Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Bismillahir Rahmanir Rahim Alhamdulillahirabbil‘alaamiin, wabihiinasta‘iina‘alaa umu riddunyaa waddiin, Wasshalaatu wassalaamu‘alaa asyrofil mursaliin. Sayyidinaa muhammadin, wa ‘alaa aalihii washahbihii ajjama’in, waba’du
Beta bersyukur kehadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana mentakdirkan kita dapat memasuki Tahun Baru Masihi 2009 dalam suasana tenteram.
Memperingati Tahun Baru Masihi pada umumnya ialah wadah bagi membuat “pernilaian” semula mengenai kemajuan “perjalanan’ Negara dan sejauh mana perjalanan itu mengikut jalur arah-tuju yang dihajati.
Pada waktu yang sama, kita juga mesti meningkatkan usaha ke arah perkhidmatan dan pencapaian yang lebih cemerlang.
Kita sekarang masih menyaksikan kejadian-kejadian seperti krisis kewangan, kemelesetan ekonomi, kepincangan sosial, kemusnahan alam sekitar, dan ketidakselesaan politik yang sedang melanda sebahagian besar negara-negara di dunia ini.
Dengan rahmat dan izin Allah Yang Maha Berkuasa jua, negara kita terlepas dari sebarang kemelut, malah dapat menikmati keamanan dan ketenteraman bernegara.
Dalam jangka waktu yang penuh cabaran ini, Beta sukacita merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam mengekalkan kerjasama dan sama-sama menjana semangat membangunkan Negara.
Kita akan terus mengadakan permuzakarahan dan perbincangan, bukan saja di peringkat kebangsaan, tetapi juga di arena antarabangsa.
Kita juga akan sentiasa merancang dan berpandangan jauh dalam mendepani masa depan yang sukar diramal.
Sementara kita tidak mengetahui jawapan kepada cabaran-cabaran dunia yang sangat kompleks, kita perlu mempersiapkan diri bagi masa depan.
Kerajaan Beta insya Allah akan sentiasa membuat penilaian dan pembaikan-pembaikan yang bersesuaian.
Kita memang tidak sunyi dari menghadapi pelabagai cabaran baru yang tidak siapa pun dapat menjangkakannya.
Tetapi selaras dengan pegangan kita, kita berusaha, dissamping berdo’a dan bertawakal, dengan penuh berani.
Ini semua, pada akhirnya, akan mewujudkan ketahanan nasional, yang berperanan besar untuk menjamin kemajuan dan kemakmuran Negara.
Oleh sebab itulah kita telah merencanakan Wawasan Brunei yang munasabah sebagai warisan kewujudan bangsa.
Wawasan telah mencarta halatuju masa depan Negara, memandu perancangan yang lebih bersistematik bagi menuju kepada sebuah Negara yang mempunyai rakyat berpendidikan dan berkemahiran tinggi lagi berjaya, berkualiti dan mempunyai ekonomi yang dinamik lagi berdaya tahan.
Selain dari ilmu, pengalaman, kemahiran dan kewangan, masa juga adalah merupakan salah satu factor utama dalam pembangunan dan produktiviti negara.
Penggunaan dan pengurusan masa adalah sangat penting dalam erti yang seluas-luasnya.
Sifat ‘masa’ adalah unik dan berlainan dengan sifat faktor-faktor ilmu, kemahiran atau kewangan.
Adalah lumrah bagi manusia mengejar ilmu pengethauan dan harta kekayaan.
Tetapi tidak ramai orang yang melihat masa melebihi dari segala-galanya.
Sebab itu, pada perhitungan yang betul, masa adalah satu titik tolak utama dalam memikirkan peningkatan produktiviti negara dan lain-lain kemajuan.
Semuanya, mesti dilaksanakan dengan cepat dan dibuat pada waktunya.
Setiap perancangan diberikan sasaran waktu perlaksaan masing-masing.
Inilah caranya menghargai masa, sayugia dijadikan budaya.
Kecepatan bertindak pada waktunya adalah cirri utama untuk berjaya.
Kecepatan membuat perubahan, pembaharuan dan pembaikan adalah amalan negara yang berjaya.
Namun sebagai hamba Allah yang serba kekurangan, biarlah kita juga dengan jujur mengakui akan kelemahan kita masing-masing, tetapi serentak dengan itu berusaha memperbaikinya mana-mana yang mampu diperbaiki. Kita perlu ingat, bahawa Allah tidak akan mengubah nasib, sebelum perubahan dalaman kita lakukan. Antara benda dalaman itu adalah sikap kita.
Akhirnya, Beta ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua peringkat dalam Perkhidmatan Awam, Pasukan-Pasukan Keselamatan, mereka yang berkhidmat di sektor swasta dan juga kepada seluruh lapisan rakyat jelata, di atas usaha-usaha ikhlas mereka dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab masing-masing bagi mencapai kebahagian, kemakmuran dan kemajuan negara yang dicintai ini.
Beta dan keluarga Beta, tidak lupa juga merakamkan ucapan Selamat Tahun Baru Masihi 2009 kepada seluruh rakyat dan penduduk di negara ini.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh |