LIMBARUH HIJAU,Rabu- Himpunan Wanita Pusat Parti Pembangunan Bangsa (Hawa) telah menganjurkan Hari Keluarga Hawa NDP 2009 yang telah diadakan di Pantai Seri Kenangan Tutong pada Sabtu lalu 19hb Disember 2009.
Berbagai acara riadah telah menceriakan suasana program tersebut yang merupakan salah satu aktiviti Hawa Pusat dengan tujuan untuk mengeratkan tali siratulrahim antara satu dengan lain, dan menyemai rasa kesepaduan, kerjasama dan kekeluargaan sebagai anggota dalam badan parti politik yang ulung di Negara Brunei Darusalam ini.
Hadir sama pada program tersebut ialah Ketua Himpunan Wanita Pusat Dayang Hjh Sa’emah Haji Kepli, Timbalan Ketua Hawa Pusat Dyg Rosme Maidin, dan exco-exco Hawa Pusat serta ketua-ketua Hawa Perhubungan NDP keempat-empat buah daerah.
Seramai lebih 50 orang di kalangan anggota Hawa daripada seluruh negara menghadiri Hari Keluarga tersebut termasuk anak-anak dan ahli keluarga mera masing-masing.
Acara telah dimulakan dengan senamrobik Poco-Poco yang dipimpin oleh tiga orang guru senamrobik yang diundang khas atas sumbangan salah seorang ahli NDP, selepas itu kegiatan membersihkan pantai dengan mengutip sampah juga turut dilakukan beramai-ramai, sebagai hasrat untuk menyahut saranan Kerajaan agar alam sekitar sentiasa bersih dan sihat.
Yang turut memeriahkan acara Hari Keluarga tersebut ialah berbagai permainan sukanria, untuk merebut hadiah-hadiah yang telah disediakan, permainan termasuklah mencari barang tersembunyi, perlumbaan 100 meter berganti-ganti di kawasan pantai, futsal di tepi pantai dan sebagainya yang juga telah menceriakan kanak-kanak yang menyertainya.
Hari Keluarga merupakan program yang pertama dikendalikan Hawa Pusat sejak Parti Pembangunan Bangsa ditubuhkan, bagaimanapun ianya dijangka akan dijadikan program berterusan dan akan diadakan di kawasan Markas Limbaruh Hijau setiap bulan, dengan antara acara yang akan dimuatkan ialah senamrobik, dan demo kesihatan.
Ketua Hawa Pusat ketika ditemui Aspirasi menerangkan Hawa berharap program Hari Keluarga yang akan dianjurkan secara bulanan itu nanti, akan sama-sama disertai oleh biro-biro yang lain dalam badan NDP, supaya kesepaduan semakin erat dan muhabah kekeluarga akan semakin meningkat dari masa ke semasa. |