LIMBARUH HIJAU, RABU- Biro Kawalan Narkotik memandang serius mengenai sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang mengeksploitasi rakyat negara ini sebagai alat untuk mengedar dadah bagi pihak mereka (courier).
Setakat ini seramai empat orang iaitu dua lelaki dan dua wanita tempatan telah di tahan di luar negara bilamana dua telah ditahan di China, seorang di Australia dan terkini pada Februari lalu seorang lagi di tahan di Sandiago Peru kerana terlibat dengan pengedaran dadah antarabangsa.
Dalang sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang dikenalpasti di rantau ini adalah berbangsa Afrika Barat dipercayai dari Nigeria. Kebanyakkan mereka yang direkrut adalah dari golongan penduduk rantau asia termasuk rakyat negara ini, dan mereka ini telah dikenalpasti berpengakalan di Malaysia.
Anggota sindiket terbabit menggunakan pelbagai helah dan taktik termasuk tawaran kerja dengan gaji yang lumayan untuk memerangkap mangsa. Mereka juga bertopengkan syarikat yang sah akan menawarkan pekerjaan melalui Internet Chatting dan melalui email, selain sindiket tersebut hanya menawarkan pekerjaan sebagai penghantar barang dari satu lokasi ke satu lokasi.
Perkara tersebut telah dinyatakan oleh Ketua Pegawai Narkotik Bahagian Pendidikan, Pencegahan dan penyelidikan Awang Haji Abd Manap bin Haji Lampuh ketika memberikan penerangan mengenai dengan peranan dan undang-undang Biro Kawalan Narkotik, sindiket pengedaran antarabangsa dan sebagainya kepada seramai lebih 20 orang rombongan pelawat daripada Himpunan Wanita Pusat Parti Pembangunan Bangsa ke jabatan tersebut pada Sabtu 12hb Disember lalu.
Mengetuai rombongan tersebut ialah Ketua HAWA Pusat Dyg Hajah Sa'emah Hj Kepli, disertai sama oleh beberapa orang exco Hawa Pusat serta ketua-ketua Hawa Perhubungan Daerah-Daerah NDP.
Ketika mengulas laporan akhbar Australia, The Gold Coast News Australia baru-baru ini BKN memberi amaran bahawa modus operandi untuk memikat warga Brunei menjadi pembawa dadah kini berubah dengan si pembawa menelan dadah dan bukan lagi menyembunyikan dadah dalam bagasi mereka.
BKN mendedahkan tersebut setelah laporan akhbar berkenaan yang menyebut seorang lagi warga Brunei berusia 41 tahun sedang mengandung diberkas beberapa hari lalu di awal Disember ini, wanita itu juga turut membahayakan kandungannya dengan cuba menyeludup pakej heroin yang ditelan ketika melepasi lapangan terbang Gold Coast.
Menurut BKN tren itu adalah sesuatu yang baru bagi warga tempatan, tetapi di negara lain ia sudah biasa digunakan. Akhbar tersebut dalam laporannya 19 Disember lalu, berkata adalah kali pertama penyeludup dalam badan dikesan di lapangan terbang, dan wanita tempatan itu menyembunyikan sejumlah 170 gram bahan yang disyaki heroin dalam badannya dan 300 gram lagi dalam pakaiannya.
Lawatan ke ibu pejabat BKN, merupakan aktiviti berterusan yang dikendalikan oleh Hawa Pusat sebagai menambahkan lagi pengetahuan, dan mengeratkan ikatan siratulrahim antaran anggota Parti dengan jabatan-jabatan Kerajaan.
Di samping mendengarkan taklimat rombongan juga turut berpeluang menyaksikan pameran berhubungkait dengan penyalahgunaan dadah, jenis dadah, peralatan yang lazimnya diubahsuai oleh penagih dan sebagainya.
Biro Kawalan Narkotik (BKN) merupakan sebuah agensi utama yang befungsi khusus dalam pencegahan dadah di negara ini, dan strategi utmanya ialah pengurangan bekalan dan permintaan dadah.
BKN telah ditubuhkan selama lebih 20 tahun dan berbagai pendekatan dan program telah disediakan dalam menyebarkan mesej antidadah kepada pelajar dan belia dan juga masyarakat amnya, antaranya ialah menganjurkan ceramah dan pameran, menggunakan pendekatan melalui aktiviti, serta program pendekatan masyarakat melalui pengedaran bahan cetak dan cenderahati yang mengandungi mesej kesan dan pentingnya menjauhi dadah.
|