BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 17 Disember. -Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah, jalan untuk umat Islam keluar dari tengkarah dan pelbagai krisis adalah melalui 'jalan taubat'.
Baginda bertitah menjelaskan, jika perpecahan itu dianggap satu dosa, maka umat Islam, tidak boleh tidak, mestilah bertaubat (rujuk kepada Allah) dengan bersatu.
"Begitu juga, kalau maksiat seperti yang kita tahu, menjadi kebencian kepada Allah, maka umat Islam, tidak boleh tidak, mestilah cepat-cepat bertaubat meninggalkan kebencian-Nya itu," titah baginda.
Menurut baginda, ini saja ubat mujarab yang ada. Adapun yang lain-lain itu cuma penyokong atau pelengkapnya saja.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia menyatakan perkara tersebut dalam titah sempena menyambut Tahun Baru Hijrah 1431 yang disiarkan melalui Radio dan Televisyen Brunei.
Terdahulu sebelum itu, baginda bertitah menyatakan umat Islam yang berjumlah 1.5 bilion dari tujuh bilion penduduk dunia masih saja kelihatan mengalami beberapa tengkarah dan keadaan tidak menentu.
Mereka titah baginda, dicengkam oleh api-api peperangan dan kekacauan-kekacauan berdarah serta lain-lain, termasuk krisis ekonomi dan hutang yang teruk.
"Mengapakah perkara yang seperti ini harus berlaku?" titah baginda.
"Selaku manusia bertuhan, kita tidak boleh lari dari melihat perkara ini sebagai ada kaitannya dengan ketentuan Allah Ta'ala jua. Kerana tidak akan dapat bergerak atau berlaku sesuatu itu, melainkan dengan kehendak Allah jua," titah baginda.
Baginda menambah titah, "Begitulah dari sudut ilmu ugama. Namun, Allah juga memulangkan 'buku keras' kepada manusia sendiri, mengapa kejadian-kejadian yang tidak diingini itu berlaku, seperti maksud firman-Nya dalam Surah Ar-Rum, ayat 41:"Telah berlaku berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab perbuatan tangan-tangan manusia sendiri..."
Maknanya titah baginda, semua itu adalah berpunca daripada kita juga.
Seterusnya baginda bertitah menjelaskan terdapat kesalahan daripada kita, maknanya hukum Allah pun berlaku untuk menyedarkan kita semua.
"Allah adalah Maha Adil kepada semua hamba-Nya. Dia tidak memilih-milih mengikut bulu atau kedudukan. Orang yang patut dihukum akan dihukum-Nya, dan orang yang patut dilepaskan akan dilepaskan-Nya daripada hukuman itu," titah baginda.
Bagaimanapun, baginda bertitah menyatakan sunnatullah sangatlah menyukai taubat oleh para hamba.
Bertaubat menurut baginda, merupakan pendirian orang-orang mulia, pendirian orang-orang saleh dan ahli takwa.
Baginda bertitah tidakkah Allah Ta'ala itu telah berjanji kepada ahli takwa untuk melepaskan mereka dari kesempitan dan membukakan pintu-pintu rezeki-Nya dengan luas?
"Jadi pada hemat Beta, jalan untuk umat Islam keluar dari tengkarah dan pelbagai krisis, satu-satunya, adalah melalui 'jalan taubat' ini," titah baginda.
Bersempena tahun hijrah 1431 ini baginda bertitah sama-sama berdoa semoga ia membawa keberkatan yang diharap-harapkan kepada negara dan bangsa.
Semoga juga kehadirannya titah baginda, akan menyuntik kesedaran baru untuk umat Islam di bidang 'pembinaan diri' bukan saja di Negara Brunei Darussalam, malahan juga di seluruh dunia.
Tanpa agama, semuanya akan jadi
kelam dan binasa
Dalam titah yang sama Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga menekankan akan kepentingan agama Islam sebagai panduan untuk menerangi perjalanan hidup bagi setiap hamba Allah untuk menghindari daripada kebinasaan dan kemusnahan.
"Beta masih tidak jemu-jemu untuk menekankan perkara agama supaya diambil berat. Kerana agama itu adalah cahaya yang akan menerangi jalan kita".
Tambah baginda, "sesebuah masyarakat atau negara, bagaimanapun ia kelihatan hebat pada zahirnya, jika ugama tidak turut menjiwainya, maka masyarakat atau negara seperti itu, sebenarnya bukanlah ia hebat tetapi bermasalah"
Baginda seterusnya bertitah memperingatkan rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam khususnya umat Islam supaya sentiasa bersyukur ke atas nikmat Allah yang telah kurniakannya.
Untuk mengekalkan nikmat ini titah baginda selanjutnya, kita "selaku pewaris dan pemilik iaitu menjadi hamba yang benar-benar bersyukur yang melakukan amalan takwa untuk selama-lamanya".
Sesungguhnya Allah Subhanahu Wata'ala akan mengekalkan nikmat dan kurnia-Nya pada hamba-Nya yang sentiasa mendekatkan diri dengan Allah Subhanahu Wata'ala.
Sebagaimana titah baginda, "insya Allah, dengan cara ini nikmat akan berkekalan dan pahala akan ditambah lagi oleh Allah dengan berlipat-ganda".
Oleh itu umat Islam di negara ini berkewajiban dan bertanggungjawab untuk sentiasa mengingati Allah dan mensyukuri kerahmatan dan kesentosaan yang dinikmati selama ini.
Ini bermakna agama Islam sahaja yang menjadi penyelamat dan pengekal kepada kenikmatan dari kurnia Allah Subhanahu Wata'ala. (LAPORAN DAN GAMBAR EHSAN PELITA BRUNEI) |