Alhamdullilah syukur ke hadrat Allah Subahan Allah Ta'ala kerana dengan limpahan kurnia rahmatNya dan keredhaanNya jua kita sekali lagi dapat bersama-sama menyambut kedatangan bulan Muharram bagi tahun 1431 Hijrah.
Bulan Muharram merupakan bulan penting dan bersejarah kepada semua umat Islam. ia merupakan bulan permulaan dalam kalendar Islam.
Ketibaan bulan Muharram memperingatkan kita kepada hijrah Nabi Muhammad s.a.w. dan para sahabat dari Makkah ke Madinah bagi mentaati perintah Allah s.w.t. Hingga ke hari ini, peristiwa hijrah tetap dikenang.
Namun demikian berapa ramaikah kita umat Islam yang mengetahui sejarah disebalik hijrah dan signifikannya penghijrahan Nabi Muhmammad dan para sahabat dari Makkah ke Medinah itu dalam perkembangan syiar dan tamadun Islam?
Tahun baru hijrah mempunyai ciri yang tersendiri dan istimewa. Ia tidak sahaja menjadi alat untuk menghitung hari dan mencatat sejarah sebagai bermulanya takwim Islam tetapi amat rapat hubungannya dengan sejarah akidah dan perkembangan agama Islam.
Menyingkap peristiwa hijrah Rasulullah s.a.w. tersebut dapat memberikan gambaran kepada kita betapa ianya merupakan suatu peristiwa yang dipenuhi pahit manis dan pelbagai rintangan serta dugaan semata-mata bagi menyahut seruan Allah s.w.t. untuk menyelamatkan diri baginda sendiri dari ancaman orang-orang Quraisy yang bertekad untuk membunuh Baginda.
Hijrah Rasulullah adalah hijrah yang tidak ada tandingannya dalam sejarah para nabi kerana hijrah rasulullah berakhir dengan berdirinya suatu daulah dan peradaban Islam terbesar di Madinah, berdirinya satu pusat penyebaran Islam yang berlandaskan piagam Madinah, yang berpaksikan Al-Quran dan dan sunnah. Dari Madinah tersebarluaslah dakwah dan kejayaan Islam dikesemua pelusuk bumi Allah ini.
Meneliti sejarah hijrah Nabi s.a.w. jelas menunjukkan ianya merupakan perancangan strategi hasil dari kajiannya yang dilakukan oleh Baginda terhadap keadaan negara dan rakyat yang menetap di Semenanjung Tanah Arab.
Usaha baginda untuk menjadikan Madinah sebagai pusat dakwah Islamiyyah bukan dilakukan dalam masa yang singkat.
Sebelum menyeru umatnya berpindah ke Madinah, Baginda telah mengkaji dan bertemu sendiri dengan sekumpulan penduduk Yathrib dan menyeru mereka kepada Islam.
Mereka menerima seruan Rasulullah s.a.w. dan seterusnya berbai'ah dengan baginda dan menyatakan kesediaan untuk membantu baginda dan para sahabat baginda.
Setelah itu barulah baginda menyuruh para sahabatnya berhijrah ke Yathrib, yang dikenali dengan nama Madinah pada hari ini.
Makanya hijrah Nabi Muhammad s.a.w. yang kita peringati sekarang ini bukan sahaja bermaksud perpindahan baginda dan umat Islam dari Makkah ke Madinah tetapi membawa maksud "reformasi kearah suatu perubahan”.
Penghijrahan yang dipimpin oleh Rasulullah s.a.w. merupakan suatu dimensi baru kepada umat Islam iaitu dari suasana yang lama di Makkah kepada suasana yang baru di Madinah.
Peristiwa itu juga merupakan detik terpenting kepada pembaharuan nilai hidup manusia sejagat.
Berlakunya hijrah baginda dari Makkah ke Madinah bukan sahaja mencatat sejarah dengan tertubuhnya sebuah pusat Dakwah Islamiyyah tetapi baginda berjaya membangunkan sebuah daulah Islamiyyah dan sekaligus menyumbang kepada perkembangan agama Islam ke seluruh pelusuk samada di dalam atau di luar Semenanjung Tanah Arab.
Antara faktor-faktor yang telah menyumbang kepada kejayaan baginda dalam membangunkan sebuah negara Islam adalah, ciri kepimpinan Nabi Muhammad s.a.w. yang merupakan pembawa Risalah Allah dan juga pemimpin umat Islam ketika itu, kewibawaan baginda sebagai pemimpin yang sanggup berkorban demi untuk menegakkan syiar Islam, kecekalan kaum Muhajirin yang telah menyahut seruan Rasulullah s.a.w. supaya berhijrah ke Madinah dengan tujuan untuk menegakkan syiar Islam. Mereka sanggup meninggalkan rumah dan harta benda mereka semata-mata mempertahankan prinsip yang mereka pegang dan untuk mendapat keredhaan Allah s.w.t.
Juga menjadi antara faktor penting ialah semangat kesatuan dan kesepaduan umat Islam hingga berhasil membangunkan sebuah daulah Islamiyyah di Madinah. Peristiwa hijrah dapat menceritakan bagaimana Nabi Muhammad s.a.w. telah melaksanakan berbagai-bagai usaha demi untuk menyatukan golongan Muhajirin dan Ansar, Aws dan Khazraj yang sebelumnya bermusuhan agar menjadi sebuah umat yang bersatu dan boleh hidup dalam keadaan harmoni dan makmur.
Dalam semua keadaan ini setentunya tanpa pertolongan dari Allah s.w.t. ianya tidak akan berhasil melahirkan kejayaan yang kita kagumi hari ini. Setiap usaha yang menghasilkan kejayaan sangat bergantung dengan pertolongan Allah s.w.t lebih-lebih lagi dalam usaha untuk menegakkan syiar Islam dan Risalah Nabi Muhammad s.a.w.
Allah berfirman dalam surah Ali Imran ayat 16 yang bermaksud: “Jika Allah menolong kamu maka tiada apa yang dapat mengalahkan kamu, Jika Allah membiarkan kamu maka siapakah yang dapat menolong kamu selain dari Allah sesudah itu, kerana itu hendaklah orang-orang mukmin bertawakkal”
Justeru, kita perlu menghayati dan mengambil iktibar dari peristiwa hijrah supaya lebih bersemangat dalam meneruskan setiap usaha dakwah selaras dengan pendekatan politik Parti Pembangunan Bangsa sebagai sebuah gerakkan dakwah yang berpolitik dan badan politik yang berdakwah yang berusaha menyebarluaskan penghayatan konsep Raja (Sultan) dan Ulul Amri sebagai Khalifah Allah di muka bumi yang menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.
Kesabaran dan pengorbanan merupakan kunci utama keimanan yang ada pada diri Rasulullah s.a.w. pada ketika itu.
Sumbangan seperti itu sama ada pengorbanan dari segi tenaga dan juga harta, perlu dihayati dan dicontohi oleh kita semua dalam menghadapi kehidupan hari ini.
Sebagai umat Islam dan selaku ahli-ahli Parti Pembangunan Bangsa (NDP) yang telah berbai'ah dengan Perlembagaan parti, Misi, Visi dan Objektif Parti demi menjunjng titah membangun bangsa, marilah kita sama-sama membaharui tekad dan membaharui semangat untuk mencontohi dan meneladani setiap pengajaran yang boleh dijadikan iktibar dan panduan dari peristiwa hijrah tersebut.
Marilah kita jadikan ianya panduan dalam kita menggorak langkah menuju ke arah membangun negara hingga kekal menjadi sebuah negara 'Baldatun Thayyibatun Warabbun Ghaffur'. Insya Allah. |