak lagi tugas dan tanggungjawab kita yang perlu dilaksanakan".
"Melihat perkembangan dunia masa kini, isu alam sekitar dan cuaca yang semakin membimbangkan, krisis ekonomi yang sedang melanda Amerika dan Eropah, pergolakkan politik yang berlaku di bumi Utara Afrika dan Dunia Arab , konflik Palestine-Israel yang tidak berkesudahan, membuatkan kita bertambah risau akan keadaan dunia ketika ini dan impaknya kepada keselamatan dan kesejahteraan negara kita yang kecil ini", kata sdra Malai Hassan.
"Dari itu kita perlu bergerak dengan lebih aktif lagi dan siap siaga mempertahankan keselamatan, keamanan dan kesejahteraan bangsa dan negara dari keadaan yang membimbangkan ini dan dari anasir-anasir jahat sama ada dari dalam atau dari luar negara yang cuba mengambil kesempatan dari pergolakkan dunia ini".
"Perpaduan dan hidup dalam suasana harmoni, merupakan satu satunya kekuatan dan menjadi jaminan mutlak bagi kejayaan yang ingin kita capai hingga ke akhir zaman", tegas beliau lagi.
"Dari itu marilah kita sama-sama tampil kehadapan dan berjuang atas landasan parti pembangunan bangsa dengan semangat perpaduan dan harmoni untuk mempertahankan dan memelihara kedaulatan negara, bangsa, agama dan raja yang kita cintai ini".
"Marilah kita bersatu dengan berpegang kepada moto, bersatu kita teguh bercerai kita roboh" tambah beliau dalam ucapan yang disampaikan di majlis tersebut. |